Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

8 KISAH RINGKAS PEMBUNUHAN YANG BENAR-BENAR KEJAM!

8. VICTORIA MARTENS

    Pada 23 Ogos 2016, pihak polis  telah menerima panggilan aduan satu insiden pergaduhan yang berlaku di sebuah apartment kawasan New Mexico, Amerika Syarikat. Selepas pihak polis melakukan pemeriksaan di tempat kejadian, mereka telah menemui mayat seorang budak perempuan yang dibungkus dengan selimut dalam keadaan terbakar. Identiti mangsa dikenali sebagai Victoria Martens. Menyedihkan, pada hari kejadian tersebut adalah ulang tahun mangsa yang kesepuluh.

   Ekoran penemuan mayat mangsa, tiga individu merangkap sebagai suspek yang berada di apartment waktu itu telah ditahan serta merta oleh pihak polis meskipun salah seorang daripada mereka cuba untuk melarikan diri. Mereka adalah Michelle Martens (35 tahun - ibu kandung mangsa), Fabian Gonzales (31 tahun - teman lelaki Michelle) dan Jessica Kelley (31 tahun - sepupu Fabian). Jessica dilaporkan pada sebelumnya baru sahaja dibebaskan dari penjara.

   Berdasarkan laporan bedah siasat, Victoria dipercayai bukan sahaja dicekik, bahkan turut dirogol serta ditikam sebelum mayatnya itu dibakar untuk dilupuskan. Victoria  didapati mengandungi alkohol serta mengidap penyakit kelamin papilomavirus (HPV) akibat penderaan seksual yang berlaku pada beberapa minggu sebelum kematiannya.

   Sementara itu, Michelle akhirnya menceritakan perkara sebenar kepada pihak berkuasa meskipun pada awalnya dia cuba memutar belit cerita. Menurut Michelle, dia berasa begitu seronok melihat anaknya itu didera serta dirogol oleh Fabian. Satu lagi pengakuan tidak masuk akal daripada Michelle adalah dia pernah membiarkan dua orang lelaki lain merogol anaknya pada enam bulan sebelum kejadian. 

    Ketiga-tiga suspek yang ditahan telah didakwa atas kematian Victoria. Dilaporkan status perbicaraan mereka masih lagi sedang berjalan. 


7. SHAWNA LOUISE BLUNT NELSON

    Kisah dimulakan dengan wanita bernama Shawna Louise Blunt Nelson yang bertugas sebagai operator talian kecemasan manakala suaminya pula iaitu Ken Nelson bertugas sebagai Sherif. Mereka berdua mempunyai dua orang anak. 

    Diringkaskan ceritanya, Shawna mulai curang dengan menjalinkan hubungan bersama seorang anggota polis bernama Ignacio Garraus yang juga bergelar suami orang. Hubungan tersebut terjalin selepas masing-masing saling berkongsi masalah rumah tangga. Kecurangan Shawna itu bagaimanapun dapat dihidu oleh Ken. Disebabkan itu, Shawna dan Ken pun bercerai.

    Berbeza pula dengan Ignacio, dia enggan untuk menceraikan isterinya. Bagaimanapun, hubungan seks antara Ignacio dan Shawna tetap berterusan. Hinggalah satu hari, Shawna mengandungkan anak Ignacio. Ignacio yang enggan bertanggungjawab telah mendesak Shawna untuk menggugurkan kandungan tersebut. Selepas Shawna enggan berbuat sedemikian, maka Ignacio pun bertindak memutuskan hubungan mereka berdua. Shawna kemudian membuat keputusan untuk cuba kembali bersama Ken. Mungkin demi anak, Ken sudi untuk menerima Shawna semula. Paling mengharukan, Ken bersedia serta sanggup untuk membesarkan anak Ignacio yang dikandungkan oleh Shawna. 

    Hinggalah satu hari, Shawna tekad untuk membalas dendam dengan membunuh isteri Ignacio iaitu Heather Garraus di tempat kerjanya. Heather yang telah ditembak dua kali oleh Shawna pada bahagian kepala mati serta merta di tempat kejadian. Dilaporkan pada sebelumnya, Ignacio dan Heather pernah menerima mesej berbaur ugutan daripada Shawna. 

    Shawna yang kemudiannya dibicarakan telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Seperkara lagi yang tak disangka, Shawna memang ada merancang untuk memerangkap Ken sebagai suspek utama pembunuhan Heather. Sementara itu, kawan karib Shawna bernama Michelle Moore yang turut bersubahat telah menerima hukuman penjara selama 9 tahun.


6. JASMINE RICHARDSON & JEREMY STEINKE

    Pada 23 April 2006, negara Kanada dikejutkan dengan berita kes kematian tiga anggota sekeluarga yang telah mati dibunuh di rumah mereka sendiri. Mangsa dikenali sebagai pasangan suami isteri iaitu Marc Richardson (42 tahun), Debra (48 tahun) serta anak lelaki mereka yang bernama Tyler Jacob (8 tahun). Ketiga-tiga mereka maut akibat ditikam. 

