Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH JIANG GE & LIU XIN : Kawan Makan Kawan

Jiang Ge (kiri), Liu Xin (kiri)

    Tahun 2016, Jiang Ge merupakan seorang pelajar wanita berusia 24 tahun berasal dari negara China yang sedang belajar di Universiti Hosei, Tokyo, Jepun. Dia berkawan baik dengan Liu Xin yang juga merupakan bekas rakan sekelasnya pada zaman sekolah menengah. Dua sekawan itu tinggal bersama di sebuah apartment. Harus diketahui, Liu menginap di apartment tersebut secara senyap-senyap tanpa pengetahuan pemilik apartment berkenaan. Liu pada waktu sebelum itu tinggal bersama dengan bekas teman lelakinya yang bernama Chen Shifeng. Dia bagaimanapun telah diusir keluar oleh Chen untuk keluar dari rumah selepas hubungan mereka putus. Jadi, Jiang yang kemudian berasa simpati dengan nasib Liu telah mengajak rakannya itu untuk tinggal sekali.

Jiang Ge dan Liu Xin

    Pada 2 November 2016, Chen datang ke apartment Jiang untuk memujuk Liu kembali bersamanya. Walau bagaimanapun, perbincangan antara Chen dan Liu tidak berjalan dengan baik sebelum berlakunya pertengkaran antara mereka berdua. Melihat keadaan tersebut, Jiang cuba untuk menelefon pihak polis tetapi telah dihalang oleh Liu daripada berbuat sedemikian kerana dia berasa risau statusnya sebagai penyewa tidak sah akan diketahui. Situasi pertengkaran itu kemudian menjadi terkawal sebelum ketiga-ketiga mereka keluar dari apartment untuk menjalani urusan masing-masing. Pada hari yang sama juga, Liu telah menghubungi Jiang untuk datang menjemputnya di sebuah stesen kereta api yang berdekatan dengan apartment mereka. Hal ini adalah kerana Liu berasa takut untuk pulang bersendirian kerana dia ada mendapat ugutan daripada Chen melalui panggilan telefon.

    Sebaik sampai di apartment, Liu terus tergesa-gesa masuk ke dalam bilik mandi untuk membersihkan diri. Apa yang berlaku kemudian, dia telah terdengar suara jeritan Jiang yang ketika itu masih berada di luar apartment. Rentetan daripada perkara tersebut, Liu pun cuba untuk membuka pintu masuk namun tidak dapat dibuka dengan luas. Perkara ini bermaksud, pintu masuk itu seakan tersekat dari luar. Maka Liu pun membuat keputusan untuk terus mendiamkan diri di dalam apartment tetapi pada masa yang sama dia telah menefon pihak polis.

Jiang Qiulian

    Setibanya pihak polis, mereka menemui Jiang sedang terbaring di ruang koridor apartment dalam keadaannya berlumuran dengan darah akibat tikaman. Jiang yang cedera parah kemudian dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Malang sekali apabila Jiang telah disahkan meninggal dunia akibat dibunuh. Berita kematian sadis Jiang tersebut benar-benar meremukkan hati ibunya iaitu Jiang Qiulian. Lagi mengguriskan hai Qiulian, Jiang adalah seorang anak tunggal. Qiulian cuba untuk menuntut penjelasan terutamanya daripada Liu tentang punca kematian Jiang. Menyakitkan hati Qiulian, Liu enggan untuk menjawab sebarang panggilan telefon apatah lagi untuk bertemu dengannya. Tiada sebarang ucapan takziah yang dikirimkan oleh Liu. Nampak gaya, ada sesuatu yang Liu sedang cuba sembunyikan. Qiulian tahu serba serbi mengenai Liu dan Chen kerana Jiang sering bercerita tentang mereka kepadanya. Qiulian mempercayai Liu pada waktu kejadian telah menyedari kehadiran Chen sebelum dia terburu-buru masuk ke dalam apartment dengan meninggalkan Jiang di luar apartment untuk menjadi mangsa keadaan. Pasal Chen, dia telah ditangkap oleh pihak polis Jepun pada tarikh 24 November. Siasatan kes menjadi agak rumit susulan tindakan Liu yang terus untuk berahsia.

    Disebabkan berasa terlalu marah dengan Liu yang langsung tidak memberikan kerjasama, Qiulian telah bertindak meluah dan menyebarkan segala-galanya di aplikasi media sosial Weibo dengan harapan netizen China akan membantunya menegakkan keadilan untuk Jiang. Akibatnya, Liu Xin telah dikecam secara berterusan oleh para netizen selepas gambar dan nombor telefonnya tersebar luas di internet. Dia dan ibu bapanya dikatakan menerima ribuan teks mesej dan panggilan telefon hanya untuk dicerca dan dihina. Kecaman yang pada akhirnya menyebabkan Liu sampai kehilangan pekerjaan. Dia dianggap sebagai kawan paling tidak berguna di muka bumi. Walaupun kian tertekan, Liu masih tetap enggan untuk bertemu dengan Qiulian. Liu menyalahkan Qiulian yang telah menyebabkannya menjadi mangsa buli siber tanpa henti.

Jiang Qiulian dan Liu Xin

    Hinggalah bulan Ogos 2017 yakni sembilan sebulan selepas kematian Jiang, Liu akhirnya bersetuju untuk bersemuka dengan Qiulian buat pertama kali selepas mendapat tahu tentang kesihatan ibu mendiang rakannya itu yang semakin merosot. Pertemuan yang berjalan selama dua jam tersebut telah mendapat liputan meluas daripada pihak media. Dalam pertemuan menyedihkan itu, Liu meminta maaf kepada Qiulian secara berkali-kali dalam keadaannya menangis teresak-esak. Qiulian bagaimanapun enggan menerima permohonan maaf tersebut kerana Liu lebih memilih untuk terus berdiam diri daripada berterus-terang tentang insiden pada malam kejadian. Kesudahannya, cerita kekal tergantung sekaligus menyebabkan jutaan rakyat negara China menjadi semakin geram dengan Liu yang dianggap mereka sebagai pengecut.

Chen Shifeng

    Qiulian yang tetap meneruskan perjuangan demi menegakkan keadilan Jiang telah bertindak melancarkan petisyen bagi menuntut Chen dijatuhkan hukuman mati. Petisyen itu dilaporkan berjaya mendapat sebanyak 4.5 juta tandatangan. Usaha Qiulian tersebut hanya menjadi sia-sia kerana Chen cuma menerima hukuman penjara selama 20 tahun. Di Jepun, hukuman mati kebiasaannya akan dijatuhkan kepada individu yang membunuh lebih daripada seorang mangsa. Sehingga kini, Liu masih enggan untuk membuka mulut bagi menceritakan perkara sebenar. Apa yang pasti, Liu berkemungkinan besar mengelak daripada berjumpa dengan Qiulian sebelum ini adalah disebabkan dia berasa serba salah dengan tindakannya yang telah mementingkan diri semasa kejadian.

Catat Ulasan for "KISAH JIANG GE & LIU XIN : Kawan Makan Kawan"