Kisah Wanita yang Dikerat 36 Bahagian di Guangyuan

Segalanya bermula apabila kakak kepada Gou Lingqin membuat laporan polis pada 26 Mac 2001 selepas mangsa gagal dihubungi selama hampir seminggu. Kehilangan mangsa dianggap sangat mencurigakan kerana dia dilaporkan telah pergi ke Shenzhen untuk bekerja secara tiba-tiba tanpa membawa sebarang pakaian atau dokumen penting. Apa yang lebih meragukan adalah satu panggilan telefon misteri daripada seorang wanita yang mendakwa sebagai rakan mangsa memberitahu keluarga bahawa Gou Lingqin sudah pun menaiki kereta api. Namun firasat keluarga mengatakan ada sesuatu yang tidak kena kerana mangsa mempunyai keadaan ekonomi yang stabil dan tidak pernah menyatakan hasrat untuk bekerja jauh.


Pihak polis mula menumpukan siasatan kepada bekas suami mangsa, Xu Xue. Walaupun pasangan ini telah bercerai secara sah pada Disember 2000, mereka masih tinggal serumah demi menjaga hati anak dan faktor kewangan. Apabila polis memasuki kediaman mereka, mereka mendapati keadaan rumah itu terlalu bersih dan berbau ubat gegat yang sangat kuat seolah-olah cuba menyembunyikan bau sesuatu. Pemeriksaan teliti menggunakan bahan kimia pengesan darah akhirnya menemui kesan percikan darah halus di celah-celah jubin bilik air dan di bawah sinki. Ujian DNA mengesahkan bahawa darah tersebut adalah milik Gou Lingqin sekali gus mengubah status Xu Xue daripada saksi kepada suspek utama.
Setelah disoal siasat, Xu Xue akhirnya mengaku melakukan pembunuhan tersebut. Motif utama adalah perasaan cemburu yang meluap-luap selepas dia mendapati mangsa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki yang lebih muda. Selain itu, Xu Xue berasa tertipu kerana mereka asalnya bersetuju untuk melakukan perceraian palsundemi memudahkan urusan perpindahan kerjandi mana Xu Xue telah memindahkan hak milik rumah bernilai 30 000 Yuan kepada mangsa. Namun selepas bercerai, mangsa enggan rujuk semula serta enggan memulangkan harta tersebut, hingga menyebabkan Xu Xue berasa dia kehilangan segala-galanya yakni harta, maruah dan isteri.

Pada pagi 22 Mac 2001, satu pertengkaran hebat berlaku apabila mangsa sekali lagi menolak permintaan Xu Xue untuk rujuk semula. Dalam keadaan hilang pertimbangan, Xu Xue mengambil tukul elektrik lalu memukul kepala mangsa berkali-kali sehingga wanita itu rebah. Cuma apa yang dilakukan selepas itu jauh lebih mengerikan. Bagi melupuskan bukti, Xu Xue telah mengerat mayat mangsa kepada 36 bahagian. Disebabkan berasa bimbang mayat tersebut akan terapung jika dibuang ke sungai, dia bertindak merebus bahagian-bahagian daging tersebut menggunakan periuk tekanan di dapur rumah mereka bagi memisahkan tisu daripada tulang dan memastikan sisa mayat itu tenggelam ke dasar sungai.

Pihak polis kemudiannya berjaya menemui tiga beg guni berisi sisa mayat mangsa di Sungai Jialing. Walau bagaimanapun, penemuan paling menyedihkan datang daripada laporan forensik. Hasil bedah siasat menunjukkan bahawa kecederaan pada kepala mangsa akibat pukulan tukul sebenarnya tidak membawa maut serta-merta. Pakar perubatan percaya bahawa Gou Lingqin masih bernafas dan berada dalam keadaan koma semasa Xu Xue mula mengerat anggota badannya. Mangsa akhirnya meninggal dunia akibat pendarahan melampau semasa proses dikerat hidup-hidup, satu fakta yang menggambarkan penderitaan luar biasa mangsa sebelum mati.
Pengakhiran kes atas kekejaman luar biasa yang dilakukan tanpa perikemanusiaan, mahkamah telah menjatuhkan hukuman mati ke atas Xu Xue.
Catat Ulasan for "Kisah Wanita yang Dikerat 36 Bahagian di Guangyuan"