Kisah 'Bapa Angkat Terbaik' yang Dibunuh Kejam oleh Anak Angkatnya

     Pada bulan Julai 2026 bertempat di di Desa Kaloran, Kabupaten Nganjuk, Jawa Timur, Indonesia, satu kes pembunuhan kejam telah berlaku. Kisah bermula bertahun-tahun lalu apabila pasangan suami isteri iaitu Gatot Tri Wahyu Widodo dan isterinya hidup bahagia di kampung tersebut. Pak Gatot bekerja sebagai jurujual di sebuah perusahaan rokok tempatan manakala isterinya juga mencari rezeki di sektor yang sama. Walaupun hidup dalam keadaan yang bahagia, rumahtangga mereka diuji dengan ketiadaan cahaya mata. Pada tahun 2007, kehidupan mereka berubah apabila seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan diserahkan untuk dijaga. Bayi tersebut yang dinamakan Diana Marcelinda Gatot dibesarkan dengan penuh kasih sayang seperti darah daging sendiri tanpa sebarang kekurangan.

     Seiring dengan peningkatan usianya, Diana membesar sebagai anak yang amat dimanjakan. Apabila mencecah usia remaja dan melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah, Diana menyimpan cita-cita yang tinggi untuk menjadi seorang doktor. Demi menyokong impian tersebut, Pak Gatot dan isterinya memasukkan Diana ke sebuah sekolah menengah kesihatan dengan perancangan untuk meneruskan pengajian ke peringkat universiti dalam bidang perubatan kelak. Walau bagaimanapun, keadaan keluarga ini mula goyah menjelang tahun 2023 apabila kesihatan Pak Gatot merosot akibat penyakit paru-paru kronik yang memaksanya berhenti bekerja. Halnini menyebabkan isterinya sebagai satu-satunya pencari nafkah keluarga manakala Pak Gatot lebih banyak menghabiskan masa di rumah.

     Dalam fasa peralihan usia remaja, Diana mula menunjukkan sikap membangkang dan sukar dikawal apabila bergaul bebas hingga sukar ditegur. Bimbang melihat masa depan anak angkatnya terpesong, Pak Gatot mula mengambil pendekatan yang lebih tegas dalam mendidiknya. Malangnya, ketegasan ini disalaherti oleh Diana. Apabila Diana mendapati dirinya adalah anak angkat, dirinya mula memupuk perasaan dendam dan bersangka buruk di mana dia menyangka layanan tegas bapa angkatnya itu disebabkan oleh statusnya yang bukan anak kandung. Kemuncak kepada ketegangan ini berlaku pada tahun 2026 apabila Diana menjalinkan hubungan cinta dengan Novian Jerry Saputra, seorang lelaki berusia 28 tahun yang berasal dari keluarga kurang berkemampuan dan berdepan masalah hutang. Diana kemudian mendesak bapa angkatnya untuk berkahwin segera dengan Novian.

     Permintaan untuk bernikah itu ditolak sekeras-kerasnya oleh Pak Gatot kerana dia mahu Diana memberi tumpuan kepada cita-citanya untuk ke universiti. Tambahan pula keluarga mereka belum mempunyai persediaan yang stabil. Walaupun Pak Gatot sedang bergelut dengan kesakitan akibat masalah paru-paru dan berusaha menjual sebidang tanah milik mereka semata-mata untuk membiayai impian Diana menjadi doktor, niat murni itu langsung tidak dihargai. Rasa benci yang terkumpul akibat penolakan perkahwinan tersebut mendorong Diana merancang pakatan jahat bersama kekasihnya untuk melenyapkan nyawa bapa angkat yang selama ini membesarkannya dengan penuh penat lelah.


    Pada 13 Julai 2026 yakni ketika ibu angkatnya keluar bekerja lebih masa dan tidak pulang ke rumah, Diana dan Novian melaksanakan rancangan terancang tersebut. Pak Gatot yang uzur dan tidak berdaya diserang dari belakang oleh Diana yang memeluk tubuh mangsa, ditekup mulutnya sebelum Novian melibas kepala Pak Gatot menggunakan tukul besi sebanyak tiga kali. Tidak cukup dengan itu, Pak Gatot turut ditikam dan dikelar pada bahagian leher menggunakan pisau hingga meninggal dunia. Bagi menyembunyikan jenayah keji tersebut, pasangan kekasih itu mengikat tangan Pak Gatot lalu mengusungnya ke pekarangan bersebelahan rumah untuk ditanam dalam sebuah lubang sedalam satu meter sebelum disamarkan dengan daun pisang dan ranting kayu.

     Selepas membunuh Pak Gatot, Diana dan Novian cuba menutup jejak dengan melarikan diri ke Malang dan Sidoarjo serta memberikan pelbagai maklumat palsu kepada ahli keluarga mangsa menggunakan telefon bimbit mangsa. Tembelang mereka bagaimanapun akhirnya pecah apabila jiran tetangga mula curiga dengan bau busuk serta gerak-geri mencurigakan selain dakwaan penduduk yang sempat melihat Diana dan Novian membawa cangkul di sekitar kawasan rumah. Pihak berkuasa yang digerakkan ke lokasi penemuan segera menggali kubur tersebut sebelum mengesahkan mayat itu adalah Pak Gatot. Kurang daripada sepuluh jam selepas mayat ditemui, pihak polis berjaya memburu dan menahan Diana bersama Novian di wilayah Sidoarjo.

     Berhubung dengan status perundangan kes ini, kedua-dua suspek kini berdepan dengan pertuduhan berat di bawah peruntukan pembunuhan terancang dengan ancaman hukuman maksimum merangkumi pidana mati, penjara seumur hidup atau penjara sehingga 20 tahun sementara menunggu proses perbicaraan penuh.

Catat Ulasan for "Kisah 'Bapa Angkat Terbaik' yang Dibunuh Kejam oleh Anak Angkatnya"