REMAJA PEREMPUAN 15 TAHUN DIROGOL 27 ORANG LELAKI

Gambar sekadar hiasan (Janaan AI)

     INDONESIA – Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dilaporkan menjadi mangsa kerakusan 27 orang lelaki dalam satu kes rogol berkumpulan yang amat kejam. Kejadian menyayat hati itu dipercayai berlaku dalam tempoh empat bulan bermula Februari hingga Mei 2026 di sekitar wilayah Sampang, Omben dan Camplong.

     Ketua Polis Daerah Sampang, AKBP Hartono mengesahkan bahawa mangsa telah dirogol sebanyak enam kali di pelbagai lokasi termasuk kawasan semak, kediaman suspek dan kawasan di belakang sebuah sekolah. Menurut siasatan, kejadian bermula apabila mangsa yang berseorangan di sebuah taman di Kota Sampang didatangi oleh seorang lelaki yang tidak dikenali pada waktu malam.

     Suspek awalnya cuba memujuk mangsa untuk makan bersama. Namun selepas ditolak, suspek bertindak agresif dengan menarik lengan mangsa dan membawanya menaiki motosikal ke kawasan semak. Di situ, mangsa diugut untuk mengikut kemahuan suspek dengan ancaman bahawa dia tidak akan dihantar pulang dan akan dibawa ke tempat yang lebih jauh sebelum dirogol buat kali pertama.

     Keadaan menjadi lebih teruk apabila mangsa turut dibawa ke rumah salah seorang suspek di Kecamatan Camplong. Di sana, mangsa dipaksa meminum minuman keras sehingga mabuk dan tidak sedarkan diri sebelum dirogol secara bergilir-gilir oleh kira-kira 10 orang suspek. Malah dalam satu kejadian berasingan, mangsa dirogol oleh seorang suspek di dalam bilik rumahnya sendiri walaupun terdapat ahli keluarga suspek yang sedang tidur di bilik sebelah.

     Kegiatan keji ini terbongkar selepas keluarga mangsa berasa curiga dengan perubahan sikap remaja itu yang sering pulang lewat malam. Setelah didesak oleh keluarga, mangsa akhirnya mendedahkan segala penderitaan yang dilaluinya. Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat pada 29 Jun 2026 bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

     Bertindak atas laporan tersebut, pihak polis melancarkan gerakan memburu suspek. Hingga setakat ini, seramai 12 orang suspek telah berjaya ditahan dalam beberapa siri tangkapan bermula 30 Jun sehingga 3 Julai 2026. Antara suspek yang ditahan termasuklah remaja di bawah umur dengan usia seawal 13 tahun serta beberapa orang dewasa.

     Polis kini sedang giat mengesan baki 15 orang lagi suspek yang masih bebas. AKBP Hartono menegaskan bahawa pihaknya telah memberikan tempoh selama tiga hari kepada suspek yang masih bebas untuk menyerah diri sebelum senarai Daftar Pencarian Orang (DPO) dikeluarkan.


Catat Ulasan for "REMAJA PEREMPUAN 15 TAHUN DIROGOL 27 ORANG LELAKI"