Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

PEKERJA ZOO MAUT DIBAHAM SINGA SELEPAS KELUAR DARI KENDERAAN

     THAILAND - Seorang penjaga zoo veteran maut selepas dibaham sekumpulan singa di Safari World Bangkok, Thailand pada pagi 10 September 2025. Mangsa dikenali sebagai Jian Rangkharasamee, 58 tahun yang ketika itu sedang bertugas di kawasan safari terbuka. Kejadian berlaku sekitar jam 11.00 pagi di hadapan para pelancong yang berada di dalam kenderaan masing-masing.

     Menurut laporan, Jian yang telah bekerja sebagai penjaga zoo selama lebih dua dekad dengan ada sumber menyebut hampir 30 tahun merupakan seorang pekerja berpengalaman luas dalam menguruskan haiwan liar berbahaya seperti singa. Sepanjang kerjayanya, dia dikenali sebagai seorang pekerja berdedikasi dan sering dilihat mengendalikan haiwan dengan penuh hati-hati. 

     Kejadian bermula apabila Jian dilaporkan keluar dari kenderaan semasa melakukan pemeriksaan di kawasan singa. Tindakan itu dikatakan bertentangan dengan protokol keselamatan kerana kawasan safari terbuka menempatkan puluhan ekor singa dewasa yang dibiarkan berkeliaran bebas. Difahamkan dia berhenti untuk mengambil sesuatu di atas tanah. Ketika membongkok, seekor singa jantan secara tiba-tiba menerkam dari arah belakang. Serangan itu kemudian disertai tiga hingga empat ekor singa lain yang sama-sama membaham tubuhnya.

     Serangan tersebut berlaku dalam keadaan pantas. Saksi dalam kenderaan melaporkan mereka hanya mampu menjerit dari jauh sambil menyaksikan mangsa digigit dan diterkam bertubi-tubi. Ada saksi menyebut bahawa serangan berlangsung hampir 15 minit sebelum bantuan kecemasan sempat tiba. Beberapa pekerja zoo cuba menghalau singa menggunakan kenderaan dan bunyi bising namun usaha itu gagal menghentikan serangan dengan segera.

     Selepas keadaan agak terkawal, Jian berjaya dikeluarkan dalam keadaan parah lalu dikejarkan ke Hospital Intrarat. Pihak perubatan bagaimanapun mengesahkan dia meninggal dunia akibat kecederaan parah di hampir seluruh tubuh. Pemergian Jian mengejutkan rakan sekerja pihak pengurusan zoo serta orang ramai apatah lagi dia merupakan antara kakitangan paling lama berkhidmat di Safari World.

     Punca sebenar mengapa Jian keluar dari kenderaan masih menjadi persoalan. Pihak Safari World Bangkok setakat ini hanya menyatakan bahawa siasatan terperinci sedang dijalankan. Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan Thailand (DNP) telah mengarahkan kawasan safari drive-through ditutup sementara waktu untuk tujuan siasatan dan penilaian semula protokol keselamatan. 

Catat Ulasan for "PEKERJA ZOO MAUT DIBAHAM SINGA SELEPAS KELUAR DARI KENDERAAN"