Kisah Pembunuh Kejam Dina Oktaviani

     Pada bulan Oktober 2025 bertempat di wilayah Purwakarta dan Karawang, Jawa Barat, Indonesia, seorang gadis muda bernama Dina Oktaviani (21 tahun) telah menjadi mangsa pembunuhan kejam. Dina yang bekerja sebagai juruwang di sebuah pasar raya kecil Alfamart di Kawasan Rehat (Rest Area) KM 72A Lebuhraya Cipularang maut akibat tindakan kejam yang dilakukan oleh rakan sekerja merangkap pengurusnya sendiri, Heryanto (27 tahun). Lelaki yang memegang jawatan sebagai Timbalan Pengurus Kedai itu tergamak merancang pembunuhan ngeri tersebut demi melunaskan nafsu syahwat dan melarikan harta mangsa akibat desakan masalah kewangan.

     Di sebalik perwatakannya yang dikenali sebagai seorang pekerja yang baik, ramah dan suka bergurau, Heryanto rupa-rupanya menyimpan rahsia yang amat gelap. Dia dalam diam telah memendam perasaan terhadap Dina yang berwajah jelita dan mempunyai personaliti yang mudah mesra. Walaupun statusnya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia tiga tahun, nafsu Heryanto terhadap mangsa semakin hari semakin tidak terbendung. Namun kerana bimbang perbuatan terkutuknya akan dilaporkan kepada pihak polis sekiranya dia merogol Dina secara hidup-hidup, Heryanto mula memikirkan jalan lain yang luar biasa kejam. Dia telah melakukan carian di Google menggunakan ayat, "Adakah orang yang baru meninggal dunia boleh disetubuhi?". Setelah mendapat jawapan internet bahawa perkara tersebut boleh dilakukan dalam tempoh tidak melebihi enam jam selepas kematian, Heryanto nekad menyusun strategi licik untuk menamatkan riwayat Dina.

     Kesempatan untuk memerangkap mangsa muncul apabila Dina yang sedang kecewa selepas putus cinta dengan bekas kekasihnya, Ahmad meluahkan hasrat untuk mencari khidmat pengamal perubatan tradisional bagi mendapatkan pandangan kedua tentang hubungan cintanya. Heryanto mengambil peluang emas ini dengan berbohong bahawa ibu kandungnya merupakan seorang bomoh yang hebat. Pada 5 Oktober 2025 yakni setelah memastikan bahawa isteri dan anaknya keluar bermalam di rumah saudara mereka, Heryanto menjemput Dina dengan alasan untuk mempertemukannya dengan ibunya. Namun di pertengahan jalan, suspek sengaja memberi alasan mahu singgah ke rumahnya di Kampung Pasir Oa terlebih dahulu untuk menukar pakaian yang basah akibat hujan. Di situlah bermulanya episod hitam apabila Dina dipelawa masuk ke dalam rumah sementara menunggu Heryanto bersiap.

     Sebelum melakukan serangan, Heryanto sempat mengambil kesempatan dengan meminta mangsa memindahkan wang pinjaman sebanyak Rp1 juta ke akaun bank miliknya kerana mendakwa dia sedang mengalami kesempitan wang. Tanpa sebarang rasa curiga, Dina menuruti permintaan pengurusnya itu. Sejurus selepas transaksi berjaya dilakukan di mana saat mangsa sedang leka bermain telefon pintar di lantai, Heryanto bertindak menyerang Dina secara mengejut dari arah belakang. Dia menekup mulut sebelum mencekik leher mangsa dengan kuat. Walaupun Dina cuba meronta-ronta bagi melepaskan diri, kudratnya tidak mampu menandingi keganasan suspek hingga akhirnya gadis malang itu terkulai lemas lalu meninggal dunia akibat sesak nafas. Sebaik sahaja mengesahkan Dina sudah tidak bernyawa, Heryanto tanpa rasa belas kasihan telah merogol mayat mangsa demi memuaskan nafsu binatangnya bersandarkan maklumat yang dicarinya di Google sebelum ini.

