Kisah Pembunuhan Kanibal di Guindalera

     Kejadian ini bermula pada Februari 2019 apabila pihak polis di Madrid menerima laporan daripada seorang rakan Maria Soledad Gomez, 66 tahun yang menyatakan kebimbangan kerana mangsa sudah tidak kelihatan selama lebih sebulan. Apabila pihak berkuasa tiba di pangsapuri tingkat satu yang didiami mangsa bersama anak lelakinya di Calle de Francisco Rioja, mereka disambut oleh Alberto yang ketika itu berusia 26 tahun. Maka dengan nada yang tenang, dia dilaporkan berkata kepada polis, "Ya, emak saya ada di dalam. Dia sudah mati."

     Pemeriksaan lanjut di dalam rumah tersebut mendedahkan pemandangan yang sangat ngeri. Pihak polis menemui cebisan mayat mangsa yang telah dipotong dengan sangat halus kepada lebih 1000 kepingan kecil. Sebahagian daripada anggota badan tersebut disimpan di dalam bekas plastik di dalam peti sejuk manakala sebahagian lagi ditemui di dalam ketuhar dan kuali dalam keadaan sudah dimasak.

     Menurut laporan siasatan dan keterangan di mahkamah, pembunuhan itu dipercayai berlaku selepas satu pertengkaran mulut antara Alberto dan ibunya. Alberto bertindak menjerut leher ibunya sehingga mati sebelum mengheret mayat tersebut ke bilik tidur. Di situ, dia menggunakan gergaji tukang kayu dan dua pisau dapur untuk memotong mayat ibunya dengan teliti.

     Apa yang lebih menyayat hati adalah pengakuan Alberto bahawa dia telah memakan organ dan bahagian badan ibunya sedikit demi sedikit selama dua minggu. Dia mendakwa melakukan perbuatan tersebut secara mentah, dimasak atau dikisar. Malah, Alberto turut mengaku memberi sebahagian daripada cebisan daging tersebut kepada anjing peliharaannya. Siasatan forensik mengesahkan bahawa suspek cuba melupuskan bukti dengan memasukkan sisa-sisa yang tidak dimakan ke dalam beg sampah. Walau bagaimanapun, bau busuk dan kehilangan mangsa akhirnya membongkar rahsia hitam tersebut.

     Sewaktu perbicaraan bermula di mahkamah Madrid pada tahun 2021, Alberto cuba membela diri dengan menyatakan bahawa dia mengalami gangguan mental yang serius. Dia mendakwa sering mendengar suara-suara ghaib daripada televisyen dan jiran-jiran yang menyuruhnya membunuh ibunya. Pihak pembelaan berhujah bahawa Alberto berada dalam keadaan psikosis semasa kejadian berlaku yang dipengaruhi oleh sejarah pengambilan bahan terlarang dan dadah. Pihak pendakwa raya dan pakar psikiatri mahkamah bagaimanapun menolak hujah tersebut. Mereka menegaskan bahawa walaupun Alberto mungkin mempunyai gangguan personaliti, dia bertindak secara sedar dan terancang. Bukti menunjukkan Aberto tahu bagaimana untuk menyembunyikan jenayahnya dan memilih bahagian badan tertentu untuk disimpan yang menandakan dia mempunyai kawalan penuh terhadap tindakannya pada waktu itu.

     Setelah meneliti segala bukti fizikal dan keterangan saksi, juri mendapati Alberto Sanchez Gomez bersalah atas pertuduhan membunuh dan mencabul mayat. Pada Jun 2021, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun bagi kesalahan membunuh dan tambahan 5 bulan bagi kesalahan melupuskan serta memakan mayat ibunya secara tidak sah. Selain hukuman penjara, mahkamah turut memerintahkan Alberto membayar pampasan sebanyak €60 000 kepada abang kandungnya sebagai ganti rugi atas kehilangan ibu mereka. Sehingga awal 2025, dilaporkan Alberto masih cuba merayu agar hukumannya dipindahkan ke hospital psikiatri namun dia tetap menjalani hukuman di penjara biasa buat masa ini.



Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kanibal di Guindalera"