Kisah Huang Yong: Pembunuh Bersiri Paling Dahsyat di Henan


       Bermula dari bulan September 2001 hingga November 2003, penduduk tempatan di Daerah Pingyu, Wilayah Henan, China diselimuti kebimbangan apabila ramai anak muda dan pelajar sekolah menengah hilang secara misteri. Rata-rata mangsa yang berumur belasan tahun hilang begitu sahaja selepas keluar ke pusat permainan video atau kafe internet. Tanpa disedari pihak berkuasa mahupun penduduk setempat, semua kehilangan tersebut berpunca daripada tindakan seorang lelaki yang beroperasi secara senyap di sebuah rumah kampung yang terpencil.

      Lelaki di sebalik kejadian ini ialah Huang Yong, seorang penganggur yang dilahirkan pada tahun 1977. Huang Yong membesar dengan latar belakang persekolahan yang sukar di mana dia sering dibuli dan gagal dalam pengajian hingga terpaksa mengulang kelas beberapa kali. Dia kemudiannya meminati bidang komputer dan elektronik tetapi tidak pernah mengekalkan pekerjaan tetap. Membesar dengan sifat menyendiri dan berdendam, Huang Yong mula memupuk fantasi untuk menjadi seorang pembunuh profesional. Fantasi gelap ini terbit selepas dia menonton filem aksi Hong Kong berjudul Killer's Romance yang menimbulkan keghairahannya untuk merasakan pengalaman mengawal hidup dan mati seseorang.


       Apabila ahli keluarganya berpindah untuk bekerja di ladang ternakan babi pada musim panas tahun 2001, Huang Yong tinggal berseorangan di rumah pusaka keluarga di sebuah kampung di Pingyu. Peluang ini digunakan sepenuhnya untuk merealisasikan fantasinya. Menyedari fizikalnya yang kurus dan tidak mampu berdepan dengan mangsa secara fizikal, dia mereka bentuk satu alat perangkap daripada mesin pembuat mi kayu lama yang dicat hijau. Alat ini dinamakannya sebagai Intelligent Wooden Horse (Kuda Kayu Pintar). Perangkap ini direka khas untuk menyepit kepala mangsa di antara dua kepingan kayu sambil tangan dan kaki mereka diikat kemas pada rangka bangku tersebut.


      Bagi mengumpan mangsa, Huang Yong kerap mengunjungi kafe internet dan pusat permainan arcade di Daerah Pingyu. Dia menyasarkan remaja lelaki daripada keluarga miskin atau pelajar asrama yang dahagakan wang, bantuan permainan video atau peluang pekerjaan. Menggunakan kemahiran permainannya, dia mudah mendekati remaja-remaja ini sebelum mengajak mereka kembali ke rumahnya dengan pelbagai janji palsu. Apabila tiba di rumahnya, Huang Yong mencabar mereka untuk mencuba Kuda Kayu Pintar tadi sebagai ujian kecerdasan atau permainan ketangkasan. Sebaik sahaja mangsa berbaring dan diikat, Huang Yong memulakan tindakan kejamnya dengan mencekik mereka menggunakan tali kain sehingga terkorban.

   Mangsa pertamanya ialah Lu Ningbo, seorang remaja berusia 15 tahun yang diculik dan dibunuh pada September 2001. Kecewa kerana proses pembunuhan pertama dirasakannya terlalu pantas, Huang Yong terus mencari mangsa seterusnya untuk melatih dirinya menjadi pembunuh yang lebih cekap. Bagi melenyapkan bukti, dia memotong mayat mangsa dan membungkusnya di dalam guni baja sebelum menanamnya di halaman rumah berhampiran kawasan tandas dengan harapan bau busuk tandas akan melindungi bau mayat yang membusuk. Sepanjang tempoh dua tahun, strategi kejam ini telah meragut nyawa 17 orang remaja.


       Ketidakcekapan pihak polis tempatan pada mulanya memburukkan lagi keadaan. Apabila ibu bapa membuat laporan kehilangan anak, polis enggan membuka kertas siasatan dengan alasan tiada bukti penemuan mayat. Sekolah juga gagal memaklumkan ketidakhadiran pelajar kepada ibu bapa dengan kadar segera. Dek kerana kecewa dengan sikap acuh tak acuh pihak berkuasa tempatan, sekumpulan ibu bapa mangsa mengambil keputusan untuk mengumpul bukti sendiri dan mengembara ke Beijing pada September 2003 untuk membuat petisyen terus kepada kerajaan pusat. Langkah ini akhirnya memaksa pihak berkuasa Henan memberi perhatian serius terhadap kes kehilangan beramai-ramai di Pingyu.
 
      Siri pembunuhan ini akhirnya terhenti pada November 2003 menerusi keberanian mangsa ke-18. Remaja berusia 17 tahun itu dipujuk ke rumah Huang Yong dan diikat pada bangku kayu tersebut. Selama empat hari, mangsa dikurung, diseksa, disuntik dengan jarum dan dicekik berulang kali sehingga pengsan. Menyedari dia tidak dapat melawan secara fizikal, remaja tersebut menggunakan strategi psikologi. Dia mula memanggil Huang Yong sebagai abang mendengar luahan hatinya, dan berjanji tidak akan melaporkan kejadian itu kepada polis. Remaja lelaki itu turut berjanji akan menjaga Huang Yong apabila dia tua kelak. Terperdaya dengan pujukan tersebut, Huang Yong melepaskannya. Sebaik sahaja bebas, mangsa terus melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.





Pada 12 November 2003, pihak polis menyerbu rumah Huang Yong lalu menahannya bersama bukti bangku kayu hijau tersebut. Penggalian di kawasan halaman rumah membongkar penemuan sisa rangka 17 orang mangsa. Semasa perbicaraan pada 9 Disember 2003, Huang Yong didapati bersalah atas semua pembunuhan tersebut tanpa menunjukkan sebarang rasa penyesalan kepada keluarga mangsa. Mahkamah Tinggi Henan menjatuhkan hukuman mati ke atasnya dan Huang Yong akhirnya menjalani hukuman tembak sampai mati pada 26 Disember 2003.

Catat Ulasan for "Kisah Huang Yong: Pembunuh Bersiri Paling Dahsyat di Henan"