Agostina Vega: Remaja 14 Tahun yang Maut Dikerat Bekas Kekasih Ibu

Pada penghujung Mei 2026 bertempat di bandar Cordoba, Argentinaz, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun iaitu Agostina Vega dilaporkan hilang sebelum ditemui mati dalam keadaan yang cukup mengerikan.
Misteri kehilangan Agostina bermula pada malam Sabtu, 23 Mei 2026. Pada sekitar jam 10:30 malam, mangsa telah meminta izin daripada neneknya untuk keluar dari rumah dengan alasan mahu mengambil satu hadiah kejutan sempena hari lahir ibunya, Melisa Heredia. Tanpa rasa curiga, Agostina menyeberangi jalan sebelum menaiki sebuah teksi pengangkutan awam yang dipandu oleh seorang lelaki bernama Ariel. Sepanjang perjalanan, pemandu teksi tersebut menyatakan bahawa Agostina kelihatan sangat tenang, ceria dan berkomunikasi dengan baik. Riak wajah mangsa yang langsung tidak menunjukkan rasa takut atau ragu-ragu membuktikan bahawa Agostina sangat mempercayai individu yang bakal ditemuinya itu.

Apabila teksi tersebut tiba di destinasi di kawasan kejiranan Barrio Cofico, seorang lelaki setinggi 1.80 meter dengan jaket hitam berhud telah mendekati kenderaan berkenaan. Lelaki itu membayar tambang teksi bagi pihak Agostina sebelum mangsa turun dan berjalan masuk bersamanya ke dalam sebuah rumah di Calle Juan Del Campillo 878. Tiada sebarang kekerasan atau pergelutan dikesan oleh pemandu teksi pada waktu tersebut. Namun apa yang tidak diketahui oleh sesiapa pun, itulah detik terakhir Agostina dilihat dalam keadaan bernyawa. Sebelum keluar secara sembunyi, Agostina sempat menghantar satu mesej suara kepada rakan-rakannya di mana dia menyatakan kehairanan mengapa dirinya perlu keluar secara rahsia bersama teman lelaki ibunya yakni satu bukti penting yang kemudiannya merungkai plot penipuan suspek.
Selepas beberapa jam tanpa khabar berita, keluarga mangsa mula cemas apabila panggilan telefon dan mesej mereka langsung tidak dijawab. Bapa mangsa, Gabriel Vega yang ketika itu berada di luar wilayah segera pulang ke Cordoba setelah dimaklumkan mengenai kehilangan anaknya. Usaha awal keluarga untuk mendapatkan bantuan pihak polis pada hari Ahad menemui jalan buntu ekoran kekurangan kakitangan yang ketika itu sibuk mengawal kawalan keselamatan bagi sambutan perlawanan bola sepak tempatan. Kecewa dengan birokrasi, keluarga mangsa menyebarkan gambar Agostina di media sosial sehingga kes ini mendapat perhatian meluas yang akhirnya mendorong pemandu teksi tampil memberikan keterangan kritikal. Hasil keterangan itu membawa kepada pengenalan suspek utama, Claudio Gabriel Barrelier, seorang kakitangan perbandaran berusia 33 tahun yang juga merupakan bekas kekasih ibu mangsa.

Claudio Barrelier telah ditangkap oleh pihak polis pada malam 26 Mei 2026. Pada awalnya, suspek menafikan sekeras-kerasnya penglibatan dirinya. Dia mendakwa remaja perempuan yang dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) memasuki premisnya ialah anak perempuannya sendiri yang berusia 11 tahun. Walau bagaimanapun, penipuan suspek mula runtuh satu demi satu apabila pihak forensik menunjukkan analisis data telekomunikasi yang membuktikan telefon bimbit Agostina aktif selama tiga jam di dalam rumah suspek sebelum isyaratnya terputus sepenuhnya. Pihak berkuasa turut menyerbu rumah suspek yang berfungsi seakan sebuah kubu peribadi lengkap dengan bilik dan bilik air sendiri. Penggunaan cecair luminol membongkar kewujudan kesan tompokan darah yang luas meskipun rumah tersebut dikesan telah dibersihkan secara kimia sebanyak dua kali selepas kehilangan mangsa.
Kemuncak kepada pencarian ini berakhir dengan penemuan yang sangat memilukan pada hari Sabtu, 30 Mei 2026. Di sebuah kawasan padang terbiar yang luas di pinggir bandar Ampliacion Ferreyra, kawasan yang sering dikunjungi oleh suspek untuk bermain bola sepak, pihak polis menemui sisa mayat Agostina. Mayat mangsa ditemui dalam keadaan ngeri di mana tubuhnya telah dikerat-kerat, dimasukkan ke dalam beberapa buah beg sampah plastik hitam dan disembunyikan di dalam sebuah tong besar yang ditanam separuh di dalam saluran air. Rekod CCTV bandar kemudian mengesahkan suspek telah meminjam kereta Ford Ka milik teman wanitanya yang lain pada pagi Isnin, 25 Mei untuk memindahkan bahagian tubuh mangsa ke lokasi pembuangan tersebut.

Hasil bedah siasat awal yang dijalankan di Unit Forensik mendedahkan bahawa punca kematian Agostina adalah akibat asfiksia mekanikal yang dipercayai berlaku di antara jam 1:00 pagi hingga 3:00 pagi di dalam rumah suspek. Pakar forensik menyatakan mangsa mengalami kecederaan organ dalaman yang amat parah dipercayai akibat cuba mempertahankan diri daripada serangan seksual. Proses pembuktian klinikal bagi kes rogol bagaimanapun menghadapi kesukaran yang tinggi ekoran tindakan suspek yang telah memotong dan merosakkan tubuh mangsa demi melupuskan bahan bukti.
Siasatan lanjut pihak berkuasa turut membongkar latar belakang Claudio Barrelier sebagai seorang pemangsa wanita yang sangat berbahaya. Pada Mei 2025, suspek rupanya pernah ditangkap atas tuduhan menculik dan mengurung seorang wanita berusia 20 tahun secara haram. Dalam kes lampau itu, mangsa berjaya melarikan diri dalam keadaan separuh bogel selepas diikat kaki dan tangan serta diugut menggunakan senjata api. Malangnya, suspek dibebaskan dengan ikat jamin selepas rakan-rakannya termasuk ibu Agostina sendiri yang membuat kutipan wang bagi membebaskannya.

Suspek kini diletakkan di bawah kawalan ketat di Hospital Penjara Bouwer selepas menunjukkan kecenderungan untuk membunuh diri. Pihak pendakwa raya telah menaikkan gred pertuduhan kepada kes femicide (pembunuhan terancang berasaskan jantina) yang membawa kepada hukuman penjara seumur hidup tanpa parol. Siasatan juga kini diperluaskan bagi mengenal pasti jika terdapat rakan suspek yang subahat dalam membantu membersihkan lokasi kejadian.
Catat Ulasan for "Agostina Vega: Remaja 14 Tahun yang Maut Dikerat Bekas Kekasih Ibu "