KISAH PEMBUNUH KEJAM CUI YAJIE

Kes pembunuhan Cui Yajie pada tahun 2016 merupakan salah satu kes jenayah pembunuhan paling kejam yang pernah berlaku di negara Singapura. Kes ini lebih dikenali dalam laporan media antarabangsa sebagai Gardens by the Bay Murder.
Mangsa dalam kes ini ialah Cui Yajie, seorang wanita warga negara China berusia 31 tahun yang mempunyai masa depan yang sangat cerah. Dia merupakan seorang jurutera bertauliah yang bekerja di sebuah syarikat semikonduktor terkemuka di Singapura. Sebagai anak tunggal dalam keluarganya, Yajie dikenali oleh rakan-rakannya sebagai seorang yang bijak, ceria namun agak naif dalam urusan percintaan. Sifat naif inilah yang akhirnya memerat diri apabila dia bertemu dengan Leslie Khoo Kwee Hock, seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat dobi. Di sebalik perwatakannya yang kelihatan baik, pemurah dan penyayang, Leslie sebenarnya merupakan seorang penipu bersiri yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan pecah amanah serta penipuan wang.
Pertemuan antara mereka bermula pada tahun 2015 secara tidak sengaja di hadapan blok kediaman mangsa di mana ketika itu Leslie sebenarnya sedang melawat seorang lagi wanita yang merupakan salah seorang kekasih gelapnya. Sebaik sahaja mengenali Yajie, Leslie mula melancarkan strategi love bombing yakni satu taktik manipulasi di mana pelaku menghujani mangsa dengan perhatian yang luar biasa, kata-kata manis yang mendalam, hadiah serta komitmen palsu tentang masa depan. Leslie malah mengaku bahawa dia adalah seorang duda kaya yang memiliki perniagaan dobi yang besar. Terbuai dengan kasih sayang dan kemewahan palsu yang ditunjukkan, Yajie akhirnya jatuh cinta dan menyerahkan kepercayaan sepenuhnya kepada lelaki tersebut. Selepas berjaya memenangi hati dan kepercayaan mangsa, Leslie mula memujuk Yajie untuk melabur sebanyak SGD 20 000 (sekitar RM65 000 ke atas) dalam satu pelaburan emas yang didakwanya sangat menguntungkan. Hakikatnya, wang tersebut digunakan oleh Leslie untuk membayar hutang peribadinya dan membiayai gaya hidup mewah bersama beberapa wanita simpanannya yang lain.

Lama-kelamaan, hubungan yang disangka panas sehingga ke petang itu mula dilanda badai apabila Yajie menyedari pelaburan emasnya langsung tidak mendatangkan sebarang hasil. Malah Leslie mula menjauhkan diri dan kerap memberikan alasan sibuk dengan urusan perniagaan. Kecurigaan Yajie semakin memuncak apabila dia melakukan siasatan sendiri dan mendapati bahawa Leslie sebenarnya membohonginya selama ini. Lelaki itu sebenarnya tidak pernah bercerai dan masih tinggal sebumbung bersama isteri dan seorang anak lelakinya. Berang dan berasa dikhianati hidup-hidup, Yajie mendesak agar Leslie memulangkan semula kesemua wang pelaburannya. Keadaan menjadi semakin tegang apabila Yajie menghantar pesanan ringkas kepada isteri Leslie selain mengancam untuk pergi ke pejabat Leslie di Tuas bagi mendedahkan segala penipuan dan kecurangan lelaki itu kepada pihak pengurusan tertinggi syarikat dobi tempat dia bekerja.
Ancaman tersebut ternyata mencetuskan panik yang luar biasa dalam diri Leslie. Pada pagi 12 Julai 2016, Leslie yang mengetahui bahawa Yajie benar-benar nekad untuk memusnahkan reputasi dan kerjayanya, dia telah memintas mangsa di Stesen MRT Joo Koon ketika wanita itu dalam perjalanan ke tempat kerjanya. Menggunakan helah kononnya mahu membawa Yajie berjumpa dengan pengurus syarikat untuk menyelesaikan isu tersebut, Leslie memujuk Yajie untuk masuk ke dalam kereta BMW hitam miliknya. Leslie bagaimanapun sebaliknya memandu kereta tersebut ke sebuah kawasan yang sunyi dan terpencil di Gardens by the Bay East. Di situlah berlakunya pertengkaran mulut yang sangat hebat antara mereka berdua. Dalam keadaan marah yang tidak terkawal selain takut bahawa rahsia hitamnya akan terbongkar, Leslie bertindak agresif dengan menekan badannya ke atas Yajie di tempat duduk penumpang hadapan lalu mencekik leher wanita itu dengan kuat menggunakan kedua-dua belah tangannya hingga mangsa berhenti bernafas dan meninggal dunia.
Selepas menyedari Yajie sudah tidak bernyawa, Leslie memulakan rancangan melupuskan mayat untuk memastikan dia tidak dapat dikaitkan dengan jenayah tersebut. Leslie menurunkan sandaran kerusi penumpang, menutup jasad Yajie dengan longgokan pakaian kotor serta beg-beg dobi yang besar lalu memandu pulang ke kondominiumnya. Dia membiarkan mayat tersebut bermalam di dalam kereta yang diletakkan di kawasan parkir terbuka. Keesokan paginya, pada 13 Julai 2016, Leslie pergi ke sebuah kedai di sepanjang Kranji Road untuk membeli arang dalam kuantiti yang banyak serta beberapa botol minyak tanah. Dia kemudiannya membawa mayat Yajie ke kawasan hutan belukar yang sangat terpencil di Lim Chu Kang Lane 8. Di bawah sebuah bangsal zink lama, Leslie membina sebuah tapak pembakaran menggunakan arang dan minyak tanah lalu membakar mayat Yajie. Proses pembakaran ini dilakukan secara berterusan selama tiga hari berturut-turut di mana Leslie akan berulang-alik dari rumahnya ke hutan tersebut semata-mata untuk menambah bahan api bagi memastikan tubuh mangsa hangus sepenuhnya sehingga menjadi abu. Pada 16 Julai 2016 yakni selepas yakin tiada apa lagi yang tinggal, dia menyapu sisa abu dan cebisan tulang yang rapuh, memasukkannya ke dalam beg sebelum mencampakkannya ke dalam air di pesisiran pantai Sembawang untuk dihanyutkan arus laut.

