Kisah Kejatuhan Tobey Maguire...Apa Sebenarnya yang Berlaku Kepada Bekas Pelakon Utama Spiderman ini?

Nama Tobey Maguire pastinya tidak asing lagi bagi peminat filem antarabangsa terutamanya generasi yang membesar pada awal tahun 2000-an. Kejayaan luar biasa Tobey menggalas watak Peter Parker dalam trilogi asal Spider-Man (2002–2007) arahan Sam Raimi telah meletakkannya di puncak tertinggi Hollywood. Sifat watak yang dibawanya iaitu seorang pemuda yang pemalu dan penum empati membuatkan jutaan penonton jatuh cinta. Namun selepas filem ketiga francais tersebut, nama Tobey seolah-olah lenyap daripada radar industri perfileman utama. Ramai yang menyangka aktor itu hanya ingin berehat. Walau bagaimanapun, kejatuhan karier Tobey ini berpunca daripada kombinasi konflik di lokasi pemggambaran, isu sikap dan skandal perjudian.
Bibit-bibit keretakan karier Tobey sebenarnya sudah mula kelihatan ketika dia berada di kemuncak populariti. Semasa persediaan untuk penggambaran Spider-Man 2 pada tahun 2004, Tobey mengalami kecederaan belakang yang serius. Keadaan ini menyebabkan jadual penggambaran terganggu dan timbul laporan bahawa dia cuba menggunakan alasan kecederaan tersebut untuk menuntut bayaran yang lebih tinggi daripada pihak studio, Sony Pictures. Berang dengan tindakan itu, pihak studio hampir memecat Tobey dan bersedia menggantikannya dengan Jake Gyllenhaal. Walaupun konflik itu berjaya diselesaikan selepas Tobey membuat permohonan maaf, peristiwa tersebut memberikan isyarat awal kepada industri bahawa dia bukanlah seorang pelakon yang mudah untuk diuruskan. Malah pada Spider-Man 3, kualiti filem mula merosot ekoran campur tangan kreatif yang keterlaluan daripada pihak studio dan ketegangan di set penggambaran.

Di sebalik imej Peter Parker yang mesra dan pemalu, realiti perangai Tobey di lokasi pemggambaran amat berbeza. Beberapa laporan sahih daripada rakan industri menggambarkan Tobey sebagai seorang yang sangat sukar bertolak ansur, dingin dan mempunyai ego yang tinggi. Hubungannya dengan James Franco yang memegang watak Harry Osborn dilaporkan sangat tegang sehingga mereka tidak bertegur sapa untuk tempoh yang lama akibat persaingan peribadi. Selain itu, aktres tersohor Charlize Theron yang pernah bekerja bersama Tobey dalam filem The Cider House Rules (1999) secara terbuka mendedahkan bahawa bekerja dengan Tobey adalah satu pengalaman yang amat sukar dan mewujudkan suasana kerja yang tidak selesa. Tobey juga kerap kali mempertikaikan keputusan pengarah dan mahu proses kreatif mengikut kehendak mutlaknya sendiri.

Tamparan terbesar yang memusnahkan imej bersih Tobey di mata umum ialah penglibatan mendalamnya dalam dunia perjudian poker haram berisiko tinggi di Los Angeles. Bermula sekitar tahun 2005, Tobey bersama penerbit TV, Houston Curtis menjadi dalang utama yang menganjurkan permainan poker bawah tanah eksklusif untuk golongan jutawan dan selebriti gred A Hollywood termasuk Leonardo DiCaprio, Ben Affleck dan Matt Damon. Kisah ini kemudiannya dibongkar secara terperinci menerusi memoir bertajuk Molly's Game oleh Molly Bloom (yang menguruskan permainan tersebut) dan buku Billion Dollar Hollywood Heist oleh Houston Curtis. Menerusi pendedahan tersebut, Tobey digambarkan sebagai seorang pemain yang sangat kejam, tamak dan sanggup melakukan apa sahaja demi wang.

Skandal poker ini bertukar menjadi kes jenayah berat apabila salah seorang pemain tetap mereka, seorang pengurus dana lindung nilai bernama Bradley Ruderman ditangkap oleh pihak berkuasa pada tahun 2009. Ruderman didapati menjadi dalang skim Ponzi bernilai puluhan juta dolar dan telah menggunakan wang pelabur yang dicurinya untuk membayar hutang judi di meja poker Tobey. Akibatnya pada tahun 2011, sekumpulan pelabur yang menjadi mangsa telah memfailkan saman sivil terhadap Tobey Maguire bagi menuntut semula wang kemenangan berjumlah lebih $311 000 yang dimenanginya daripada Ruderman. Kes ini mendedahkan aktiviti perjudian haram itu kepada umum dan mencalar reputasi Tobey secara kekal. Dia akhirnya bersetuju untuk menyelesaikan saman tersebut di luar mahkamah dengan membayar pampasan sebanyak $80 000.

Rentetan daripada skandal undang-undang, publisiti negatif dan reputasinya sebagai pelakon yang bermasalah di set, syarikat-syarikat gergasi di Hollywood mula menjauhkan diri daripada mengambil Tobey sebagai peneraju utama filem mereka. Dia dianggap sebagai satu liabiliti yang besar. Menyedari ruangnya sebagai pelakon utama semakin mengecil, Tobey Maguire memilih untuk beralih arah ke belakang tabir dengan menubuhkan syarikat penerbitannya sendiri, Material Pictures bagi menerbitkan filem-filem indie dan memilih projek lakonan secara sangat selektif. Walaupun beliau membuat kemunculan semula yang merantai nostalgia peminat menerusi filem Spider-Man: No Way Home (2021), zaman kegemilangannya sebagai Golden Boy Hollywood telah lama berakhir akibat silap langkahnya sendiri di luar skrin.
Catat Ulasan for "Kisah Kejatuhan Tobey Maguire...Apa Sebenarnya yang Berlaku Kepada Bekas Pelakon Utama Spiderman ini?"