Kisah Anna Nicole Smith: Skandal Harta Pusaka Paling Kontroversi di Amerika Syarikat

Anna Nicole Smith dilahirkan dengan nama Vickie Lynn Hogan di Houston, Texas dalam sebuah keluarga yang serba kekurangan. Dia meninggalkan bangku sekolah pada usia muda sebelum bekerja sebagai pelayan restoran makanan segera dan akhirnya menjadi penari di sebuah kelab malam eksotik. Di sinilah pada tahun 1991, dia bertemu buat kali pertamanya dengan J. Howard Marshall II, seorang hartawan minyak yang telah berusia 89 tahun yang memegang pegangan saham besar dalam syarikat minyak Great Northern Oil Co. dan Koch Industries.
Walaupun berusia 89 tahun dan uzur akibat faktor usia, Marshall terpikat dengan kecantikan fizikal Anna Nicole yang menyerupai legenda Hollywood, Marilyn Monroe. Pertemuan di kelab malam tersebut segera bertukar menjadi hubungan perlindungan kewangan yang mewah apabila Marshall mula menaburkan pelbagai hadiah bernilai tinggi seperti pakaian berjenama mahal, barang kemas, kereta mewah serta wang tunai berjumlah ratusan ribu dolar untuk menampung kehidupan Vickie dan anak lelakinya, Daniel.

Puncak kontroversi bermula pada 27 Jun 1994 apabila Anna Nicole yang ketika itu berusia 26 tahun secara rasmi berkahwin dengan J. Howard Marshall II yang sudah mencecah usia 89 tahun. Majlis perkahwinan yang diadakan secara sederhana di Houston tersebut mencetuskan kontroversi kerana jurang usia mencecah 63 tahun hingga mereka dijadikan sebagai bahan ketawa, caci maki dan tajuk utama akhbar tabloid. Pelbagai pihak terutamanya keluarga terdekat Marshal melabelkan perkahwinan itu sebagai satu penipuan terang-terangan kerana mendakwa Anna Nicole semata-mata mengahwini seorang lelaki tua yang uzur dan nyanyuk demi membolot kekayaan berbilion dolar. Anna Nicole bagaimanapun mempertahankan bahawa perkahwinan tersebut berasaskan kasih sayang yang tulen. Anna Nicole mendakwa Marshall pernah melamarnya berulang kali sejak tahun 1991 sebelum dia akhirnya bersetuju untuk menerima lamaran tersebut selepas bertahun-tahun mengenali hati budi masing-masing.

Rumah tangga mereka bagaimanapun tidak bertahan lama kerana hanya selepas 14 bulan bergelar suami isteri, J. Howard Marshall II menghembuskan nafas terakhir pada 4 Ogos 1995 akibat komplikasi kesihatan di usia 90 tahun. Kematian jutawan itu serta-merta mengubah hidup Anna Nicole menjadi satu mimpi ngeri yang tidak berkesudahan apabila namanya langsung tidak tersenarai sebagai waris atau penerima sebarang bahagian daripada harta pusaka suaminya yang dianggarkan bernilai antara 500 juta hingga 1.6 bilion dolar kerana segala harta kekayaan tersebut telah diletakkan di dalam struktur amanah keluarga yang dikawal sepenuhnya oleh anak bongsu Marshall iaitu E. Pierce Marshall. Menyedari dirinya disingkirkan daripada harta pusaka, Anna Nicole mengambil tindakan undang-undang agresif dengan memfailkan tuntutan di mahkamah probate Texas. Dia mendakwa bahawa suaminya telah berjanji secara lisan untuk memberikan separuh daripada estet empayar minyak tersebut sebagai jaminan masa depan hidupnya.
Pertikaian harta pusaka ini melibatkan pelbagai bidang kuasa undang-undang di Amerika Syarikat dan memakan belanja jutaan dolar apabila Anna Nicole turut memfailkan perlindungan muflis di California sebelum memenangi tuntutan ganti rugi bernilai kira-kira 474 juta dolar selepas hakim mendapati E. Pierce Marshall telah bertindak secara penipuan untuk menyekat hak harta Anna Nicole melalui pindaan wasiat saat-saat akhir. Keluarga Marshall bertindak membalas dengan membawa kes tersebut ke Mahkamah Rayuan Persekutuan yang kemudiannya membatalkan kemenangan Anna Nicole di California atas alasan bahawa mahkamah persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa mengatasi keputusan mahkamah probate peringkat negeri di Texas yang sebelum itu memihak kepada keluarga Marshall.
Tidak mengalah, kes ini akhirnya dibawa ke peringkat tertinggi iaitu Mahkamah Agung Amerika Syarikat pada Mei 2006 di mana Mahkamah Agung membuat keputusan sebulat suara memihak kepada Anna Nicole dengan memutuskan bahawa mahkamah persekutuan sebenarnya mempunyai hak untuk mendengar tuntutannya terhadap anak tirinya walaupun kes itu tetap diarahkan supaya dibicarakan semula di peringkat bawah tanpa memutuskan siapa pemilik sebenar harta pusaka tersebut.
Di tengah-tengah tekanan pertempuran guaman yang melelahkan, kehidupan peribadi Anna Nicole dilanda tragedi demi tragedi yang meranapkan jiwanya apabila dia mula bergantung secara teruk kepada ubat-ubatan tahan sakit dan preskripsi psikiatri. Pada September 2006 yakni ketika Anna Nicole berada di sebuah hospital di Bahamas untuk melahirkan anak perempuannya, Dannielynn, satu malapetaka besar berlaku apabila anak lelaki sulungnya, Daniel Smith yang berusia 20 tahun meninggal dunia secara mengejut di sisi katil hospital akibat dos berlebihan gabungan ubat-ubatan. Tidak sampai enam bulan selepas pemergian anaknya, pada 8 Februari 2007, Anna Nicole meninggal dunia pada usia 39 tahun di sebuah bilik hotel di Seminole, Florida akibat keracunan akut kombinasi pelbagai jenis ubat preskripsi. Pada waktu itu, pertikaian undang-undang merebut harta pusaka J. Howard Marshall II masih lagi berjalan di mahkamah bawah tanpa sebarang kata putus.

Selepas kematian Anna Nicole Smith, perjuangan menuntut harta pusaka tersebut diteruskan oleh pengurus estaknya bagi pihak anak yatimnyaz Dannielynn Marshall. Sementara itu, E. Pierce Marshall sendiri telah meninggal dunia terlebih dahulu pada tahun 2006. Pada Mac 2011, Mahkamah Rayuan Persekutuan di California akhirnya mengeluarkan keputusan muktamad yang menolak sepenuhnya tuntutan pihak Anna Nicole Smith dan mengekalkan keseluruhan harta pusaka J. Howard Marshall II di bawah penguasaan keluarga Marshall. Kesudahan ini menyaksikan Anna Nicole meninggal dunia tanpa sesen pun daripada harta berbilion dolar yang ditinggalkan mendiang suaminya.

Catat Ulasan for "Kisah Anna Nicole Smith: Skandal Harta Pusaka Paling Kontroversi di Amerika Syarikat "