Kisah Pembunuhan Kejam Nadia Janet Peraza Espinoza

     Kejadian yang menimpa seorang wanita muda berusia 21 tahun, Nadia Janet Peraza Espinoza merupakan salah satu kes pembunuhan wanita (femicide) dan pemotongan mayat kejam dalam sejarah jenayah di Costa Rica. Berasal dari Wilayah Heredia, Nadia dikenali oleh ahli keluarga dan rakan-rakannya sebagai seorang individu yang mesra, mudah mesra serta penyayang. Di sebalik perwatakannya yang lembut, Nadia memikul tanggungjawab besar sebagai seorang ibu kepada anak perempuannya yang baru berusia dua tahun. Kanak-kanak tersebut merupakan hasil hubungannya bersama seorang lelaki bernama Jeremy Mauricio Buzano Paisano. Bagi Nadia, anak kecil itu merupakan fokus dan sumber kekuatan utamanya dalam menghadapi cabaran hidup.

      Hubungan antara Nadia dan Jeremy bermula kira-kira enam tahun sebelum kejadian di mana mereka tinggal bersama tanpa ikatan perkahwinan rasmi di sebuah apartmen di Heredia. Pada peringkat awal, hubungan mereka kelihatan seperti pasangan lain. Namun lama-kelamaan Jeremy mula menunjukkan sifat mengawal dan cemburu yang melampau. Sifat posesif tersebut bertukar menjadi mimpi buruk buat Nadia apabila dia menjadi mangsa penderaan fizikal, lisan dan psikologi secara berulang kali. Jeremy turut mengancam Nadia agar tidak membocorkan penderaan itu kepada sesiapa sekali gus memulaukan Nadia daripada keluarga kandungnya.

      Keluarga Nadia terutama ibunya, Marilyn Espinoza mula menyedari perubahan pada diri Nadia serta sering mendapat maklumat mengenai pertengkaran hebat di kediaman pasangan tersebut. Atas dasar bimbang akan keselamatan cucu mereka, Marilyn telah membuat laporan kepada Patronato Nacional de la Infancia (PANI) iaitu agensi perlindungan kanak-kanak di Costa Rica. Berdasarkan bukti penderaan dalam rumah tangga yang dikemukakan di mahkamah, hak penjagaan anak kecil tersebut akhirnya diserahkan sepenuhnya kepada keluarga Nadia. Keputusan ini menimbulkan rasa dendam dan amarah yang amat mendalam dalam diri Jeremy terhadap keluarga Nadia.


     Pada awal Februari 2024, Nadia membuat keputusan tekad untuk menyelamatkan dirinya daripada lingkaran keganasan rumah tangga. Dia bertindak melarikan diri sewaktu Jeremy tiada di rumah dan menyewa sebuah rumah baharu di Heredia. Nadia cuba memulakan kehidupan baharu dan memutuskan hubungan dengan Jeremy. Walau bagaimanapun, Jeremy terus-menerus mengganggunya melalui puluhan panggilan telefon dan mesej yakni bermula daripada rayuan serta kemaafan hinggalah kepada ancaman bunuh. Melalui manipulasi emosi yang berpanjangan dan janji palsu untuk berubah demi anak mereka, Nadia akhirnya terpedaya dan bersetuju untuk kembali tinggal bersama Jeremy.

      Kejadian berdarah bermula pada malam 22 Februari 2024 sehari selepas Nadia berkunjung ke rumah orang tuanya untuk melawat anaknya. Ketika Nadia sedang mencuci pinggan selepas makan malam, Jeremy secara tiba-tiba menyerangnya dengan memukul bahagian kepalanya. Jeremy menuduh Nadia berbohong dan mendakwanya telah meluangkan masa bersama lelaki lain. Walaupun Nadia berkali-kali menafikan tuduhan tersebut dan menawarkan untuk menghubungi ibu bapanya bagi mengesahkan kebenaran, Jeremy yang dikuasai cemburu buta bertindak menghentam Nadia menggunakan objek tumpul secara bertubi-tubi. Serangan kejam itu menyebabkan Nadia mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta badan sebelum menghembuskan nafas terakhir di lantai apartmen tersebut.

