Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Suspek Pembunuhan Charlie Kirk Ditahan

     AMERIKA SYARIKAT –Seorang lelaki berusia 22 tahun, Tyler Robinson telah ditahan pihak berkuasa sebagai suspek utama dalam kes pembunuhan aktivis konservatif Amerika Syarikat, Charlie Kir yang ditembak mati semasa memberi ucapan di Utah Valley University pada 10 September lalu.

     Charlie Kirk, 31 tahun, pengasas organisasi konservatif Turning Point USA ditembak ketika berada di atas pentas dalam acara American Comeback Tour. Tembakan dilepaskan dari sebuah bangunan berdekatan kira-kira 200 meter dari lokasi Kirk berdiri. Kejadian berlaku sekitar jam 12:20 tengah hari dan disaksikan ratusan hadirin hingga mencetuskan suasana panik. 

     Siasatan awal menemui senapang bolt-action Mauser .30 kaliber yang dipercayai digunakan dalam serangan tersebut. Pasukan penyiasat turut mengumpul cap kasut, cap tangan dan cap lengan pada bumbung bangunan selain rakaman CCTV yang menunjukkan suspek melarikan diri ke kawasan berhutan selepas kejadian. Peluru yang digunakan turut sepadan dengan senjata yang dijumpai.

    Menurut laporan Associated Press, Robinson ditahan selepas pihak berkuasa menerima lebih daripada 7000 maklumat orang awam berhubung identitinya. Bapanya dikatakan membantu menyerahkan Robinson kepada polis melalui seorang menteri tempatan selepas mengenal pasti dirinya daripada gambar yang disiarkan media. Presiden Donald Trump mengesahkan penahanan tersebut dengan kenyataan, We got him.

    Gabenor Utah, Spencer Cox turut mengesahkan bahawa Robinson adalah suspek utama kes berprofil tinggi ini. Penahanan tersebut mendapat liputan meluas dengan pihak berkuasa menekankan bahawa siasatan masih berjalan. Motif sebenar Robinson masih belum didedahkan namun beberapa laporan menyebut dia pernah menyuarakan rasa tidak senang terhadap retorik politik Kirk.

     Robinson kini berada dalam tahanan polis Utah. Belum ada pendakwaan rasmi diumumkan dan pihak berkuasa dijangka mengadakan sidang media pada masa terdekat untuk memaklumkan perkembangan lanjut kes ini.

Catat Ulasan for "Suspek Pembunuhan Charlie Kirk Ditahan"