Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH BENAR : “Believe Me : The Abduction of Lisa McVey”

Lisa McVey

    “Believe Me : The Abduction of Lisa McVey” adalah filem adaptasi kisah benar dari Lifetime yang telah pun ditayangkan pada tahun 2018. Filem ini bagaimanapun mula menjadi sebutan orang ramai selepas mula mendapat tayangan di Netflix bermula dari 1 Jun yang lepas.

    Kisah penculikan Lisa McVey berlaku pada bulan November tahun 1984 di mana dia yang berusia 17 tahun ketika itu telah diculik oleh seorang pembunuh bersiri bernama Bobby Joe Long. Kejadian penculikan tersebut berlaku sewaktu Lisa sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya dengan menaiki basikal secara bersendirian. Seperkara yang harus diketahui, Lisa sebelum itu telah pun berniat untuk membunuh diri sejurus sampai di rumah. Malah nota bunuh diri sudah pun siap ditulisnya. Lisa ingin berbuat sedemikian selepas kian berasa tertekan akibat dicabul oleh teman lelaki neneknya. Lisa tinggal bersama dengan neneknya itu sejak dari usia 14 tahun.

Bobby Joe Long

    Selepas diculik, Lisa yang ditutup matanya dengan kain telah dibawa oleh Bobby menuju ke sebuah apartment. Di situ, Bobby bertindak untuk merogol Lisa secara berulang kali. Biarpun tidak dapat  melihat wajah Bobby selaku penculiknya, Lisa bertindak bijak sejak dari awal lagi untuk berusaha melarikan diri. Dia telah pun menghitung anggaran masa ketibaan dari lokasi penculikan hingga ke apartment Bobby. Selain itu, Lisa juga ada menyentuh muka Bobby seperti bahagian rambut, telinga, hidung dan misai. Lisa melakukan semua perkara tersebut adalah sebagai maklumat penting kepada pihak polis jika dia berjaya melarikan diri. Bahkan, Lisa ada memegang beberapa objek di tandas dengan harapan pihak polis akan dapat mengesan DNA miliknya untuk dijadikan sebaga bukti.

    Dalam usahanya untuk lari keluar dari apartment, Lisa telah menggunakan kaedah psikologi terbalik untuk memperdayakan Bobby. Dalam erti kata lain, dia kononnya menjadi seorang gadis yang sangat mengambil berat tentang Bobby. Pada masa yang sama, Lisa cuba meraih simpati dengan mengada-ngadakan cerita tentang bapanya yang semakin tenat. Bobby yang benar-benar terpedaya dengan mainan psikologi itu akhirnya bersetuju untuk membebaskan Lisa setelah 26 jam tempoh penculikan. Sewaktu dalam perjalanan menghantar Lisa, Bobby telah sempat menyinggah di sebuah tempat untuk mengeluarkan wang. Jadi, Lisa sekali lagi mendapat satu maklumat penting yang boleh disalurkannya kepada pihak polis.

    Sebaik dibebaskan Bobby, maka Lisa yang tanpa melengahkan masa terus pergi membuat laporan polis. Hasil maklumat yang diberikan oleh Lisa, Bobby Joe Long berjaya ditangkap oleh pihak polis pada masa yang singkat. Ringkasan tentang Bobby, dia merupakan seorang pembunuh bersiri yang telah membunuh seramai 10 orang wanita pada tahun 1980an. Bobby dijatuhkan hukuman mati pada tahun 1985 selepas membuat pengakuan bersalah untuk semua pertuduhan pembunuhan yang dikenakan terhadap dirinya. Tahun 2019, barulah hukuman mati Bobby dijalankan dengan cara suntikan maut. Lisa adalah salah seorang individu yang duduk pada baris paling depan sekali di dalam bilik hukuman untuk menyaksikan kematian Bobby.

    Mengenai Lisa, dia kini adalah seorang anggota polis yang sudah pun berkhidmat selama hampir dua dekad. 

Catat Ulasan for "KISAH BENAR : “Believe Me : The Abduction of Lisa McVey” "