Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kronologi Penuh Kes Pembunuhan Iryna Zarutska


1. Latar Belakang Mangsa

     Iryna Zarutska, seorang wanita muda berusia 23 tahun berasal dari Kyiv, Ukraine merupakan mangsa utama dalam kejadian ini. Dia bersama keluarganya berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 2022 selepas tercetusnya peperangan akibat pencerobohan Rusia. Seperti kebanyakan pelarian lain, Zarutska mengimpikan kehidupan yang lebih aman, stabil dan penuh peluang di negara baru. Kehidupan baharu yang Zarutska pilih di Charlotte, North Carolina bukanlah mudah kerana dia perlu membiasakan diri dengan bahasa, budaya dan persekitaran baru. Namun saksi serta kenalan rapat menggambarkannya sebagai seorang wanita yang berdikari dan rajin. 

     Di Amerika Syarikat, Zarutska bekerja di sebuah restoran piza tempatan, Zepeddies Pizzeria sebagai tukang masak barisan dapur.



2. Suspek 

     Suspek utama kes ini ialah Decarlos Brown Jr., seorang lelaki berusia 34 tahun dengan sejarah jenayah dan gangguan mental yang panjang. Brown mempunyai beberapa rekod lampau termasuk rompakan bersenjata, pecah rumah, kecurian serta insiden melibatkan keganasan. Selain rekod jenayah, Brown turut didiagnosis dengan masalah kesihatan mental serius iaitu skizofrenia. Penyakit ini menyebabkan dia mengalami delusi, paranoia dan halusinasi yang kerap kali mendorongnya bertindak di luar kawalan.

     Salah satu delusi yang dilaporkan ialah kepercayaannya bahawa terdapat cip atau bahan asing dalam tubuhnya yang mengawal tindakannya. Dalam episod psikotik, Brown juga menyangka orang lain mampu membaca fikirannya. Malah laporan menyebut bahawa Zarutska menjadi sasaran kerana dia percaya wanita muda itu sedang membaca fikirannya pada malam kejadian. Beberapa tahun sebelum kejadian, Brown pernah mendapatkan bantuan kesihatan mental melalui talian kecemasan 911 dan hospital tempatanntetapi rawatan yang diberi bersifat sementara. Selepas dibebaskan, dia kembali ke keadaan asal tanpa sokongan jangka panjang. 



3. Kronologi Kejadian Malam 22 Ogos 2025

     Malam itu yakni selepas tamat bekerja di restoran, Zarutska menaiki trem Lynx Blue Line di Charlotte untuk pulang ke rumah. Dia masih dalam pakaian kerja, duduk dengan tenang sambil menggunakan fon telinga. Trem pada waktu itu tidak terlalu sesak dan suasana agak tenang.

     Tidak lama kemudian, Brown juga menaiki trem yang sama. Pada awalnya, tiada interaksi antara kedua-dua mereka. Zarutska tidak mengenali suspek dan tiada sebarang provokasi dilaporkan. Namun berdasarkan keterangan pihak penyiasat, Brown yang berada di belakangnya tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau yang disembunyikan dalam jaket yang dipakainya.

     Dalam tempoh empat minit selepas menaiki trem, Brown bertindak ganas dengan menikam Zarutska sebanyak tiga kali termasuk satu tikaman di leher yang menyebabkan pendarahan teruk. Serangan itu begitu mengejutkan penumpang lainnyang tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku terlalu pantas. Zarutska rebah tidak sedarkan diri sejurus selepas tikaman.

     Trem kemudian berhenti di stesen East/West Boulevard. Suspek segera keluar dari gerabak tetapi tindakan pantas pihak polis Charlotte-Mecklenburg yang sudah dipanggil oleh saksi membolehkan dia ditahan sejurus selepas kejadian. Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan Zarutska meninggal dunia akibat kecederaan parah di tempat kejadian.



4. Pertuduhan dan Proses Undang-undang

     Selepas ditahan, Brown dikenakan pertuduhan peringkat negeri iaitu membunuh tahap pertama. Pertuduhan ini sahaja sudah cukup untuk membawa hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati di North Carolina.

     Kes ini mendapat perhatian Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) kerana jenayah berlaku di dalam sistem pengangkutan awam. Justeru, Brown turut berdepan pertuduhan peringkat persekutuan atas dakwaan melakukan tindakan yang menyebabkan kematian dalam sistem pengangkutan massa. Pertuduhan ini lebih berat kerana melibatkan keselamatan awam pada skala besar dan boleh dikenakan hukuman mati di bawah undang-undang persekutuan.

     Seiring dengan pertuduhan tersebut, mahkamah juga menekankan isu kesihatan mental suspek. Peguam bela dijangka akan menggunakan hujah tidak waras ketika melakukan jenayah memandangkan rekod psikiatri Brown yang jelas menunjukkan gangguan skizofrenia dan episod delusi. Walau bagaimanapun, pihak pendakwa berhujah bahawa walaupun Brown menghidap penyakit mental, dia tetap sedar akan tindakannya dan membawa senjata tajam dengan niat untuk mencederakan.



5. Kontroversi 

i) Keselamatan Pengangkutan Awam 

     Adakah sistem transit seperti Lynx Blue Line cukup selamat? Adakah kawalan keselamatan, pemeriksaan tiket, dan pengawasan perlu dipertingkatkan untuk mengelakkan insiden seumpama ini berulang?

ii) Sistem Kehakiman dan Pengurusan Pesalah Berulang 

     Ramai pihak termasuk kekasih Zarutska mempersoalkan mengapa Brown yang mempunyai rekod jenayah dan masalah mental masih boleh berada di luar tanpa pengawasan ketat. Ada dakwaan bahawa sistem jaminan dan keputusan hakim yang membebaskannya sebelum ini terlalu longgar.

iii) Kesihatan Mental dan Tanggungjawab Negara 

    Persoalan tentang kegagalan sistem kesihatan mental di Amerika Syarikat. Brown sebenarnya beberapa kali mencari bantuan tetapi tidak mendapat rawatan berterusan. Persoalan timbul, adakah kejadian ini boleh dielakkan sekiranya beliau menerima sokongan psikiatri yang mencukupi?

iv) Keadilan untuk Mangsa 

     Ramai yang menuntut hukuman berat terhadap Brown, termasuk hukuman mati, kerana melihat pembunuhan ini sebagai kejam, rawak dan dilakukan terhadap seorang pelarian yang tidak bersalah.

Catat Ulasan for "Kronologi Penuh Kes Pembunuhan Iryna Zarutska"