Kisah Pembunuhan Ngeri di Kornhill Gardens


     Kes pembunuhan di Kornhill Gardens yang berlaku pada Februari 1988 merupakan salah satu kes pembunuhan ngeri yang pernah berlaku di Hong Kong. Kisah ini bermula di sebuah unit kediaman di Blok D, Kornhill Gardens, Quarry Bay. Pasangan suami isteri iaitu Fu Chi-kwong dan Ma Kit-chee telah melayari alam rumah tangga selama 29 tahun dan dikurniakan dua orang anak perempuan. Di mata orang, mereka kelihatan seperti keluarga kelas pertengahan yang stabil. Namun hakikat di sebalik pintu rumah adalah sebaliknya. Fu merupakan seorang suami yang panas baran dan sering mendera isterinya secara fizikal serta mental.

     Punah batin Ma semakin parah apabila Fu sering menghina kegagalannya melahirkan anak lelaki untuk menyambung zuriat keluarga, satu tekanan budaya yang amat berat dalam masyarakat tradisional Cina ketika itu. Ketegangan memuncak apabila Fu mula menjalin hubungan sulit dengan wanita lebih muda dan akhirnya berpindah keluar untuk tinggal bersama wanita itu. Fu bagaimanapun namun tetap enggan menceraikan Ma bagi mengelakkan pembahagian harta.


     Pada petang 23 Februari 1988, anak perempuan mereka, Fu Ming pulang ke rumah sebelum mendapati ibunya sedang melutut di atas lantai dalam keadaan gelap sambil mengelap kesan cecair merah yang didakwa sebagai darah hidung. Apabila ditanya, Ma menjawab dengan tenang, "Bapa kamu cuba melemaskan aku dengan selimut, jadi aku pukul dia sampai mati dengan tukul." Walaupun pada mulanya dianggap sebagai gurauan atau luahan kemarahan, kehilangan Fu yang berlarutan selama sebulan akhirnya memaksa Fu Ming membuat laporan polis atas nasihat peguam.

     Berdasarkan pengakuan Ma selepas ditangkap, dia telah merancang untuk memberi pengajaran kepada suaminya dengan bantuan adik lelakinya dan dua rakan lain. Mereka mengikat Fu pada katil dan menuntut pampasan wang. Namun selepas rakan-rakannya beredar, berlaku pergelutan antara Ma dan suaminya. Maka dalam keadaan hilang pertimbangan, Ma mencapai tukul dan memukul kepala suaminya berkali-kali sehingga mati.

     Apa yang berlaku selepas itu adalah sesuatu yang sukar diterima akal. Ma bertindak mengerat badan suaminya menggunakan gergaji besi. Bagi menghilangkan bau dan memastikan darah tidak menitik keluar semasa dibuang, dia memasak potongan daging tersebut di dalam periuk besar serta membakar sebahagian yang lain di dalam ketuhar. Proses ini dilakukan secara berperingkat dalam beberapa hari sebelum sisa-sisa tersebut dibuang ke dalam beg sampah di stesen pelupusan sampah berhampiran.


     Apabila pasukan forensik tiba di unit tersebut, rumah itu telah pun dikosongkan dan dibersihkan sepenuhnya oleh Ma. Walau bagaimanapun, teknologi lampu ultraungu berjaya mengesan percikan darah yang halus di dinding, siling dan celah-celah perabot yang tertinggal. Disebabkan ketiadaan teknologi ujian DNA pada tahun 1988, pihak polis hanya mampu mengesahkan jenis darah tersebut tetapi tidak dapat membuktikan secara mutlak bahawa ia milik Fu Chi-kwong.

     Di mahkamah, peguam bela mengemukakan hujah bahawa Ma menghidap penyakit paranoid schizophrenia yang kronik selama lebih 20 tahun. Dia mendakwa mendengar suara-suara ghaib yang menyuruhnya menghukum suaminya. Pakar psikiatri mengesahkan bahawa Ma berada dalam keadaan mental yang tidak stabil semasa kejadian berlaku.


     Pada Oktober 1988, juri memutuskan bahawa Ma Kit-chee bersalah atas tuduhan pembunuhan tanpa niat atas faktor tanggungjawab yang berkurangan Hakim memerintahkan agar dia ditahan di Pusat Psikiatri Siu Lam untuk tempoh yang tidak ditetapkan. Selepas tujuh tahun menjalani rawatan, dia dibenarkan keluar pada tahun 1995 dan hidup dalam kerahsiaan bersama anak perempuannya. Hingga kini, unit kediaman di Kornhill Gardens tersebut dianggap sebagai rumah berhantu paling terkenal di Hong Kong. Stigma kes ini sangat kuat sehingga nilai hartanah di blok berkenaan dilaporkan kekal di bawah harga pasaran selama berdekad-dekad. 

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Ngeri di Kornhill Gardens"