Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

INSIDEN LALUAN DYATLOV : Kisah Misteri Kematian Sembilan Orang Pendaki Russia.



    Kisah Dyatlov Pass atau Insiden Laluan Dyatlov sudah pasti menjadi salah satu kisah kegemaran buat penggemar kisah misteri. Jalan ceritanya seolah-olah seperti dalam filem survival seram di mana sembilan orang pendaki telah ditemui mati dalam keadaan ngeri tanpa diketahui punca sebenar yang menyebabkan kematian mereka.


    Kisahnya bermula pada 25 Januari 1959 apabila sekumpulan pendaki berpengalaman yang terdiri daripada penuntut Polytechnical Institute memulakan perjalanan ekspedisi mereka untuk menuju ke kawasan pergunungan salji di bahagian utara Ural, Sverdlosk Oblask, Russia dengan menaiki kereta api. Kumpulan pendaki yang diketuai oleh Igor Dyatlov itu terdiri daripada lapan orang lelaki dan dua orang wanita.


    Sebaik saja tiba di Vizhai, kumpulan Dyatlov tersebut telah menaiki lori menuju ke Otorten. Matlamat sebenar pendakian mereka ketika itu adalah untuk mencapai puncak gunung yang terletak di bahagian utara kawasan tersebut. Ekspedisi itu bagaimanapun menjadi sedikit cacat apabila salah seorang daripada mereka yang bernama Yuri Yudin terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir kerana telah jatuh sakit. 

    Mengikut rancangan asal kumpulan Dyatlov itu, mereka sepatutnya pulang semula ke Vizhai pada 11 Februari ataupun akan mengalami sedikit kelewatan dari tarikh tersebut. Namun selepas hari demi hari berlalu, masih tiada sebarang perkhabaran berita tentang mereka.

Khemah kumpulan Dyatlov

    Menjelang 20 Februari 1959, pihak berkuasa telah melancarkan operasi pencarian dengan skala besar-besaran yang turut disertai oleh anggota keluarga, guru-guru dan kenalan mereka. Petunjuk pertama berjaya ditemui pada hari keenam operasi pencarian. Khemah kumpulan Dyatlov yang sudah koyak teruk akibat dikoyakkan dari dalam itu dikesan berada di Kholat Syakhl iaitu gunung yang digelar oleh penduduk tempatan sebagai gunung kematian. Kesan tapak kaki mereka juga telah ditemui di luar khemah hingga ke kawasan hutan berhampiran. Ini bermaksud kumpulan Dyatlov melarikan diri daripada sesuatu. 

    Mayat Krivonnischenko dan Doroshenko merupakan antara mayat terawal yang ditemui. Mayat mereka berdua yang hanya berpakaian seluar dalam dan berkaki ayam itu ditemui di kawasan bawah batang pokok. Berdasarkan penemuan kulit yang melekat pada batang pokok tersebut memberi teori awal bahawa kedua-dua mangsa telah cuba untuk memanjat pokok bagi meninjau kawasan tapak perkhemahan mereka. Sementara itu, mayat Dyatlov, Kolmogorova dan Slobodin yang ditemui tidak jauh dari tapak perkhemahan. Mereka bertiga disyaki mati ketika sedang cuba untuk berpatah balik ke kawasan khemah. Mayat Dyatlov pula dilihat dalam keadaan posisi yang cuba untuk melindungi kepalanya daripada sesuatu. Slobodin ditemui dalam keadaan meniarap dengan tengkoraknya retak manakala mayat Kolmogotova telah berlumuran dengan darah.

    Saki baki mayat mangsa hanya berjaya ditemui pada dua bulan berikutnya. Mayat Zolotariov, Thibeaux Brignolell, Kolevatov dan Dubinina yang tertimbus dalam salji dikhuatiri menjadikan mereka antara yang terawal menemui ajal. Mayat mereka semua ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap dengan Zolotariov memakai topi serta baju Dubinina, manakala kaki Dubinina berbalut dengan seluar Krivonnischenko. Thibeaux Brignolell dipercayai mengalami nasib yang sama seperi Slobodin dengan tengkoraknya retak. Zolotariov dan Dubinina pula telah mengalami kecederaan yang parah pada bahagian organ dalaman mereka. Dikhabarkan, lidah Dubinina hilang akibat dikerat semasa hidup. Bagaimanapun menerusi dokumentari Lemmino yang berjudul The Dyatlov Pass Case, laporan perubatan Dubinina hanya menyatakan bahawa lidahnya hilang. Tiada sebarang butiran yang mengatakan lidah Dubinina dikerat, ditarik, digigit dan sebagainya.


     Berdasarkan laporan bedah siasat rasmi kes Dyatlov ini, punca kematian hampir kesemua mereka adalah disebabkan hipotermia. Namun, ramai pihak yang mempercayai bahawa Dyatlov dan rakan-rakannya telah berdepan dengan satu bencana dahsyat pada malam kejadian. Timbul beberapa teori yang menjelaskan tentang apa yang telah berlaku kepada mereka semua.


    Pertama, runtuhan salji. Runtuhan salji yang melanda pada malam kejadian itu menyebabkan suasana menjadi huru-hara dan panik kepada mangsa. Mangsa kemudian terpaksa mengoyakkan khemah dari dalam untuk melarikan diri kerana berasa bimbang akan berlakunya runtuhan salji susulan. Walau bagaimanapun, teori ini ada lompongnya memandangkan kecederaan yang dialami mangsa diperoleh sewaktu mereka berada di luar khemah. Lagipun, mereka semua merupakan pendaki yang sangat berpengalaman. Jadi, agak mustahil untuk mereka menanggalkan pakaian dalam situasi genting sedemikian.


