Isteri Kenakan ‘Denda’ Sehingga USD600 Sebulan Kepada Suami Kerana Lupa Tugasan Rumah

AMERIKA SYARIKAT – Seorang wanita di Atlanta, Georgia menjadi tular selepas mendedahkan cara uniknya menangani sikap suami yang sering culas dalam melakukan tugasan rumah. Jess Wright yang juga merupakan seorang kaunselor kesihatan mental, dilaporkan mengenakan sistem invois terhadap suaminya, DJ setiap kali lelaki itu gagal atau terlupa melakukan kerja-kerja harian di rumah.
Sistem tersebut mula dilaksanakan kira-kira empat tahun lalu yakni ketika Jess berasa semakin tertekan dengan sikap suaminya yang kerap mengabaikan tanggungjawab kecil namun penting dalam rumah tangga. Menurut Jess, tindakan tersebut bukanlah bertujuan menghukum tetapi lebih kepada usaha mendisiplinkan pasangannya untuk mengelakkan pertengkaran.
Bagi setiap tugasan yang gagal dilaksanakan, Jess akan mengenakan kadar bayaran yang berbeza mengikut tahap keseriusan. Kesalahan kecil seperti meninggalkan berus gigi di tempat yang tidak sepatutnya atau tidak menutup penutup ubat gigi dikenakan caj sekitar USD5 (sekitar RM22). Bagi kesalahan yang dianggap sederhana seperti meninggalkan pakaian kotor atau tidak mengemas ruang tertentu, suaminya akan didenda antara USD10 hingga USD20. Manakala kesalahan yang lebih berat, contohnya tidak menukar tempat duduk kereta atau gagal menyelesaikan tugas besar yang dijanjikan, boleh mencecah sehingga USD50 (sekitar RM210).
Jumlah invois yang dikenakan setiap bulan bergantung pada kekerapan suaminya melakukan kesilapan. Dalam sesetengah bulan, jumlah denda hanya sekitar USD30. Namun dalam bulan yang lebih sibuk dan banyak tugasan yang tertinggal, invois tersebut boleh mencecah sehingga USD600 (sekitar RM2600). Wang tersebut dibayar oleh suaminya sendiri dan digunakan Jess sama ada untuk menyimpan tabungan ataupun membeli keperluan peribadi.

Jess menjelaskan bahawa sistem ini jauh lebih berkesan berbanding bergaduh atau menyimpan rasa marah dalam diam. “Daripada saya menegur dengan nada kasar atau menyimpan sakit hati, saya lebih rela menukarnya kepada sistem kewangan yang jelas. Dia tahu apa akibatnya jika tugasan rumah ditinggalkan dan saya pula berasa lebih tenang,” katanya dalam satu temu bual.
Pasangan ini kemudiannya berkongsi pengalaman mereka di media sosial seperti TikTok dan Instagram. Ramai netizen menyambut baik pendekatan tersebut. Malah ada yang meminta Jess berkongsi templat invois yang digunakannya untuk diaplikasikan dalam rumah tangga masing-masing. Walau bagaimanapun, ada juga pengguna media sosial yang berpendapat bahawa sistem tersebut agak ekstrem kerana melibatkan wang dalam urusan rumahtangga boleh menimbulkan masalah lain.
Walaupun menerima pelbagai reaksi, Jess menegaskan bahawa cara itu sesuai dengan dinamika hubungan mereka. “Ini bukan soal wang semata-mata. Ia lebih kepada soal tanggungjawab. Apabila dia membayar, ia tanda bahawa dia mengakui kesilapan dan berusaha memperbaikinya,” ujarnya.
Catat Ulasan for "Isteri Kenakan ‘Denda’ Sehingga USD600 Sebulan Kepada Suami Kerana Lupa Tugasan Rumah"