Suami Peserta Kriogenik Pertama China Dikecam Netizen

CHINA – Kisah Zhan Wenlian, wanita pertama di China yang menjalani proses kriogenik selepas kematiannya kembali mendapat perhatian apabila suaminya iaitu Gui Junmin dilaporkan menjalin hubungan baharu beberapa tahun selepas isterinya dibekukan.
Zhan Wenlian yang berasal dari Wilayah Shandong meninggal dunia sekitar tahun 2017 akibat kanser paru-paru tahap akhir. Semasa hayatnya, dia dikenali sebagai seorang wanita yang positif dan terbuka kepada perkembangan sains. Zhan pernah menyatakan hasrat untuk menyumbangkan tubuhnya kepada penyelidikan perubatan sekiranya ditakdirkan pergi terlebih dahulu. Hasrat itulah yang akhirnya mendorong suaminya membuat keputusan besar, menempatkan jasad Zhan dalam program kriogenik sebagai satu bentuk usaha memelihara tubuhnya sehingga teknologi masa depan berpotensi menghidupkannya semula.

Proses kriogenik itu dijalankan di Shandong Yinfeng Life Science Research Institute yakni antara institusi terawal di China yang menjalankan kajian berkaitan pembekuan manusia menggunakan nitrogen cecair pada suhu sangat rendah. Tubuh Zhan dipindahkan ke dalam bekas silinder khas dan direndam dalam nitrogen cecair pada suhu sekitar –196°C. Langkah itu dianggap eksperimen saintifik berskala besar, melibatkan kos peralatan, bahan serta penyelenggaraan yang amat tinggi. Walaupun teknologi kriogenik masih dianggap kontroversi dan belum terbukti mampu mengembalikan fungsi hidup, keputusan tersebut dibuat atas dasar cinta, harapan serta keinginan Zhan sendiri untuk menyumbang kepada kemajuan sains.
Perjalanan hidup Gui selepas pemergian Zhan bagaimanapun tidak mudah. Pada tahun 2020, Gui mengalami serangan gout yang serius sehingga tidak mampu bergerak dan terbaring selama dua hari sebelum diselamatkan ahli keluarga. Kejadian itu membuka matanya tentang kesunyian dan keperluan sokongan hidup. Tidak lama kemudian, Gui berkenalan dengan seorang wanita bernama Wang Chunxia yang bekerja dalam bidang insurans. Hubungan mereka bermula sebagai bantuan sebelum berkembang kepada hubungan peribadi.

Tindakan Gui itu menimbulkan kecaman daripada pengguna media sosial China. Ramai yang mempertikaikan keikhlasan Gui, mempersoalkan sama ada keputusan kriogenik itu benar-benar demi cinta atau sekadar publisiti dan eksperimen saintifik. Walau bagaimanapun, Gui mempertahankan tindakannya. Menurutnya, Zhan tetap tidak dapat digantik dalam hidupnya. Namun sebagai manusia, dia masih memerlukan sokongan emosi dan fizikal. Gui turut mengakui bahawa hubungan baharunya mempunyai sisi utilitarian” iaitu keperluan praktikal dalam menjalani kehidupan harian. Dia juga menyatakan kebimbangan tentang implikasi masa depan di mana sekiranya suatu hari nanti sains benar-benar mampu menghidupkan semula Zhan, bagaimanakah status perkahwinannya kelak?
Hingga kini, tubuh Zhan Wenlian masih disimpan di pusat penyelidikan kriogenik di Shandong manakala Gui meneruskan kehidupannya bersama pasangannya yang baharu.
Catat Ulasan for "Suami Peserta Kriogenik Pertama China Dikecam Netizen "