Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH TIMMOTHY PITZEN : Selamat Tinggal Ayah!


     Timmothy Pitzen dilahirkan pada 18 Oktober 2004 di Aurora, Illinios, Amerika Syarikat. Dia yang merupakan anak tunggal kepada pasangan James Pitzen and Amy Joan Marie Fry-Pitzen digambarkan sebagai seorang budak ceria dan sentiasa bertenaga. Namun beberapa tahun selepas kelahiran Timmothy, rumah tangga antara James dan Amy telah mula bergolak. Seperkara yang perlu diketahui adalah Amy yang pernah bercerai sebanyak tiga kali ada mengalami masalah kemurungan. Selain itu, James dan Amy juga dilaporkan telah berbincang tentang penceraian pada waktu sebelum kehilangan Timmothy.

    Kisah bermula pada pagi 11 Mei 2011 apabila Amy mengambil Timmothy dari taska tanpa pengetahuan James. Amy memberitahu kepada pihak pengurusan taska bahawa dia terpaksa berbuat sedemikian adalah kerana kes kecemasan keluarga. Walau bagaimanapun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Dua anak beranak itu menghabiskan masa bersama dengan pergi melawat zoo dan kemudian bermalam di sebuah resort.

    Berkenaan dengan James, dia yang datang ke taska pada waktu petang hari kejadian untuk menjemput Timmothy mula berasa risau selepas diberitahu oleh pihak taska bahawa anaknya itu telah pun diambil oleh Amy. Rasa tidak puas hati, James cuba untuk menelefon Amy namun panggilan tersebut sekadar memasuki peti pesanan suara. Keesokan harinya, James telah membuat laporan polis selepas Amy dan Timmothy masih tidak munculkan diri. Amy dilaporkan ada menghubungi ibu dan abang James untuk memberitahu bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan.

    Pada 14 Mei 2011, Amy yang berusia 43 tahun ketika itu telah ditemui mati di dalam sebuah bilik hotel. Punca kematiannya adalah akibat bunuh diri dengan kesan kelaran pada pergelangan tangan serta lehernya. Malah Amy juga disahkan mengambil antihistamin secara dos berlebihan. Di sebelah mayatnya, terdapat sekeping nota  bertulis yang menyatakan bahawa Timmothy selamat bersama penjaga barunya. Hasil pemeriksaan awal, kali terakhir Timmothy dilihat adalah menerusi rakaman kamera litar tertutup yang bertarikh 13 Mei 2011 bersamaan dengan jam 10 pagi di mana dia telah dibawa keluar oleh Amy dari sebuah resort. Pada waktu malam hari yang sama, Amy dikesan mendaftar masuk ke sebuah hotel tanpa sebarang kelibat Timmothy. Dalam erti kata lain, Amy bermalam di hotel tersebut seorang diri. Dia juga didapati memakai baju yang berbeza dari sebelumnya.

Rakaman kamera litar tertutup

    Berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh pihak polis mendapati kereta yang dipandu oleh Amy waktu sebelum kejadian dikesan telah diparkir di sebuah kawasan berumput berdekatan dengan jalan raya. Maka, usaha pencarian Timmothy dijalankan di kawasan yang berpontensi. Malangnya, tiada sebarang petunjuk yang berjaya ditemui. Timmothy terus gagal untuk dikesan. Lama-kelamaan, kes kehilangan Timmothy kian menjadi dingin. Sementara itu, James tetap mempercayai bahawa Timmothy masih lagi hidup hingga pada hari ini.  Dia menolak sebarang kemungkinan anaknya itu telah dibunuh oleh Amy. James lebih mengenali isterinya daripada orang lain. Katanya, Amy sangat menyayangi Timmothy. Pendirian James tersebut bagaimanapun telah dipertikaikan oleh sesetengah pihak berikutan sejarah penyakit mental yang dihidapi oleh Amy. Jika diteliti semula rakaman kamera litar tertutup sepanjang waktu Timmothy keluar bersama Amy, dia kelihatan begitu gembira bersama ibunya hingga terserlahh keseronokan menikmati percutian itu. Berkemungkinan besar, Amy memang berniat untuk menggembirakan Timmothy pada waktu tersebut kerana ia adalah kali terakhir mereka berdua akan bersama. Dia beranggapan lebih baik Timmothy “hilang” berbanding hak penjagaan akan diberikan kepada James.

    Pada bulan April 2019, seorang lelaki telah muncul dengan membuat pengakuan bahawa dia adalah Timmothy Pitzen. James yang mendengar tentang berita tersebut mula menjadi tidak keruan kerana tidak menyangka Timmothy benar-benar masih hidup. Namun kesudahan beritanya begitu mengecewakan kerana selepas pemeriksaan dibuat, ternyata pengakuan lelaki yang mengaku sebagai Timmothy itu sebenarnya sekadar satu pembohongan. Dia bukanlah Timmothy, sebaliknya seorang lelaki berusia 23 tahun bernama Brian Michael Rini iaitu bekas banduan yang pernah dipenjarakan akibat kes rompakan dan vandalisme. Berhubung dengan hukuman kes penyamarannya, Brian telah dijatuhkan hukuman pada bulan Disember 2020 dengan dihukum penjara selama dua tahun.

Lelaki yang menyamar sebagai Timmothy Pitzen

Catat Ulasan for "KISAH TIMMOTHY PITZEN : Selamat Tinggal Ayah!"