Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH EDWARD SNOWDEN : Bocorkan Rahsia Negara Demi Kebenaran

     Edward Joseph Snowden bukan nama asing dalam dunia moden apabila berbicara tentang kebocoran maklumat sulit kerajaan dan hak privasi dalam era digital. Pada tahun 2013, dia mengejutkan dunia dengan pendedahan besar-besaran mengenai program pengintipan rahsia yang dijalankan oleh Agensi Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat (NSA). Intipan tersebut bukan hanya terhadap rakyat Amerika Syarikat endiri malah terhadap negara-negara lain termasuk pemimpin dunia. 

     Snowden dilahirkan pada 21 Jun 1983 di Elizabeth City, North Carolina, Amerika Syarikat. Dia dibesarkan di Maryland yang tidak jauh dari ibu pejabat NSA. Meskipun tidak menamatkan pengajian tinggi secara formal, Snowden dikenali sebagai individu yang sangat mahir dalam bidang teknologi maklumat dan keselamatan siber. Kebolehan Snowden itu membolehkannya bekerja dengan pelbagai agensi perisikan Amerika termasuk CIA serta NSA melalui kontraktor seperti Dell dan Booz Allen Hamilton.

     Semasa bekerja dengan NSA, Snowden memperoleh akses kepada pelbagai maklumat sulit berkaitan operasi pemantauan global. Dia mendapati bahawa NSA menjalankan program pengintipan rahsia terhadap komunikasi telefon, e-mel, aktiviti media sosial dan pelbagai data pengguna bukan sahaja di Amerika Syarikat tetapi juga di peringkat antarabangsa. Program-program seperti PRISM, XKeyscore serta Tempora digunakan untuk mengumpul maklumat tanpa perintah mahkamah dan tanpa pengetahuan atau kebenaran rakyat.

     Snowden percaya bahawa perbuatan ini adalah salah dari segi moral dan undang-undang antarabangsa. Dia melihatnya sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap hak privasi dan kebebasan asasi manusia. Setelah mempertimbangkan segala risiko, Snowden mengambil keputusan untuk membocorkan maklumat sulit itu kepada umum. Pada Mei 2013, dia meninggalkan Amerika Syarikat dan berlepas ke Hong Kong dengan membawa bersama ribuan dokumen sulit NSA. 


     Di Hong Kong, Snowden bertemu dengan wartawan Glenn Greenwald, penerbit dokumentari iaitu Laura Poitras dan wartawan Ewen MacAskill dari The Guardian. Dia menyerahkan dokumen-dokumen sulit itu dan menceritakan apa yang dilihatnya sebagai penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan AS. Pada bulan Jun 2013, beberapa media antarabangsa mula menyiarkan laporan berdasarkan pendedahan Snowden. Dunia dikejutkan apabila didedahkan bahawa NSA mengintip berjuta-juta rakyat Amerika termasuk rakaman metadata panggilan telefon, log e-mel dan segala aktiviti dalam talian tanpa alasan keselamatan yang jelas.

     Lebih mengejutkan, maklumat yang dibocorkan juga menunjukkan bahawa kerajaan AS mengintip pemimpin asing, termasuk Canselor Jerman, Angela Merkel dan menyusup ke dalam sistem komunikasi negara-negara sekutu. Pendedahan telah mencetuskan kemarahan awam hingga menyebabkan ketegangan diplomatik antara Amerika Syarikat dan negara lain.

     Sebagai tindak balas, kerajaan Amerika Syarikat mendakwa Edward Snowden di bawah Akta Pengintipan 1917 dengan tuduhan mencuri dokumen kerajaan dan mendedahkan rahsia keselamatan negara. Dia menghadapi kemungkinan hukuman penjara selama puluhan tahun jika kembali ke tanah airnya. Pada masa sama, pasport Snowden telah dibatalkan oleh kerajaan Amerika Syarikat. Disebabkan itu, dia terkandas semasa dalam penerbangan dari Hong Kong ke Cuba dan akhirnya terperangkap di Lapangan Terbang Sheremetyevo, Moscow.

     Selama beberapa minggu, Snowden hidup dalam kawasan transit lapangan terbang tanpa negara. Setelah pelbagai rundingan dan permintaan suaka ditolak oleh banyak negara, akhirnya Rusia menawarkan perlindungan sementara. Snowden dibenarkan tinggal di Rusia secara sah bermula Ogos 2013 dan kemudiannya diberikan status penduduk tetap. Pada tahun 2020, Snowden mengumumkan bahawa isterinya, Lindsay Mills sedang mengandung dan mereka merancang untuk membina kehidupan stabil di Rusia.

     Pada September 2022, kerajaan Rusia secara rasmi memberikan kerakyatan Rusia kepada Edward Snowden. Perkara ini diumumkan melalui dekri yang ditandatangani sendiri oleh Presiden Vladimir Putin. Snowden mengesahkan penerimaan kewarganegaraan itu dan menyatakan bahawa dia tidak mahu berpisah dengan keluarganya. Meskipun menjadi warganegara Rusia, Snowden menegaskan bahawa dia tidak melepaskan kerakyatan Amerika Syarikat. 

    Kisah Edward Snowden telah difilemkan dalam Snowden (2016) arahan Oliver Stone yang memaparkan perjalanan hidup dan keputusannya membocorkan rahsia kerajaan. Sebelum itu, dokumentari Citizenfour yang ditayangkan pada 2014 memaparkan rakaman sebenar pendedahan Snowden di Hong Kong. Ia memenangi Anugerah Oscar bagi Dokumentari Terbaik pada 2015. 

Catat Ulasan for "KISAH EDWARD SNOWDEN : Bocorkan Rahsia Negara Demi Kebenaran"