Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kronologi Penuh Kejadian Pembunuhan Charlie Kirk

1. Latar belakang 

     Charlie Kirk merupakan seorang aktivis politik konservatif Amerika Syarikat yang cukup berpengaruh. Beliau ialah pengasas Turning Point USA (TPUSA), sebuah organisasi yang aktif di kampus universiti untuk menyebarkan ideologi sayap kanan dan menentang fahaman liberal. Selain itu, Kirk juga terkenal sebagai pengacara radio serta hos audio siar yang mempunyai jutaan pendengar setia. Kehadirannya di pentas politik sering dianggap kontroversi kerana kelantangan menyuarakan pandangan terutama berkaitan isu sosial dan politik Amerika. Pada tahun 2025, beliau menganjurkan siri jelajah dinamakan American Comeback Tour yang bertujuan membangkitkan semula semangat konservatisme dan menarik sokongan generasi muda. Acara ini terkenal dengan slogan provokatif Prove Me Wrong yang menjadi cabaran terbuka kepada hadirin untuk berdebat dengannya secara langsung.


2. Acara di Utah Valley University

     Pada 10 September 2025, Kirk dijadualkan menghadiri sebuah sesi American Comeback Tour di Utah Valley University (UVU), Orem, Utah. Acara tersebut diadakan di bawah khemah besar dengan hiasan slogan Prove Me Wrong yang menjadi tanda kebiasaannya. Kehadiran dianggarkan seramai 3000 orang yakni terdiri daripada penyokong, pelajar universiti serta orang awam yang ingin mendengar atau mencabar hujahnya. Walaupun acara ini menarik perhatian besar, suasana awalnya terkawal di mana Kirk memulakan ucapannya dengan gaya biasa, penuh yakin dan provokatif.


3. Sesi soal jawab dengan hadirin

     Sekitar 20 minit selepas acara bermula, Kirk membuka sesi soal jawab. Seorang hadirin bertanya soalan yang mencabar tentang statistik mass shootings di Amerika Syarikat khususnya sama ada kejadian melibatkan geng jenayah atau pergaduhan jalanan wajar dikira dalam definisi rasmi. Kirk menjawab dengan panjang lebar, cuba menegakkan hujah konservatifnya. Suasana pada waktu itu masih terkawal dan hadirin memberi tumpuan kepada jawapannya. Namun tanpa disedari, seseorang telah bersiap sedia untuk melakukan serangan yang bakal menggegarkan acara tersebut.


4. Insiden tembakan berlaku

     Pada kira-kira jam 12:20 tengah hari, satu das tembakan dilepaskan dari jarak jauh. Berdasarkan siasatan, tembakan itu dilepaskan dari bumbung sebuah bangunan berhampiran kampus dipercayai Losee Center yang terletak kira-kira 180 hingga 200 meter dari khemah acara. Peluru tersebut mengenai bahagian leher Kirk, tepat berhampiran arteri karotid. Detik itu menyebabkan jeritan panik bergema di dalam khemah dan hadirin mula menyedari bahawa seorang penembak telah melepaskan tembakan dari luar kawasan acara.


5. Kekecohan di kalangan orang ramai

     Dengan kehadiran hampir 3000 orang, keadaan bertukar huru-hara. Orang ramai berlari bertempiaran meninggalkan khemah dengan ada yang terjatuh, ada yang menjerit meminta tolong dan suasana menjadi sangat tegang. Pasukan keselamatan acara cuba menenangkan keadaan dan memberi arahan keluar manakala pasukan polis universiti serta unit kecemasan segera mengawal lokasi. Beberapa orang saksi mendakwa mereka melihat seseorang melarikan diri dari arah bumbung tetapi laporan tersebut masih belum dapat dipastikan sepenuhnya pada awalnya.


6. Usaha menyelamatkan Charlie Kirk

     Selepas ditembak, Kirk segera dibawa keluar dari pentas oleh pasukan perubatan kecemasan. Beliau dimasukkan ke dalam ambulans dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terus dikejarkan ke Timpanogos Regional Hospital. Doktor berusaha sedaya upaya menyelamatkan nyawanya dengan rawatan kecemasan tetapi kecederaan parah di bahagian leher menyebabkan kehilangan darah yang besar. Pada sebelah petang hari yang sama, pihak hospital mengesahkan bahawa Charlie Kirk telah meninggal dunia akibat kecederaan tembakan tersebut. 


7. Siasatan awal pihak berkuasa

     Pihak polis Utah dan FBI segera melancarkan siasatan menyeluruh. Dua individu ditahan sejurus selepas kejadian kerana disyaki terlibat. Namun selepas soal siasat, kedua-duanya dibebaskan kerana tiada kaitan dengan serangan tersebut. Fokus siasatan kemudian beralih kepada mengenal pasti penembak sebenar yang dipercayai berjaya melarikan diri dari lokasi kejadian. Kawasan bumbung Losee Center yang dipercayai lokasi penembak diperiksa secara teliti oleh forensik.


8. Maklumat mengenai suspek

     Siasatan seterusnya mendedahkan beberapa petunjuk penting mengenai suspek. Berdasarkan rakaman CCTV, individu yang menjadi person of interest dilihat berpakaian serba hitam, memakai topi gelap, cermin mata hitam jenis aviator serta membawa beg hitam. Ada laporan menyebut dia mungkin memakai vest taktikal. Cap tangan, cap kaki serta kesan bawah lengan turut ditemui di lokasi bumbung dipercayai milik suspek. Tambahan pula, pihak berkuasa menemui sebuah rifle bolt-action berkuasa tinggi di kawasan hutan berhampiran kampus yang dipercayai senjata yang digunakan dalam serangan. Senjata tersebut kini dalam analisis forensik FBI untuk mencari cap jari atau DNA.

     Video keselamatan juga menunjukkan suspek menggunakan tangga untuk naik ke bumbung Losee Center sebelum melepaskan tembakan lalu melarikan diri ke kawasan kejiranan berhampiran selepas kejadian Walaupun identiti sebenar belum dikenal pasti, ciri-ciri pakaian dan jejak yang ditinggalkan memberi arah baru kepada siasatan. Orang ramai diminta membantu mengenal pasti individu yang menyerupai imej suspek yang diedarkan pihak berkuasa. Ganjaran sebanyak USD 100 000 ditawarkan kepada sesiapa yang memberikan maklumat yang membawa kepada penangkapan.


9. Status tangkapan semasa

Hingga kini, tiada suspek utama ditahan. Individu yang menjadi tumpuan siasatan masih diburu dan FBI bersama pihak berkuasa tempatan sedang menjejaki laluan keluar masuk kampus, rakaman kamera jalan raya, serta kemungkinan rangkaian sokongan yang membantu suspek melarikan diri. Walaupun siasatan semakin mendalam, motif sebenar pembunuhan masih belum didedahkan. Sama ada ia serangan politik, dendam peribadi atau tindakan perseorangan, persoalan ini masih belum terjawab.


Catat Ulasan for "Kronologi Penuh Kejadian Pembunuhan Charlie Kirk"