Kisah Pembunuhan Kejam Munevver Karabulut

     Munevver Karabulut lahir pada 7 Mac 1991 dalam keluarga kelas pertengahan yang sederhana dan mesra di Istanbul. Bapanya, Sureyya Karabulutnbekerja sebagai tukang masak profesional manakala ibunya, Nagihan Karabulut pula merupakan seorang suri rumah. Munevver membesar sebagai seorang remaja yang ceria, pintar dan berprestasi tinggi dengan impian besar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Namun kehidupannya berubah secara drastik selepas bertemu dengan Cem Garipoglu pada penghujung tahun 2008 semasa menghadiri kelas bimbingan peperiksaan di kawasan pemukiman mewah Bebek. 

     Cem lahir daripada dinasti keluarga Garipoglu yang merupakan antara konglomerat terkemuka dan terkaya di Turki. Di sebalik kehidupan mewahnya yang kerap berpindah ke sekolah antarabangsa luar negara, Cem menyimpan personaliti yang amat tertutup dan tidak stabil dari segi emosi.

     Kejadian pembunuhan berlaku pada 3 Mac 2009. Munevver yang ketika itu berusia 17 tahun telah berkunjung ke vila tiga tingkat milik keluarga Cem di Bahcesehir selepas waktu sekolah. Berdasarkan siasatan dan bukti saintifik forensik, Munevver telah diserang secara kejam di dalam vila berkenaan. Laporan bedah siasat mengesahkan gadis itu mengalami sekurang-kurangnya 29 luka tikaman dan kelaran dengan tanda-tanda pertahanan pada telapak tangan yang menunjukkany sempat bergelut untuk mempertahankan nyawanya. 

     Lebih mengerikan, pemeriksaan forensik mendapati Munevver dipenggal ketika masih bernafas dan mempunyai detak jantung selepas mengalami kecederaan parah. Cem kemudian memotong bahagian tubuh Munevver sebelum memasukkan kepala ke dalam koper dan badannya ke dalam beg gitar lalu membuangnya ke dalam tong sampah di kawasan perumahan elit Etiler. Mayat Munevver ditemui pada malam yang sama oleh seorang pemungut barang terpakai.

     Sebaik pihak polis mengenal pasti identiti Munevver dan memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) vila keluarga Garipoglu, Cem telah pun melarikan diri. Pelarian Cem selama 197 hari menjadi tajuk utama media di Turki dan mencetuskan demonstrasi besar-besaran. Pihak awam menuduh keluarga Garipoglu menggunakan kekayaan, jet peribadi dan pengaruh politik mereka untuk menyembunyikan Cem daripada tindakan undang-undang. Pelbagai khabar angin bertiup mendakwa Cem telah melarikan diru ke luar negara. Tekanan awam yang memuncak serta ancaman tindakan tegas ke atas empayar perniagaan keluarga Garipoglu akhirnya memaksa pihak keluarga berunding secara sulit dengan polis. Pada 17 September 2009, Cem diserahkan oleh peguam keluarganya di sebuah persimpangan jalan di Silivri.

    Perbicaraan kes dibuka secara rasmi pada 11 Februari 2010 di Pengadilan Kejahatan Berat Bakırkoy. Di dalam mahkamah, Cem mendakwa pembunuhan tersebut berlaku secara spontan akibat cemburu buta selepas menemui mesej daripada lelaki lain di telefon bimbit Munevver. Walau bagaimanapun, pihak pendakwa raya membuktikan bahawa pembelian gergaji dan alatan pemotong sebelum kejadian serta usaha pembersihan darah di lokasi kejadian menunjukkan adanya unsur perancangan awal. 

     Pada 18 November 2011, mahkamah mendapati Cem Garipoğlu bersalah atas tuduhan pembunuhan berencana dengan kekejaman luar biasa. Disebabkan usianya baru 17 tahun semasa kejadian berlaku, dia dijatuhi hukuman penjara maksimum untuk pesalah bawah umur iaitu 24 tahun. Ibu dan bapa saudara Cem turut dijatuhi hukuman penjara 3 tahun 6 bulan kerana memusnahkan bukti serta membantu pelarian suspek.

    Ketenangan kes ini sekali lagi berkecamuk apabila pada 10 Oktober 2014, pihak berkuasa penjara Silivri mengumumkan bahawa Cem telah membunuh diri di dalam sel isolasinya menggunakan beg plastik dan tali kain. Pengumuman yang tergesa-gesa ini disambut dengan skeptisisme tinggi oleh orang awam dan keluarga Karabulut. Mitos serta teori konspirasi merebak meluas mendakwa kematian itu direka untuk menyelamatkan Cem di mana mayat tahanan lain dimasukkan ke dalam sel manakala Cem melarikan diri dari Turki.

     Selepas desakan berterusan selama sedekad daripada keluarga Munevver, Kejaksaan Agung akhirnya mengarahkan pembongkaran kubur Cem Garipoglu pada 3 Oktober 2024. Sampel tulang dan gigi diekstrak untuk ujian DNA bebas. Pada pertengahan Oktober 2024, keputusan ujian forensik mengesahkan 100% bahawa rangka di dalam kubur tersebut adalah sah milik Cem Garipoğlu. Pengesahan biologi ini secara rasmi mematahkan konspirasi yang bertahan selama 10 tahun tersebut.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Munevver Karabulut"