    Pihak polis kemudian tidak mengambil masa yang lama untuk menangkap suspek. Suspek merupakan anak perempuan Richardson sendiri iaitu Jasmine yang baru sahaja berusia 12 tahun. Seorang lagi suspek pula adalah teman lelaki Jasmine sendiri yang bernama Jeremy Steinke, 23 tahun. 

    Berdasarkan siasatan yang djalankan oleh polis, motif pembunuhan adalah kerana hubungan percintaan antara Jasmine dan Jeremy tidak direstui oleh ibu bapanya. Sedikit tentang masa lampau Jeremy, ibunya adalah seorang kaki alkohol serta dia sering dibuli di sekolah. Disebabkan itu, Jeremy pernah mengalami kemurungan hingga pernah ada sekali percubaaan untuk membunuh diri. Sementara itu, Jasmine yang pada asalnya seorang budak baik telah berubah 180 darjah menjadi sisi gelap selepas berkenalan dengan Jeremy yang mengamalkan gaya hidup Gothik. 

    Selepas perbicaraan dijalankan, Jasmine telah dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun memandangkan dia masih di bawah umur ketika itu. Perkara ini sekaligus menjadikan Jasmine selaku pesalah termuda di Kanada yang pernah disabitkan kesalahan membunuh. Sementara itu, Jeremy pula menerima hukuman penjara seumur hidup. 

    Jasmine yang kini sudahpun dibebaskan telah menggunakan nama baru bagi menjalani kehidupan. Dia bagaimanapun tidak pernah memohon maaf secara terbuka atas  pembunuhan kejam yang telah dilakukan terhadap seluruh anggota keluarganya.


5. JENNIFER DAUGHERTY

    Pada 11 Februari 2010, mayat seorang wanita telah ditemui di tempat pembuangan sampah sebuah kawasan parkir sekolah. Identiti mayat wanita itu dikenal pasti sebagai Jennifer Daugherty iaitu wanita kurang upaya yang berusia 30 tahun. Dia telah didera serta dibunuh dengan kejam oleh beberapa individu yang dianggapnya sebagai kawan. 

    Meskipun kurang upaya dan berperwatakan seperti kanak-kanak, Jennifer tidak gemar untuk mengganggu kehidupan orang lain. Namun, sikap lurus Jennifer yang terlalu mempercayai orang lain akhirnya memakan diri. 

    Kisahnya bermula selepas Jennifer mula jatuh hati dengan seorang lelaki bernama Ricky Smyrnes yang berusia 23 tahun. Perkara ini ternyata begitu tidak disenangi oleh teman wanita Ricky iaitu Angela Marinucci. Disebabkan itu, Angela bertekad untuk membalas dendam terhadap Jennifer. 

    Satu hari, Jennifer yang lurus orangnya telah diumpan oleh Angela untuk datang ke apartment. Di situ, Jennifer diseksa teruk oleh Ricky dan beberapa lagi individu lain selama 36 jam. Jennifer yang diikat bukan sahaja dipukul, bahkan turut dicukur rambutnya. Tak cukup dengan itu, mulut Jennifer disumbat dengan bermacam-macam benda seperti air kencing, minyak sayuran, rempah ratus, sabun, ubat-ubatan dan najis. Lagi malang, Jennifer juga dirogol oleh suspek yang bernama Melvin Knight. Pada penghujungnya, Jennifer dipaksa untuk menulis nota bunuh diri sebelum akhirnya ditikam oleh para suspek. 

    Semua suspek yang ditahan telah didapati bersalah dalam perbicaraan kes. Angela menerima hukuman penjara seumur hidup. Ricky Smyrnes dan Melvin Knight pula dijatuhkan hukuman mati. Baki tiga lagi suspek yang bersubahat dipenjarakan untuk tempoh berpuluh-puluh tahun. 


4. KELUARGA CAFFEY

    Kisah bermula tahun 2008 apabila seorang remaja perempuan iaitu Erin Caffey (16 tahun) telah jatuh cinta dengan seorang lelaki yang bernama Charlie Wilkinson (18 tahun). Pada mulanya, hubungan tersebut direstui oleh ibu bapa Erin iaitu Terry dan Penny Caffey. 

    Namun selepas keputusan peperiksaan Erin makin merosot, Terry dan Penny meminta anak mereka itu memutuskan hubungannya dengan Charlie. Lebih-lebih lagi apabila mereka mendapat tahu Charlie adalah seorang lelaki yang "indah khabar dari rupa". 

    Konon demi cinta sejati, maka Erin pun sanggup bersekongkol dengan Charlie untuk menjayakan plot pembunuhan terhadap keluarganya sendiri. Ketika diberi amaran oleh Charlie bahawa adik lelakinya akan turut dibunuh... 

    Erin cuma menjawab

    "Aku tak peduli. Buat je apa kau nak." 

