Kisah Ngeri Kes Jahit Bibir di Ibaraki

Pekerja kedai yang terkejut dengan situasi tersebut segera menghubungi talian kecemasan 110. Apabila pihak polis tiba dan membuka pelitup muka mangsa, mereka mendapati satu pemandangan yang mengerikan Bibir atas serta bawah mangsa telah dijahit bersama menggunakan jarum dan benang jahitan isi rumah secara kasar tanpa sebarang ubat bius serta diikat mati pada bahagian luar. Mangsa juga didapati mengalami pelbagai lebam pada fizikalnya dan tidak makan serta minum selama 24 jam akibat perbuatan tersebut.


Suspek utama yang ditahan pihak polis ialah seorang wanita berusia 50 tahun bernama Sakurai Masae. Rumah tempat kejadian berlaku merupakan sebuah kediaman kayu lama yang asalnya dibeli oleh bekas suami suspek. Selepas penceraian mereka, suspek terus tinggal di situ bersama dua anak lelakinya serta beberapa individu lain termasuk mangsa dan adiknya yang datang mencari perlindungan pada tahun sebelumnya. Suspek didapati sengaja menyasarkan wanita-wanita golongan rentan seperti mereka yang mengalami masalah kestabilan mental, tiada sokongan keluarga atau bergantung kepada bantuan kebajikan kerajaan dengan berpura-pura menjadi baik serta menawarkan tempat tinggal. Namun sebaik sahaja mangsa menetap di rumahnya, suspek bertindak merampas kad bank dan buku simpanan atas alasan mahu menguruskannya walhal mengambil semua wang bantuan tersebut manakala mangsa pula dijadikan buruh percuma untuk melakukan kerja rumah serta dibebani dengan hutang palsu.
Satu persoalan besar yang sering ditimbulkan oleh orang ramai ialah mengapa mangsa tidak melarikan diri sedangkan kediaman tersebut tidak berkunci dari dalam dan tiada sebarang halangan fizikal yang ketara. Menurut pakar psikologi, mangsa telah jatuh ke dalam perangkap mental yang dikenali sebagai learned helplessness (ketidakberdayaan yang dipelajari). Suspek secara berterusan melakukan penderaan mental, mencuci otak mangsa dengan kata-kata hinaan bahawa dirinya tidak erguna serta menakut-nakutkannya hingga mangsa hidup dalam ketakutan melampau dan hilang keyakinan untuk melawan atau melarikan diri. Malah siasatan mendapati bahawa sebelum kejadian kemuncak itu, suspek pernah memaksa mangsa menjahit mulutnya sendiri sebagai satu bentuk hukuman psikologi yang sangat menakutkan mangsa.

Suspek akhirnya ditahan secara rasmi oleh pihak polis wilayah Ibaraki atas tuduhan melakukan serangan fizikal dan mendatangkan kecederaan. Namun semasa disoal siasat, suspek dilaporkan menafikan pertuduhan tersebut dan mendakwa tidak tahu-menahu mengenainya. Pihak pendakwaan kini berdepan cabaran besar dalam mengumpulkan bukti kukuh bagi membuktikan elemen kawalan mental dan penderaan psikologi di mahkamah memandangkan sistem perundangan sedia ada lebih cenderung memfokuskan kepada bukti kecederaan fizikal.
Catat Ulasan for "Kisah Ngeri Kes Jahit Bibir di Ibaraki"