Kisah Pembunuhan Kejam Erni Yunita

     Kes pembunuhan kejam ini berlaku pada penghujung Oktober 2025 di perumahan Al-Kautsar, Muara Bungo, Jambi. Mangsa, Erni Yunita, 37 tahun merupakan seorang individu yang sangat dihormati di mana dia berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Kejururawatan di sebuah kolej kesihatan tempatan. Erni dikenali sebagai seorang wanita yang berdikari, berkerjaya tinggi up o dan mempunyai rutin harian yang sangat teratur. Justeru apabila dia gagal menghadirkan diri ke dewan kuliah pada pagi Jumaat, 31 Oktober, rakan-rakan sekerjanya mula berasa tidak sedap hati.

     Kebimbangan tersebut memuncak apabila seorang rakan baiknya menerima balasan mesej WhatsApp yang mencurigakan daripada telefon Erni. Mesej tersebut mendakwa mangsa sedang berehat kerana tidak sihat namun gaya bahasanya sangat asing. Mangsa yang biasanya menggunakan panggilan mesra "Kakak" tiba-tiba menggunakan istilah "Cok" (panggilan yang lebih kasar atau santai). Perbezaan kecil dalam teks tersebut menjadi petunjuk awal bahawa individu yang memegang telefon itu bukanlah Erni yang sebenar.

     Pada tengah hari Sabtu, 1 November 2025, adik mangsa bersama beberapa rakan sekerja dan pihak pengurusan perumahan bertindak memecah masuk ke kediaman Erni selepas melihat pintu pagar hanya dirapat tanpa berkunci. Sebaik sahaja memasuki bilik tidur utama, mereka diselubungi suasana hiba dan ngeri apabila menemui tubuh Erni yang kaku di atas katil. Kepalanya ditutup rapi dengan bantal manakala bahagian bawah badannya ditutup dengan kain sarung. Hasil bedah siasat kemudiannya mendedahkan mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas (asfiksia) setelah dicekik dengan kuat dan dipukul menggunakan objek tumpul.

     Siasatan pihak polis mendedahkan sisi gelap di sebalik kejadian ini. Berdasarkan rakaman CCTV, pihak berkuasa mengesan kelibat seorang wanita berambut panjang yang mencurigakan keluar dari rumah mangsa. Walau bagaimanapun, analisis pakar mendapati pergerakan fizikal individu tersebut lebih menyerupai seorang lelaki yang sasa. Polis akhirnya mengenal pasti bahawa rambut panjang tersebut hanyalah sebahagian daripada penyamaran licik menggunakan rambut palsu untuk mengaburi mata penyiasat dan menutup identiti sebenar pelaku.

     Hanya dalam tempoh kurang 24 jam, pihak polis berjaya memberkas suspek utama yang rupa-rupanya merupakan bekas kekasih mangsa sendiri iaitu Valdi (22 tahun). Lebih mengejutkan, Valdi merupakan seorang anggota polis berpangkat rendah yang masih aktif berkhidmat. Motif pembunuhan ini berakar umbi daripada konflik hubungan asmara yang toksik dan masalah kewangan. Mangsa dilaporkan telah nekad untuk menamatkan hubungan mereka kerana bosan dengan sikap suspek yang sering meminjam wang dan mempunyai kawalan emosi yang tidak stabil.

     Pada malam kejadian, berlaku pertengkaran mulut yang hebat di mana mangsa didakwa mengeluarkan kata-kata yang menyinggung ego suspek. Maka dalam keadaan hilang pertimbangan, suspek bertindak agresif dengan memukul mangsa menggunakan batang penyapu besi sehingga melentur sebelum mencekik mangsa sehingga menghembuskan nafas terakhir. Sebagai seorang anggota keselamatan yang mempunyai asas dalam ilmu forensik, suspek cuba membersihkan tempat kejadian dengan mengelap kesan cap jari, mencuri barangan berharga bagi menampakkan ia seperti kes rompakan dan memakai penyamaran rambut palsu sebelum melarikan diri dengan kereta milik mangsa.

     Valdi kini bukan sahaja telah dipecat secara tidak hormat daripada pasukan polis. Dia bahkan berhadapan dengan hukuman paling berat di bawah Kanun Keseksaan Indonesia. Pihak pendakwa raya mendakwanya di bawah pertuduhan pembunuhan terancang (Pasal 340 KUHP) yang membawa hukuman maksimum mati atau penjara seumur hidup.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Erni Yunita"