BMisteri kehilangan Cui Yajie mula terbongkar apabila rakan-rakan sekerjanya membuat laporan polis selepas dia gagal hadir ke pejabat selama beberapa hari. Perkara ini satu tabiat yang sangat luar biasa bagi seorang pekerja yang komited seperti Yajie. Pasukan Polis Singapura yang mengendalikan kes orang hilang ini mula mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku selepas memeriksa data telekomunikasi mangsa yang menunjukkan hubungan terakhirnya adalah dengan Leslie. Pihak polis kemudiannya meneliti ratusan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar stesen MRT dan berjaya mengesan detik di mana Yajie melangkah masuk ke dalam kereta BMW milik Leslie.
Walaupun pada mulanya Leslie memberikan kenyataan yang berbelit-belit dan cuba berlakon tidak bersalah, dia akhirnya gagal mempertahankan alibinya apabila unit forensik menjumpai kesan titisan darah mikroskopik milik Yajie pada permaidani kereta dan pemegang pintu kenderaannya. Menyedari bahawa dirinya sudah terperangkap oleh bukti saintifik, Leslie akhirnya mengaku kalah dan membawa pasukan penyiasat ke lokasi pembakaran di Lim Chu Kang.
Di lokasi pembakaran tersebut, pihak polis berhadapan dengan cabaran forensik yang amat getir. Disebabkan pembakaran yang terlalu lama, struktur tubuh mangsa telah musnah sepenuhnya. Polis hanya berjaya menemui beberapa gumpalan rambut di celah-celah tanah, satu cangkuk logam kecil daripada coli dan beberapa cebisan kecil kain baju yang separa terbakar. Keadaan ini memaksa pasukan saintis forensik Singapura menggunakan teknik Ujian DNA Mitokondria, satu kaedah khusus yang jarang digunakan melainkan apabila DNA nukleus biasa telah rosak akibat haba melampau. Mereka mengekstrak DNA daripada gumpalan rambut yang ditemui dan memadankannya dengan sampel DNA yang diambil daripada ibu kandung Yajie di China. Hasil ujian tersebut mengesahkan secara mutlak bahawa sisa rambut itu adalah milik Cui Yajie sekali gus memberikan bukti prima facie yang kukuh kepada pihak pendakwaan.

Semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi Singapura pada tahun 2019, Leslie Khoo cuba menggunakan pelbagai strategi undang-undang untuk melepaskan diri daripada tali gantung atau hukuman berat. Lelaki itu mendakwa bahawa dia tidak mempunyai niat untuk membunuh dan mendakwa bahawa mangsa yang memulakan provokasi serta menyerangnya terlebih dahulu hingga menyebabkan dirinya mengalami gangguan mental sementara akibat tekanan. Malah dalam satu kenyataan yang mengejutkan pihak mahkamah, Leslie dengan penuh sinis memberitahu pihak polis semasa siasatan bahawa "Tiada apa yang tinggal" daripada mangsa dengan harapan ketiadaan mayat akan menyukarkan sabitan kes pembunuhan terhadapnya. Walau bgaimanapun, pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa tindakan Leslie membeli arang dan minyak tanah serta tindakannya membakar mayat selama tiga hari menunjukkan satu rantaian tingkah laku yang tenang, sedar dan berniat jahat untuk menghapuskan bukti jenayahnya.
Pada Ogos 2019, Hakim Mahkamah Tinggi, Audrey Lim, menolak sekeras-kerasnya semua pembelaan Leslie. Dia menyifatkan Leslie sebagai seorang pembohong tegar, manipulatif dan kejam yang sanggup mengambil nyawa seorang wanita muda demi menyelamatkan dirinya daripada terbongkarnya penipuan kewangan yang dilakukannya. Leslie Khoo Kwee Hock didapati bersalah di bawah Seksyen 300(b) Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh secara sengaja dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Keputusan kes ini mencatatkan satu lagi sejarah penting dalam landskap perundangan Singapura menjadikannya kes pembunuhan kedua yang berjaya disabitkan kesalahan oleh mahkamah walaupun tanpa penemuan jasad atau mayat mangsa yang sempurna selepas kes pembunuhan Sunny Ang yang terkenal pada tahun 1965.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUH KEJAM CUI YAJIE"