Gypsy Rose Menipu Tentang Kematian Pasangannya?

      AMERIKA SYARIKAT— Kematian mengejut pasangan kepada personaliti media terkenal Amerika Syarikat, Gypsy Rose Blanchard iaitu Ken Urker pada usia 34 tahun kini mencetuskan kontroversi baharu selepas adik perempuan mendiang, Autumn Urker tampil secara terbuka menyelar kenyataan Gypsy Rose. 

      Urker ditemui tidak sedarkan diri di kediamannya di Raceland, Louisiana pada 1 Oktober 2026 yang juga merupakan hari ulang tahun kelahirannya. Pihak berkuasa tempatan mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian. Sejurus selepas kejadian, Gypsy Rose memberikan kenyataan kepada media bahawa dia mengesyaki Urker meninggal dunia akibat dos dadah berlebihan disebabkan tekanan emosi teruk berpunca daripada kecaman dan gangguan siber di media sosial. 

     Walau bagaimanapun, naratif tersebut dibantah keras oleh adik mendiang, Autumn Urker menerusi sesi siaran langsung di TikTok dan temu bual bersama media tempatan. Autumn mendakwa keluarga mereka amat jijik dengan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Gypsy Rose. Dia menuduh Gypsy Rose sengaja mendahului keluarga untuk membocorkan maklumat kematian Urker kepada media demi perhatian selain mendakwa Gypsy Rose tidak pernah menghubungi ibu mereka mahupun ahli keluarga yang lain untuk mengucapkan takziah sejak insiden berlaku. 

      Lebih mencurigakan, Autumn mendedahkan bahawa hubungan antara Urker dan Gypsy Rose sebenarnya telah terputus sejak lebih sebulan lalu atas keputusan Urker sendiri. Autumn menafikan dakwaan bahawa Urker dan Gypys Rose masih bersama, merancang untuk berkahwin atau cuba mendapatkan anak kedua. Autumn turut mempertikaikan kenyataan Gypsy Rose yang mendakwa sempat menghantar mesej ucapan ulang tahun kelahiran kepada Urker sebelum penemuan jasadnya dengan menegaskan bahawa Urker sudah lama tidak bertukar mesej atau berkomunikasi secara langsung dengan Gypsy Rose. Pendedahan ini sekali gus menguatkan desas-desus yang tular di media sosial sebelum ini mengenai isu hak penjagaan anak sulung mereka, Aurora Raina Urker yang lahir pada Disember 2024. 

      Perjalanan ikatan mereka sememangnya sarat dengan pelbagai konflik sejak bermula pada tahun 2017. Urker mula menghubungi Gypsy Rose menerusi surat ketika wanita itu masih berada dalam penjara Missouri atas kesalahan membunuh ibunya, Dee Dee Blanchard. Selepas pernah mengikat pertunangan pada 2018 dan berpisah pada 2019, Gypsy Rose berkahwin dengan Ryan Scott Anderson pada 2022 sebelum bercerai sebaik sahaja dibebaskan secara parol pada awal 2024. Dia kemudian kembali menjalin hubungan dengan Urker pada April 2024 sehingga membawa kepada kelahiran anak mereka. 

      Meskipun polis tidak mengklasifikasikan kes ini sebagai kes jenayah, dakwaan terbuka daripada pihak keluarga Urker kini menimbulkan pelbagai persoalan berkenaan situasi sebenar dan punca yang membawa kepada hari-hari terakhir kehidupan Ken Urker.

Catat Ulasan for "Gypsy Rose Menipu Tentang Kematian Pasangannya?"