Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PENDERAAN JEANETTE MAPLES : Ibuku dari Neraka

Jeanette Maples

    Pada malam 8 Disember 2009, seorang wanita berusia 41 tahun iaitu Angela McAnulty telah menghubungi pihak talian kecemasan untuk memberitahu tentang anak perempuannya bernama Jeanette Maples yang didapati sudah lagi tidak bernyawa. Setibanya pasukan paramedik di rumah Angela, mereka menemui mayat Jeanette yang berusia 15 tahun dalam posisi terbaring di ruang tamu. Badan Jeanette begitu kecil hinggakan seolah-olah dia bukan kelihatan seperti gadis 15 tahun. Rambutnya kelihatan basah. Selain itu, terdapat kesan lebam pada muka Jeanette. Di bawah matanya, ada kesan luka serta parut di bahagian bibir. Tidak lama selepas dihantar ke hospital, Jeanette telah disahkan meninggal dunia. Angela sempat memberitahu kepada pasukan paramedik bahawa sejam sebelum kejadian, Jeanette berada dalam keadaan yang baik-baik saja. Walau bagaimanapun, doktor yang bertugas waktu tersebut berasa sangsi dengan penjelasan Angela. Mereka percaya, ada sesuatu tentang Jeanette yang sedang cuba disembunyikan oleh Angela. 

Angela McAnulty

    Mengenai Angela, dia mempunyai lima orang anak secara keseluruhan hasil hubungannya bersama tiga pasangan berlainan. Anthony Jr, Brandon dan Jeanette merupakan anak Angela dengan pasangannya yang dikenalpasti sebagai Anthony Maples. Tahun 1995, Jeanette dan dua orang abangnya dihantar ke rumah kebajikan selepas Angela serta Anthony dipenjarakan atas kesalahan berkaitan dengan dadah. Tujuh tahun kemudian, Angela yang dibebaskan telah berkahwin dengan seorang pemandu trak bernama Richard McAnulty. Bulan Oktober 2006, Angela dan Richard berpindah ke Oregon dengan membawa sekali Jeanette. Sementara itu, Anthony Jr. dan Brandon rela untuk terus tinggal di rumah kebajikan berbanding mengikut ibu mereka yang merupakan seorang pendera. Maka bermulalah detik-detik hitam dalam hidup Jeanette. 

    Di sekolahnya, Jeanette digambarkan sebagai seorang yang sangat pintar. Meskipun dia dilabel sebagai seorang pendiam, Jeanette tetap mempunyai kawan. Dia juga suka menulis dan membaca puisi. Jeanette bagaimanapun lebih gemar untuk menghabiskan masanya di perpustakaan sekolah kerana enggan orang di sekeliling tahu tentang penderaan yang telah dialaminya. Hinggalah satu hari, kesan lebam serta luka di badan Jeanette telah dilihat oleh rakannya sewaktu sesi menukar pakaian di bilik gim sekolah. Jeanette kemudian membuat pengakuan bahawa dia tidak dibenarkan oleh ibunya untuk makan atau dalam erti kata lain, didera. Enggan berdiam diri, rakan Jeanette itu telah mengadu tentang penderaan tersebut kepada ibu bapanya. Malang sekali apabila pihak CPS (Child Protection Services) yang dihubungi tidak melakukan sebarang tindakan susulan. Bukan sekali dua aduan dibuat, namun berkali-kali. Ini termasuklah aduan daripada cikgu sekolah dan nenek Jeanette sendiri. Aduan yang sekadar dipandang remeh oleh pihak CPS. Pernah sekali, ada pegawai CPS pergi ke rumah Angela untuk memeriksa keadaan. Namun, pegawai berkenaan memilih untuk mempercayai keterangan Angela yang mendakwa Jeanette adalah seorang penipu. Angela seterusnya bertindak untuk memberhentikan Jeanette dari persekolahan. 

    Berbalik dengan cerita selepas kematian Jeanette, hasil laporan bedah siasat mendapati terdapat kesan luka pada kepala, kaki dan belakang badannya. Gigi depan Jeanette juga patah dan bibir pula sudah hancur. Apa yang dapat dipastikan, Jeanette mengalami dehidrasi dan dibiarkan kelaparan secara berterusan. Dia telah dibelasah oleh Angela setiap hari samada dengan tumbukan di mulut atau dipukul menggunakan kasut. Jeanette diseksa di dalam bilik Angela. Di situ, dia dipaksa untuk berbogel dalam keadaan terikat sebelum badannya dihayun dengan tali pinggang atau tongkat. Tak cukup dengan itu, Jeanette yang turut diseksa menggunakan playar tidak dibenarkan sama sekali untuk minum serta makan. Dia sebaliknya dipaksa meminum air daripada mangkuk tandas dan mangkuk minuman anjing. Menyedihkan, Jeanette telah disuruh untuk tidur di atas kayu kadbod bagi mengelakkan darahnya menitik di atas karpet. Entah apa yang merasuki Angela hingga dia tergamak menyapu najis anjing pada muka dan mulut Jeanette. Lain-lain penderaan, Jeanette diarah untuk berdiri mengadap dinding dengan tangannya berangkat ke atas selama berjam-jam. Sampai satu ketika, dia hanya boleh berdiri dengan sebelah kaki kerana sebelah lagi kakinya telah mengalami kecederaan akibat dihentak Angela. Paling sadis sekali, Angela membelasah Jeanette pada bahagian lukanya bagi menambah kecederaan. 

    Berdasarkan keterangan daripada Richard iaitu sejurus selepas kematian Jeanette, Angela cuba untuk menghapuskan segala bukti penderaan di rumah mereka. Dakwa Richard lagi, Angela ada berniat untuk menanam mayat Jeanette daripada menghubungi pihak talian kecemasan. Panggilan kecemasan telah dibuat oleh Richard sewaktu Angela berusaha melenyapkan bukti di lokasi kejadian. Hasil pemeriksaan polis pada beberapa barangan di rumah Angela telah menunjukkan darah serta sisa-sisa daging daripada badan Jeanette. 

    Berhubung keputusan perbicaraan kes tahun 2011, Angela yang didapati bersalah atas dakwaan membunuh Jeanette telah diperintahkan untuk menjalani hukuman mati. Hukuman tersebut bagaimanapun diganti pada bulan Ogos 2020 dengan Angela menerima hukuman penjara seumur hidup tanpa sebarang parol. Sementara itu, Richard pula kekal dengan hukuman asal yakni penjara seumur hidup dengan hanya layak untuk diparol selepas 25 tahun. Richard ada membuat pengakuan tentang kegagalannya melindungi Jeanetter serta pada masa sama tidak melaporkan tentang penderaan itu kepada pihak berkuasa. Seperkara yang harus diketahui, Jeanette telah didera sejak dari usianya 7 tahun. 

    Punca sebenar penderaan yang dilakukan Angela terhadap Jeanette masih lagi kurang jelas. Cumanya sewaktu Angela berusia 5 tahun, dia telah kehilangan ibunya yang telah menjadi mangsa pembunuhan. Bapa Angela dikatakan seorang yang sangat ganas dan garang. Angela pernah dilarang oleh bapanya untuk makan sebagai tanda hukuman.

Catat Ulasan for "KISAH PENDERAAN JEANETTE MAPLES : Ibuku dari Neraka"