Kunjungan Maut: Wanita Thailand Ditemui Beku Dalam Peti Sejuk Pejabat Di Taiwan

Semakan rekod Imigresen Taiwan kemudian mengesahkan bahawa Ah Ying telah memasuki negara itu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan pada 2 September 2026 menggunakan visa pelancongan 14 hari dengan rancangan awal untuk pulang ke Bangkok pada 14 September. Walau bagaimanapun, semakan sistem penerbangan mendapati tiada sebarang rekod berlepas atas namanya pada tarikh tersebut. Hal ini mengesahkan dia terus terkandas di dalam negara itu.
Latar belakang Ah Ying mendedahkan sebuah kisah kehidupan yang penuh dengan cabaran. Dilahirkan di daerah Phlap Phla Chai, wilayah Buriram di timur laut Thailand, dia dibesarkan dalam sebuah keluarga yang rapuh akibat pemergian ibu bapa sejak usianya masih kecil dan dibesarkan oleh neneknya yang kini telah meninggal dunia. Demi kelangsungan hidup, Ah Ying berhijrah ke Korea Selatan dan bekerja dalam sektor kilang serta perkhidmatan asas selama lebih sepuluh tahun.

Tempoh yang panjang di perantauan membentuk peribadinya yang berdikari, berhati-hati dan sentiasa aktif berkongsi perkembangan diri dengan waris di kampung halaman. Sekitar tahun 2025, dia menamatkan tempoh buruh di Korea dan pulang ke Bangkok untuk memulakan hidup baharu. Dalam fasa ini, Ah Ying mendedahkan kepada keluarganya bahawa dia sedang menjalin hubungan cinta jarak jauh dengan seorang lelaki asing yang kemudiannya dikenal pasti sebagai rakyat Taiwan. Keputusannya menjejakkan kaki ke Taiwan pada awal September adalah khusus untuk menemui lelaki berkenaan dan menyelesaikan isu peribadi.
Selepas tiba di Taiwan, Ah Ying mendaftar masuk ke sebuah hotel perniagaan di Jalan Chengdu, kawasan komersial Ximending yang sibuk di Taipei. Sepanjang tempoh dari 2 September hingga 11 September, dia kekal aktif berhubung dengan sepupunya di Thailand, menghantar gambar makanan, suasana jalanan serta perbualan normal tanpa menunjukkan sebarang tanda tekanan atau diancam bahaya. Namu keadaan mula mencurigakan apabila mesej WhatsApp daripada keluarganya mula tidak dibalas bermula malam 12 September. Bertindak atas laporan kehilangan, sepasukan polis menemui bilik hotel Ah Ying yang didapati berada dalam keadaan tidak terusik. Barangan peribadi, pakaian, pasport dan sebahagian wang tunai masih tersusun kemas di dalam bilik sementara bagasi besar dan Ah Ying sahaja yang hilang.

Pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pihak hotel merungkai detik-detik akhir yang merumuskan misteri kehilangan tersebut. Pada malam 12 September, seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun bernama Wu Junyi yang bekerja dalam bahagian pentadbiran logistik di sebuah syarikat teknologi di Taichung dilihat memasuki bilik hotel Ah Ying. Wu Junyi mempunyai rekod perjalanan kerap ke Thailand hampir setiap bulan sejak setahun lalu selari dengan maklumat hubungan sulit Ah Ying. Pada jam 1 pagi, 13 September, Wu Junyi kelihatan keluar dari bilik tersebut dengan memakai topi besbol bagi menyembunyikan identitinya sambil menyeret sebuah bagasi hitam berukuran 30 inci yang kelihatan jauh lebih berat berbanding ketika dia masuk. Lelaki itu kemudian memasukkan bagasi tersebut ke dalam kenderaan peribadinya sebelum naik semula ke bilik untuk mengambil beg sampah hitam berisi barangan peribadi mangsa dan terus memecut kenderaan keluar dari Taipei menuju ke selatan, kembali ke bandar raya Taichung.
Susulan risikan dan penjejakan GPS, pihak polis berjaya menahan Wu Junyi di sebuah kawasan pesisir pantai di Taichung ketika dia disyaki merancang untuk melarikan diri. Selepas soal siasat dan penolakan pembohongan awalnya, dia akhirnya mengaku membunuh mangsa dan mendedahkan lokasi persembunyian mayat. Pada 19 September, pihak polis membawa suspek ke premis syarikat tempat dia bekerja di Pusat Perdagangan Nasional Taichung. Di ruang pantri pejabat di tingkat 19, satu unit peti sejuk komersial menegak berkapasiti lebih 200 liter ditemui. Apabila dibuka oleh pihak forensik, mayat Ah Ying yang sudah beku ditemui disumbat di bahagian paling bawah peti tersebut lengkap berpakaian sementara bagasi besar yang digunakan untuk mengangkutnya diletakkan berdekatan. Siasatan mendedahkan bahawa Wu Junyi memberi alasan kepada rakan sekerja bahawa peti sejuk itu dibeli khusus untuk menyimpan bahan mentah bagi majlis barbeku sempena sambutan Perayaan Pertengahan Musim Luruh membolehkan mayat Ah Ying tersembunyi di pejabat itu selama enam hari sementara pekerja lain menggunakan kemudahan pantri seperti biasa.

Meskipun Wu Junyi cuba mempertahankan diri dengan mendakwa kejadian itu berlaku secara tidak sengaja akibat hilang kawalan emosi selepas mangsa meminta putus cinta, bukti forensik digital mematahkan hujah tersebut. Semakan resit elektronik dan rekod logistik membuktikan bahawa peti sejuk komersial gergasi serta beg bagasi 30 inci itu sebenarnya telah dibeli dan dihantar beberapa hari sebelum mangslla Ah Ying tiba di Taiwan lagi. Ini menunjukkan pembunuhan tersebut telah dirancang dengan teliti oleh suspek seawal ketibaan mangsa. Pihak pendakwaan kini menahan reman suspek di bawah Akta Kanun Keseksaan atas pertuduhan membunuh dan pelupusan bahan bukti, yang membawa hukuman berat termasuk kemungkinan hukuman mati sementara urusan pemulangan abu mayaat Ah Ying ke Thailand diselaraskan melalui kerjasama kedutaan.
Catat Ulasan for "Kunjungan Maut: Wanita Thailand Ditemui Beku Dalam Peti Sejuk Pejabat Di Taiwan"