Kisah Perbalahan Internet 16 Tahun yang Berakhir dengan Tikaman

      Konflik yang melibatkan dua orang wanita ini bermula pada tahun 2005 yakni ketika era gelombang imigrasi ke luar negara mendapat sambutan hangat dalam kalangan rakyat di China. Sebuah forum internet berbahasa Cina yang popular menjadi tempat berkumpulnya bakal-bakal migran untuk bertukar maklumat. Di platform inilah seorang wanita bernama Lu Jing sering mempamerkan gaya hidup mewah, berkongsi kejayaan peribadi dan mengeluarkan kenyataan berbaur angkuh yang memandang rendah kepada golongan rakyat biasa.

     Shen Qinqing, seorang wanita yang mempunyai pendirian tegas dan tidak mudah mengalah berasa amat terganggu dengan sikap riak Lu Jing. Kemuncak ketegangan awal tercetus apabila Lu Jing memuat naik gambar beg tangan berjenama mewah kononnya sebagai bukti kejayaannya. Shen Qinqing bertindak meneliti gambar tersebut secara terperinci sebelum mendedahkan di ruang komen bahawa beg tangan itu sebenarnya adalah barangan tiruan. Pendedahan terbuka ini menyebabkan Lu Jing menanggung malu yang besar di hadapan ribuan warga maya.

     Rasa dendam yang membara akibat dipermalukan di atas talian mendorong Lu Jing untuk melakukan siasatan balas. Menggunakan kelemahan kawalan privasi internet pada masa itu, Lu Jing membongkar maklumat peribadi Shen Qinqing seperti sejarah perkahwinan, latar belakang keluarga dan butiran peribadi lain lalu menyebarkannya secara terbuka ke dalam forum. Tindakan pendedahan maklumat peribadi ini menyalakan semula api kemarahan Shen Qinqing. 

      Kedua-dua wanita ini secara kebetulan kemudiannya berhijrah dan menetap di bandar raya Vancouver, Kanada dalam tempoh yang tidak begitu lama selepas itu. Walaupun berada di persekitaran baharu di luar negara, mereka tidak melupakan permusuhan lama. Mereka sebaliknya mula aktif di forum tempatan diaspora Cina di Kanada untuk meneruskan kempen menjatuhkan reputasi antara satu sama lain. Shen Qinqing sering menyebarkan khabar angin yang merosakkan perniagaan dan perkhidmatan pendidikan yang diusahakan oleh Lu Jing. Lu Jing pula tidak henti-henti menyerang maruah peribadi Shen Qinqing serta masuk campur dalam hal keluarga termasuk anak lelaki musuhnya itu.

      Pertelagahan yang berpanjangan ini akhirnya memberi kesan buruk terhadap kesihatan mental kedua-dua pihak. Walau bagaimanapun, tiada siapa yang mahu mengalah demi mempertahankan ego masing-masing. Disebabkan tiada jalan penyelesaian secara baik, Lu Jing mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan saman fitnah dan gangguan terhadap Shen Qinqing pada tahun 2016. Shen Qinqing pula membuat tuntutan balas dengan hujah bahawa dirinya adalah mangsa sebenar yang ditekan terlebih dahulu.

     Mahkamah Tinggi British Columbia menghadapi kesukaran yang besar dalam mengendalikan kes ini kerana timbunan bahan bukti berupa cetakan skrin cacamerba, e-mel jelik dan bahasa kesat yang dihantar selama bertahun-tahun. Pada April 2020, pihak mahkamah akhirnya menjatuhkan keputusan muktamad dengan memerintahkan kedua-dua pihak membayar panti ganti rugi kewangan antara satu sama lain serta mengarahkan agar segala hantaran berunsur fitnah dipadamkan serta-merta. 

     Hinggalah pada 25 Mei 2021, dewan Mahkamah Tinggi Vancouver No. 32 sepatutnya menjadi tempat bagi mendengar permohonan susulan berkaitan ketidakpatuhan perintah mahkamah. Shen Qinqing hadir dengan membawa beg yang menyembunyikan tukul besi dan pisau tajam tanpa dikesan oleh pihak keselamatan yang longgar pada waktu itu. Sebelum prosiding rasmi bermula dan ketika di dalam dewan yang hampir kosong, Shen Qinqing bertindak menyerang Lu Jing secara fizikal dari arah belakang menggunakan tukul sebelum melibas Lu Jing dengan pisau bertubi-tubi.

     Serangan mengejut itu menyebabkan Lu Jing mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, dada dan tangan serta berlumuran darah di lantai mahkamah sebelum berjaya dikawal oleh pihak berkuasa. Lu Jing bernasib baik kerana terselamat daripada maut selepas menerima rawatan kecemasan yang intensif. Berikutan serangan kejam tersebut, pihak pendakwaan mengemukakan pertuduhan berat terhadap Shen Qinqing. Pada Januari 2023, Mahkamah Kanada secara rasmi mensabitkan Shen Qinqing atas empat pertuduhan termasuk cubaan membunuh, mendatangkan cedera parah dan memiliki senjata berbahaya dengan niat jahat. Hakim menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun kepada Shen Qinqing.


Catat Ulasan for "Kisah Perbalahan Internet 16 Tahun yang Berakhir dengan Tikaman "