    Kedua adalah angkara puak Mansi yang tinggal tidak jauh dari tapak perkhemahan itu. Dikhabarkan telah berlakunya satu pergaduhan antara kumpulan Dyatlov dan puak Mansi. Semuanya gara-gara berpunca daripada kepercayaan puak Mansi tentang kawasan pergunungan tersebut. Teori ini sangat lemah kerana puak Mansi sendiri merupakan antara sukarelawan yang terlibat dalam operasi pencarian kumpulan Dyatlov. Seperkara lagi, puak Mansi tidak mempunyai sebarang peraturan yang membenarkan mereka untuk menyerang mana-mana pihak.


    Ketiga, ujikaji tentera yang juga merupakan teori hangat diperdebatkan. Kumpulan Dyatlov berkemungkinan telah terserempak dengan sekumpulan tentera yang sedang melakukan ujikaji senjata atau menemui sebuah makmal rahsia. Pihak tentera yang enggan rahsia mereka terbongkar terus bertindak dengan serta merta untuk membunuh kumpulan Dyatlov. Teori ini disokong oleh Yuri Yudin kerana dia sendiri telah menemui beberapa barangan di tapak perkhemahan yang bukan milik rakan-rakannya. Namun, mengikut laporan tiada sebarang penemuan rekod bukti ujikaji senjata dijalankan di tempat kejadian. Malah, sisa radioaktif yang ditemui pada pakaian mangsa tidak memberi sebarang perkembangan siasatan.


    Keempat, teori UFO yang dicetuskan sendiri oleh salah seorang penyiasat kes Dyatlov iaitu Lev Ivanoc. Menurut Ivanoc, dia telah mendapati beberapa permukaan pokok terbakar. Teori ini bagaimanapun dianggap paling mengarut kerana tiada sebarang bukti kukuh untuk mengaitkan kewujudan makhluk asing di tempat kejadian. Lagipun Ivanoc sendiri sebenarnya yang begitu taksub dengan UFO.


    Kelima, dibunuh oleh makhluk Yeti. Mengikut cerita rakyat Nepal, Yeti adalah sejenis makhluk bersalji yang digambarkan menyerupai beruk dan mempunyai saiz tubuh badan besar daripada manusia normal. Menerusi sekeping foto dalam kamera milik Thibaul Brignolell, terdapat satu imej yang didakwa sebagai Yeti. Bagaimanapun, jika foto tersebut diperhatikan dengan betul-betul, imej itu berkemungkinan adalah salah seorang anggota kumpulan Dyatlov sendiri. Lagipun memang tiada sebarang tanda serangan atau kesan tapak kaki haiwan ditemui di tempat kejadian. Satu perkara yang memang tidak boleh dipertikaikan, kewujudan makhluk Yeti masih tidak pernah berjaya dibuktikan hingga ke hari ini.


    Teori keenam adalah ejen KGB. KGB merupakan badan penyiasat untuk kerajaan Soviet Union. Salah seorang kumpulan Dyatlov yang didakwa sebagai ejen pengintip telah menyertai ekspedisi untuk menghantar sampel radioaktif kepada ejen CIA. Namun, pertemuan itu telah bertukar menjadi pergaduhan hingga menyebabkan seluruh kumpulan Dyatlov terkorban. Individu yang dipercayai sebagai ejen itu adalah Zolotariov memandangkan dia adalah antara yang paling berusia serta mempunyai sejarah karier ketenteraan dengan kerajaan Soviet. Teori ini bagaimanapun dinafikan sekeras-kerasnya oleh  ahli keluarga Zolotariov.


    Teori ketujuh iaitu teori infrabunyi yang diasaskan oleh Donnie Eichar. Dia berpendapat bahawa semua kumpulan Dyatlov mati akibat serangan infrabunyi yang boleh mencetuskan rasa panik kepada manusia. Bagi Donnie, teorinya ini adalah penjelasan yang paling logik sebagai punca sebenar kematian kumpulan Dyatlov.

Dyatlov Pass

    Yuri Yudin yang meninggal dunia pada tahun 2013 pernah berkata,

    "Jika aku diberikan peluang untuk bercakap dengan tuhan, cuma satu soalan yang akan aku ajukan... Apa yang berlaku terhadap rakan-rakanku pada malam itu?"

    Adakah satu hari nanti bencana yang menimpa kumpulan Dyatlov pada malam itu akan berjaya dirungkai atau ia akan kekal menjadi misteri buat selama-lamanya? Satu kes teori konspirasi Russia yang mungkin tidak akan pernah terbongkar. 

    Kemas kini : Pada bulan Julai 2020, pihak berkuasa Rusia akhirnya mengesahkan bahawa punca sebenar kematian 9 pendaki dalam insiden Dyatlov Pass adalah disebabkan hipotermia di mana semua mangsa telah melarikan diri dari khemah susulan berlakunya runtuhan salji. Jadi kes yang menjadi misteri selama enam dekad ini akhirnya dianggap selesai.

Trailer filem berjudul Devil's Pass (2013) yang diadaptasi dari kisah sebenar Insiden Laluan Dyatlov.

Catat Ulasan for "INSIDEN LALUAN DYATLOV : Kisah Misteri Kematian Sembilan Orang Pendaki Russia."