Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH ED GEIN : Psikopat Kanibal Paling Gila


    Nama Ed Gein mungkin dilabel sebagai salah seorang pembunuh kejam yang agak kurang dikenali oleh orang ramai. Namun apa yang perlu diketahui, Ed Gein merupakan cetusan inspirasi kepada penghasilan karakter psikopat seperti Norman Bates dalam filem Psycho (1960), Leatherface menerusi filem Texas Chainsaw Massacre dan Buffalo Bill daripada filem The Silence of the Lambs (1991). Perkara ini sudah cukup untuk menggambarkan bahawa level psiko Ed yang juga digelar sebagai Butcher of Plainfield ini adalah berada pada tahap yang benar-benar mengerikan.

    Ed Gein atau nama sebenarnya Edward Theodore Gein dilahirkan di Winconsin, Amerika Syarikat pada tahun 1906. Dia merupakan anak kepada pasangan suami isteri yang bernama George dan Augusta. Selain itu, Ed mempunyai seorang abang yang lima tahun lebih tua daripadanya iaitu Henry.

    Berkenaan dengan ibu bapa Ed, George adalah seorang pemabuk yang sering bertukar silih ganti pekerjaan. Augusta pula merupakan seorang yang begitu fanatik terhadap ajaran agama hingga melarang anak-anaknya untuk keluar dari rumah kecuali atas urusan pergi ke sekolah sahaja. Henry dan Ed dikongkong sedemikian oleh Augusta kerana kononnya enggan mereka untuk hidup bergelumang dengan dosa. Disebabkan kawasan tempat tinggal mereka yang begitu terpencil dari bandar, kehidupan harian Henry dan Ed begitu sunyi memandangkan tiada pergaulan dengan masyarakat setempat. Ed bagaimanapun sangat rapat dengan Augusta walaupun dia kerap dimaki oleh ibunya itu.

    Pada tahun 1940, George telah meninggal dunia akibat serangan penyakit jantung. Jadi, Henry dan Ed terpaksa melakukan pelbagai kerja bagi menampung sumber perbelanjaan harian mereka. Tidak lama kemudian, Henry yang mula menjalinkan hubungan dengan seorang janda telah merancang untuk meninggalkan rumahnya. Pada masa sama, dia sempat berbincang dengan Ed tentang perangai Augusta. Perbincangan yang ternyata kurang disenangi oleh Ed.

    Hinggalah satu hari pada tahun 1944, Henry dan Ed telah melakukan kerja-kerja pembakaran di sekitar kawasan rumah mereka. Tanpa diduga, api kebakaran terus merebak tanpa kawalan. Mujurlah kebakaran tersebut berjaya dipadam dengan bantuan pihak pomba. Walau bagaimanapun, ada satu perkara pelik yang berlaku selepas itu di mana Ed telah melaporkan kehilangan Henry. Selepas operasi pencarian dijalankan di lokasi kebakaran, Henry ditemui mati dalam keadaan mayatnya meniarap di atas tanah. Kematian Henry dipercayai berpunca daripada serangan jantung atau sesak nafas. Ramai pihak mempercayai bahawa Henry sebenarnya telah dibunuh oleh Ed. Cuma tiada sebarang bukti bagi mendukung teori tersebut.

    Tidak lama selepas kematian Henry, Augusta diserang penyakit strok lumpuh. Ed mengorbankan masa demi menjaga ibu kesayangannya itu. Dalam keadaan Augusta yang kian uzur, dia sempat lagi untuk memaki Ed secara berterusan. Augusta bagaimanapun akhirnya meninggal dunia jua pada bulan Disember 1945 akibat serangan kedua stroknya. Pemergian Augusta tersebut telah memberikan kesan emosi yang sangat mendalam terhadap Ed. Dia yang kini tinggal berseorangan mula menjadi seorang hoarder iaitu sejenis tabiat suka menyimpan barang di seluruh ruang rumah. Hanya ada satu tempat bersih di rumah Ed iaitu bilik Augusta yang langsung tidak terusik. Satu lagi tabiat Ed kian terserlah adalah minatnya dalam melakukan bacaan buku yang berunsurkan anatomi, kanibal dan kekejaman Nazi.

    Pagi 16 November 1957, seorang pemilik kedai stor peralatan bernama Bernice Worden telah dilaporkan hilang. Waktu sebelumnya, Mary Hogan iaitu seorang wanita pemilik bar dari pekan yang sama juga gagal untuk dikesan. Berdasarkan siasatan awal, pihak polis mendapati Ed merupakan salah seorang pelanggan terakhir yang telah mengunjungi kedai Bernice. Bertindak atas maklumat tersebut, maka pihak polis bergegas melakukan pemeriksaan di rumah Ed. Di sinilah terbongkar segala-galanya. Sebuah rumah yang dipenuhi dengan kisah ngeri.

    Setibanya pasukan polis di rumah Ed, mereka telah menemui mayat Bernice tanpa kepala serta bertelanjang tergantung pada siling secara posisi terbalik. Malah terdapat kesan potongan dari bahagian tulang pelvik Bernice hinggalah ke paras dada. Lagi mengerikan apabila semua organ dalaman Bernice dikeluarkan dari tubuh badannya. Pemeriksaan selanjutnya mendapati Ed telah membuat bakul sampah, korset, “pakaian wanita” dan sarung kerusi yang diperbuat daripada kulit manusia. Tak cukup dengan itu, Ed turut menjadikan tengkorak manusia sebagai mangkuk. Begitu juga dengan katilnya yang dibina menggunakan tulang manusia. Lain-lain penemuan ngeri adalah seperti lampu tidur serta topeng hiasan yang diperbuat daripada kulit wajah manusia dan tali pinggang yang direka menggunakan puting payudara. Dahsyat kerana Ed juga obses untuk menyimpan kuku, hidung, lidah dan beberapa bahagian kemaluan wanita yang telah siap dikerat.

    Ed yang ditangkap pada akhirnya membuat pengakuan dia merupakan individu yang membunuh Mary dan Bernice. Berkenaan dengan mayat-mayat lain yang ditemui di dalam rumah Ed, dia memberitahu bahawa mayat tersebut telah dicuri menerusi galian yang dibuat di sebuah kawasan perkuburan bertujuan bagi melengkapkan idea korset dan dekorasi rumahnya. Ed turut membuka mulut dengan membuat pendedahan motif utamanya membuat “pakaian wanita” itu adalah untuk menjadi sebagai ibunya.

    Berhubung dengan kes perbicaraan Ed, dia hanya didakwa atas pertuduhan membunuh Bernice Worden berdasarkan bukti yang sedia ada. Nasib agak menyebelahi Ed apabila dia yang disahkan tidak waras telah diperintahkan oleh pihak mahkamah untuk menghabiskan sisa-sisa hidupnya menjalani rawatan di hospital sakit jiwa. Ed akhirnya meninggal dunia pada tahun 1984 iaitu sewaktu berusia 77 tahun kerana menderita penyakit kanser.

3 ulasan for "KISAH ED GEIN : Psikopat Kanibal Paling Gila "