Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KELUARGA HUNT

     Pada 9 Julai 2024, satu kejadian pembunuhan kejam telah berlaku di kawasan perumahan di Bushey, Hertfordshire. Tiga orang mangsa ialah wanita daripada keluarga sama iaitu Carol Hunt (61 tahun) serta dua anak perempuannya, Hannah Hunt (28 tahun) dan Louise Hunt (25 tahun). Mangsa-mangsa merupakan isteri serta anak kepada John Hunt, seorang pengulas lumba kuda terkenal dari BBC. Sementara itu, pelaku yang dikenal pasti sebagai Kyle Marcus Clifford yakni bekas teman lelaki kepada Louise bertindak melakukan serangan pembunuhan tersebut dengan menggunakan senjata sejenis busur panah moden (crossbow). 

     Clifford yang berusia 26 tahun ketika kejadian merupakan seorang bekas anggota tentera British yang pernah berkhidmat dalam Queen’s Dragoon Guards. Walau bagaimanapun, Clifford diberhentikan daripada perkhidmatan lebih awal kerana masalah disiplin dan kelakuan bermasalah. Sumber dari perbicaraan menyatakan bahawa dia sering menunjukkan sikap agresif, tidak empati dan mementingkan diri sendiri. Beberapa orang saksi dan rakan pernah melaporkan bahawa Clifford cenderung terpengaruh dengan kandungan berunsur kebencian terhadap wanita di media sosial termasuk video-video dari Andrew Tate, seorang pempengaruh kontroversi yang sering mempromosikan ideologi maskulin toksik dan misoginis. Clifford dikatakan menonton video sebegitu hanya sehari sebelum melakukan pembunuhan.

     Motif utama pembunuhan ini dipercayai berpunca daripada dendam Clifford terhadap Louise yang memutuskan hubungan mereka dua minggu sebelum insiden berdarah itu. Hubungan mereka yang berlangsung selama hampir 18 bulan dilaporkan sering dilanda konflik. Cuma apa yang mengejutkan ialah tindakan Clifford yang bukan sekadar bertindak dalam kemarahan tetapi telah merancang serangan itu secara sistematik dan teliti. Pada hari-hari sebelum pembunuhan, dia telah membeli seunit busur secara dalam talian bersama anak-anak panah, sebilah pisau daging, pita pelekat, tali dan sebotol petrol. 

     Pada hari kejadian, Clifford tiba di rumah keluarga Hunt dengan menyamar sebagai orang yang ingin memulangkan barangan Louise. Apabila Carol membuka pintu, dia terus diserang dan ditikam bertubi-tubi hingga mati. Clifford kemudian keluar semula ke keretanya untuk mengambil busur dan anak panah sebelum kembali ke dalam rumah. Tidak lama selepas itu, Louise pulang dari tempat kerja. Clifford menyambutnya bukan dengan perbualan tetapi dengan kekerasan. Dia menahan Louise sebelum mengikat tangan dan kaki mangsa menggunakan pita pelekat lalu merogolnya. Selepas itu, Cliffor menembak Louise di bahagian dada menggunakan busur panah. Serangan itu menyebabkan Louise mati di tempat kejadian dalam keadaan sangat menyayat hati.

     Kekejaman tidak berhenti di situ. Beberapa jam kemudian, giliran Hannah tiba di rumah kerana bimbang apabila tidak dapat menghubungi ahli keluarga. Apabila Hannah masuk ke dalam rumah, dia terkejut melihat mayat ibu dan adiknya. Dalam keadaan panik, Hannah sempat menghantar mesej kecemasan kepada teman lelakinya yang bernama Alex Klein. Namun Clifford yang masih berada dalam rumah bertindak menembak Hannah menggunakan busur panah dan dia juga mati di tempat kejadian. 

     Selepas melakukan pembunuhan, Clifford melarikan diri dan menjadi buruan pihak polis. Operasi besar-besaran dilancarkan di seluruh Hertfordshire dan kawasan sekitar. Keesokan harinya, Clifford akhirnya ditemui di sebuah tanah perkuburan di Enfield dalam keadaan cedera parah. Dia dipercayai telah mencederakan dirinya sendiri dengan busur panah dalam cubaan membunuh diri. Disebabkan tindakannya itu, Clifford mengalami kecederaan teruk dan lumpuh dari paras dada ke bawah. Dia kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan sebelum ditahan pihak berkuasa.

     Perbicaraan terhadap Clifford berlangsung di Mahkamah Crown Cambridge. Dalam perbicaraan tersebut, dia mengaku bersalah atas tiga pertuduhan membunuh Carol, Hannah, Louise serta kesalahan memiliki senjata berbahaya dan menahan orang secara salah. Walaupun pada awalnya Clifford menafikan tuduhan merogol, bukti forensik, saksi pakar dan rakaman CCTV telah membuktikan dengan jelas bahawa dia merogol Louise sebelum membunuhnya. Pada 11 Mac 2025, Hakim Mahkamah Tinggi, Mr Justice Bennathan, menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan pembebasan bagi ketiga-tiga kes pembunuhan. Selain itu, Clifford turut dihukum penjara 20 tahun atas kesalahan rogol, 8 tahun atas penahanan salah dan 1 tahun masing-masing untuk pemilikan pisau serta senjata busur panah.

     Dalam perbicaraan tersebut, ahli keluarga mangsa menyampaikan pernyataan penuh emosi. John Hunt menyifatkan Clifford sebagai syaitan yang telah menghancurkan keluarganya. Anak sulungnya, Amy Hunt pula berkata bahawa apa yang dilakukan Clifford bukan sahaja pembunuhan fizikal tetapi pembunuhan terhadap kasih sayang dan masa depan keluarga mereka. 

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KELUARGA HUNT"