     Bagi menghapuskan bukti jenayahnya, Heryanto memotong pakaian seragam kerja yang dipakai oleh mangsa dan mengikat kaki serta tangan Dina menggunakan pita pelekat sebelum menyumbat mayat tersebut ke dalam sebuah kotak yang besar. Pada sekitar jam 10 malam, Heryanto menghubungi dua orang rakannya, Robi dan Taufik untuk meminta bantuan membuang kotak tersebut dengan menggunakan sebuah kereta sewa jenis Toyota Avanza. Bagi mengelakkan rakan-rakannya curiga, Heryanto berbohong dengan mendakwa kotak tersebut mengandungi bangkai babi hutan jadian. Rakan-rakannya itu dilarang keras untuk dibuka atas arahan pengamal perubatan tradisional. Mereka kemudian membawa kotak tersebut ke Jambatan Merah di Jalan Raya Jatiluhur lalu mencampakkannya ke dalam aliran Sungai Citarum, di daerah Parang Gombong, Purwakarta. Setelah itu, Heryanto bertindak membakar pakaian serta barangan peribadi Dina. Sementara itu, barangan berharga seperti motosikal, barangan kemas, dan telefon milik mangsa telah dijual bagi mendapatkan wang tunai.

      Misteri kehilangan Dina akhirnya terjawab pada pagi Selasa, 7 Oktober 2025 apabila orang awam dikejutkan dengan penemuan mayat seorang wanita tanpa identiti yang terapung di Sungai Citarum, daerah Klari, Karawang. Melalui padanan data orang hilang dan pengecaman oleh ahli keluarga, mayat tersebut disahkan sebagai Dina Oktaviani dengan tarikh penemuan mayat tersebut jatuh tepat pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-21. Pihak Poli yang mengetuai siasatan segera mengesan pergerakan terakhir mangsa. Siasatan intensif ke atas rekod transaksi perbankan Dina membongkar pemindahan wang yang mencurigakan kepada Heryanto sejurus sebelum mangsa dilaporkan hilang. Berpandukan bukti kukuh tersebut, pihak polis bertindak menyerbu tempat kerja Heryanto dan menahannya. Heryanto akhirnya mengaku kalah dan membuat pengakuan penuh tentang segala perbuatan kejam yang telah dilakukannya. Hasil siasatan lanjut juga mendapati suspek sebenarnya sedang mengalami krisis kewangan yang amat meruncing dengan bebanan hutang bank yang tinggi hingga mendorongnya melakukan rompakan tersebut.

     Kes jenayah yang sangat zalim ini akhirnya dihadapkan ke muka pengadilan di Pengadilan Negeri Purwakarta. Di mahkamah, segala hujah, bukti kesedihan ahli keluarga serta keterangan saksi-saksi dipaparkan bagi membuktikan perancangan rapi yang dibuat oleh suspek. Pada Mei 2026, panel hakim secara rasmi memutuskan bahawa Heryanto sah bersalah atas tiga pertuduhan berlapis yang amat berat iaitu pembunuhan terancang, jenayah seksual terhadap individu yang tidak berdaya dan mencuri dengan kekerasan. Mengambil kira tindakan suspek yang tersangat kejam, sadis dan langsung tidak menunjukkan rasa kesal, mahkamah menjatuhkan hukuman mati dengan tempoh percubaan selama 10 tahun ke atas Heryanto. Hukuman tersebut bermaksud sekiranya suspek menunjukkan kelakuan yang sangat baik dalam tempoh banduan 10 tahun ini, hukuman matinya boleh diringankan kepada penjara seumur hidup. Jika sebaliknya, hukuman mati mandatori akan dilaksanakan. Walaupun Heryanto sempat memfailkan rayuan, dia akhirnya menarik balik permohonan tersebut dan pasrah menerima takdir hukuman mati di atas dosa hitam yang telah dilakukannya.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuh Kejam Dina Oktaviani"