Demi Lindungi Anak, Wanita Ini Bebas Tuduhan Kerat dan Bakar Suami di Brazil

    Kes Erica Pereira da Silveira Vicente yang didakwa membunuh dan memotong zakar pasangannya iaitu Everton Amaro da Silva di kawasan setinggan Taquaril, Brazil telah menjadi salah satu kes paling kontroversi antara tahun 2025 hingga 2026. Konflik kes ini tertumpu pada motif tindakan Erica yang mendakwa menangkap mangsa ketika cuba merogol anak perempuannya yang berusia 11 tahun.

    ​Rentetan peristiwa hitam ini bermula sekitar akhir Februari 2025 apabila Erica yang berusia 42 tahun mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena dengan hubungan antara pasangannya, Everton, 47 tahun dan anak perempuannya yang baru berusia 11 tahun. Siasatan awal pihak pembelaan mendedahkan bahawa Erica telah menemui mesej-mesej teks yang sangat mencurigakan dan berbau seksual yang dihantar oleh Everton ke telefon pintar kanak-kanak tersebut. Penemuan ini mencetuskan kebimbangan yang amat sangat dalam diri Erica. Namun kemuncak kepada segala ketakutan itu berlaku pada malam 11 Mac 2025 apabila dia pulang ke rumah sebelum mendapati Everton sedang cuba melakukan serangan seksual secara fizikal ke atas anaknya sendiri.

     Menurut fail mahkamah dan hujah pihak pendakwaan, tindakan susulan yang diambil oleh Erica selepas itu disifatkan sebagai satu rancangan balas dendam yang sangat ekstrem dan terancang. Erica didakwa telah bertindak melarutkan ubat penenang jenis Clonazepam ke dalam minuman Everton bagi melemahkan fizikal lelaki tersebut. Sebaik sahaja mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tidak mampu melawan, Erica menyerangnya bertubi-tubi menggunakan senjata tajam dan kayu. Pihak forensik juga mengesahkan satu tindakan yang amat mengerikan di mana Erica telah bertindak memotong zakar Everton semasa lelaki itu dilaporkan masih bernyawa. Bagi menghapuskan bukti jenayah tersebut, Erica kemudiannya meminta bantuan seorang remaja untuk mengheret mayat Everton ke sebuah kawasan belukar berhampiran sebelum bertindak membakarnya.

     ​Penemuan mayat yang rentung itu dengan pantas membawa kepada penahanan Erica oleh pihak polis awam Minas Gerais. Dia kemudiannya ditempatkan di bawah tahanan reman dan berhadapan dengan tiga pertuduhan yang amat berat di bawah Kanun Keseksaan Brazil iaitu pembunuhan kejam dengan niat,  penyembunyian mayat dan juga penglibatan bawah umur dalam aktiviti jenayah (kerana menggunakan bantuan seorang remaja). 

     Detik penentu bagi kes ini berlaku pada 24 Mac 2026, apabila Erica dihadapkan ke Mahkamah Juri di Belo Horizonte untuk perbicaraan penuh. Di dalam dewan mahkamah, pihak pembelaan yang diketuai oleh peguam Erica membina hujah yang sangat kukuh berteraskan konsep pertahanan diri yang sah dan juga keadaan gangguan emosi yang sangat hebat. Pihak pembelaan berjaya meyakinkan mahkamah bahawa tindakan Erica bukanlah didorong oleh niat jahat yang mementingkan diri sendiri. Hal ini sebaliknya merupakan satu-satunya tindak balas luar kawalan yang mampu dilakukan oleh seorang ibu yang mengalami trauma psikologi dahsyat sejurus selepas menyaksikan anaknya hampir dirogol.

     ​Setelah mendengar segala keterangan saksi, hujah forensikndan rayuan emosi, panel juri yang membentuk Majlis Keputusan telah membuat keputusan yang mengejutkan ramai pihak undang-undang. Juri sebulat suara memutuskan bahawa Erica Pereira da Silveira Vicente tidak bersalah dan dibebaskan sepenuhnya daripada semua pertuduhan. 

Catat Ulasan for "Demi Lindungi Anak, Wanita Ini Bebas Tuduhan Kerat dan Bakar Suami di Brazil"