     Setelah Nadia telah meninggal dunia, Jeremy tidak memanggil bantuan perubatan sebaliknya mengambil tindakan ekstrem untuk melupuskan bukti. Dia mengambil senjata tajam berukuran besar dari stor apartmen dan bertindak memotong anggota badan Nadia. Bahagian kepala, tangan dan kaki dipisahkan manakala bahagian organ dalaman serta organ tertentu turut dipotong. Jeremy memasukkan bahagian mayat mangsa ke dalam beberapa beg plastik, balang dan bekas makanan sebelum menyimpannya di dalam peti sejuk serta peti beku apartmen mereka bagi mengelakkan bau busuk tersebar.

      Bagi menutup jenayahnya dan mengelakkan kecurigaan, Jeremy mengambil telefon bimbit Nadia dan mula menyamar sebagai mangsa. Selama beberapa minggu, dia meniru gaya penulisan Nadia dengan membalas mesej WhatsApp keluarga, membuat hantaran di akaun media sosial serta mendakwa bahawa Nadia sengaja menyendiri kerana mahukan ketenangan. Pada masa yang sama, Jeremy turut menceroboh akaun bank Nadia dan mengeluarkan wang simpanan mangsa bagi kegunaan peribadinya termasuk menyewa sebuah kenderaan pikap untuk memindahkan peti sejuk berisi sisa mayat itu ke rumah seorang rakannya di San Pablo de Heredia dengan alasan peti sejuk tersebut tidak lagi digunakan.

      Penipuan tersebut bagaimanapun tidak bertahan lama. Keluarga Nadia mula meragui ketulenan mesej yang dihantar kerana gaya bahasa yang berbeza dan keengganan Nadia untuk membuat panggilan video atau bertemu secara bersemuka. Pada 1 Mac 2024, keluarga mangsa membuat laporan rasmi mengenai kehilangan Nadia kepada Organismo de Investigacion Judicial (OIJ). Penyiasatan digital OIJ mengesan bahawa isyarat telefon bimbit dan transaksi bank Nadia membawa kepada penglibatan Jeremy. Pihak polis turut menemui pemandu pikap yang membantu Jeremy memindahkan peti sejuk tersebut yang kemudiannya membawa pasukan penyiasat ke lokasi kediaman di San Pablo de Heredia pada Mei 2024.

     Pemeriksaan pihak polis ke atas peti sejuk di halaman rumah tersebut membongkar penemuan sisa mayat Nadia Peraza. Ujian forensik mengesahkan identiti mangsa sekali gus mengubah status kes daripada orang hilang kepada kes pembunuhan kejam. Pihak berkuasa turut membuat pencarian susulan di sebuah ladang kopi berhampiran dan menemui beberapa lagi bahagian anggota badan mangsa. Namun sebahagian organ mangsa tidak dapat ditemui hingga liputan kes berakhir memberi andaian mengerikan mengenai tindakan pelaku sepanjang tempoh pembunuhan tersebut.

    Pada Mac 2026, perbicaraan kes di Mahkamah Jenayah Heredia menyaksikan Jeremy Mauricio Buzano Paisano dijatuhi hukuman bersalah atas pertuduhan pembunuhan wanita (femicide), kecurian identiti, kecurian berberat dan penipuan komputer. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara secara terkumpul selama 79 tahun. Cuma mengikut peruntukan undang-undang kanun keseksaan Costa Rica, tempoh pemenjaraan fizikal maksimum yang perlu dijalani oleh pesalah dilaraskan kepada 50 tahun penjara. Di samping hukuman penjara, Jeremy turut diperintah membayar ganti rugi pampasan moral sebanyak 50 juta colones Costa Rica kepada keluarga mangsa yang kini menggalas tanggungjawab membesarkan anak tunggal mendiang Nadia.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Nadia Janet Peraza Espinoza"