    Pada satu malam, Charlie dengan bantuan dua orang kenalannya telah menceroboh masuk rumah keluarga Terry. Penny termasuk dua orang lagi adik Erin telah dibunuh kejam dengan cara ditembak serta ditikam dengan pedang. Charlie dan  rakannya kemudian membakar rumah mangsa. Kebakaran itu telah menyebabkan Terry yang cedera parah tersedar, lalu merangkak keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri. 

    Pihak polis tidak mengambil masa yang lama untuk mengesan suspek termasuklah Erin. Semasa ditemui bersama Charlie, Erin mendakwa bahawa dia adalah mangsa culik. Namun, lakonannya itu tidak berjaya mengaburi pihak berkuasa.

    Kesemua suspek yang didakwa telah mengaku bersalah atas jenayah tersebut. Charlie dan seorang rakannya dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup, manakala seorang lagi dipenjarakan 40 tahun. Erin sendiri pula menerima hukuman penjara selama 25 tahun. 

    Mungkin atas dasar kasih sayang sebagai seorang ayah, Terry masih lagi tetap melawat Erin di penjara.


3. GUY TURCOTTE

    Pada 21 Februari 2009, seorang pakar kardiologi bernama Guy Turcotte (36 tahun) telah bertindak menikam dua orang anak kandungnya hingga mati semasa mereka sedang tidur. Si anak lelaki (5 tahun) telah ditikam 27 kali manakala anak perempuan (3 tahun) pula ditikam sebanyak 19 kali. Laporan bedah siasat menunjukkan bahawa si anak lelaki cuba mempertahankan diri semasa ditikam.

    Turcotte tergamak membunuh kedua-dua anaknya itu kerana berasa dikhianati selepas isterinya yang juga merupakan pakar perubatan iaitu Isabelle Gaston telah curang dalam perhubungan. Lagi menyakitkan hati Turcotte, Isabelle menjalinkan hubungan dengan kawan baik mereka sendiri yang bernama Martin Huot. Turcotte enggan menerima hakikat bahawa dirinya sudah digantikan dengan orang lain. Jadi, dia bertekad untuk menghukum Isabelle dengan mengorbankan anak-anaknya sekaligus akan menyebabkan isterinya itu berasa marah serta kehilangan sesuatu yang sangat berharga. 

    Tahun 2015, Turcotte yang akhirnya didapati bersalah atas dua kesalahan membunuh telah  dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa peluang parol untuk 17 tahun


2. SUSAN WRIGHT

    Pada bulan Januari tahun 2003, seorang wanita bernama Susan Wright (26 tahun) bertindak menikamnya suaminya sendiri iaitu Jeff Wright (34 tahun) sehingga mati. Jeff yang pada sebelumnya diikat dengan tali di atas katil telah ditikam dengan kejam sebanyak 195 kali. Mayat Jeff kemudian ditanam Susan di belakang rumah mereka sendiri. Susan bagaimanapun menyerah diri kepada pihak berkuasa selepas membuat pengakuan tentang jenayah yang dilakukannya itu kepada peguam belanya sendiri. 

    Dalam perbicaraan kes, Susan didakwa membunuh suaminya itu demi memperoleh pampasan insuran hayat bernilai $200 000. Namun, pihak pembelaan memberitahu Susan bertindak sedemikian adalah untuk mempertahankan diri serta dua orang anaknya. Lagipun, Susan dipercayai telah didera secara mental dan fizikal oleh Jeff selama bertahun-tahun. 

    Hasil keputusan perbicaraan tahun 2004, Susan dijatuhkan hukuman penjara selama 25 tahun. Menerusi rayuannya, tempoh hukuman tersebut telah dikurangkan kepada 20 tahun.


1. ALCASSER GIRLS 

    Pada satu malam bulan November 1992, tiga orang remaja perempuan sekawan iaitu Miriam Garcia, Toni Gomez dan Desiree Hernandez dilaporkan telah hilang semasa dalam perjalanan (hitchhiking) menuju ke sebuah kelab malam yang terletak di kawasan Valencia, Sepanyol. 

    Mayat mereka bertiga kemudian berjaya dijumpai di satu tempat terpencil pada bulan Januari 1993. Terdapat tanda-tanda bahawa mereka telah diculik dirogol serta diseksa sebelum dibunuh. Bayangkan, ada antara mangsa yang telah dikerat putingnya serta mengalami kecederaan teruk pada bahagian vagina. Bahkan mangsa juga dipukul dengan kayu serta batu sebelum akhirnya ditembak mati. 

    Berdasarkan siasatan polis, mangsa didapati telah menumpang sebuah kereta yang dinaiki oleh sekumpulan lelaki pada malam kejadian. Identiti suspek itu dikenalpasti sebagai Antonio Angles Martins dan Miguel Ricart. Antonio bagaimanapun masih gagal dikesan hingga ke hari ini. Miguel pula yang dipenjarakan telah dibebaskan pada tahun 2013. Lokasinya sekarang tidak diketahui. Dilaporkan juga sebenarnya ada suspek ketiga yang terlibat, namun identitinya gagal untuk dikenalpasti.

Catat Ulasan for "8 KISAH RINGKAS PEMBUNUHAN YANG BENAR-BENAR KEJAM!"