Kisah Pembunuhan Kejam Ding Xiaoyan di Beijing

Pada pagi 21 Mei 2006, kota Beijing, China telah dikejutkan dengan penemuan satu mayat wanita dalam keadaan yang amat mengerikan di sebuah kawasan rumah yang sedang dalam proses perobohan di No. 66, Jalan Nanjia (Naxinhuajie), Daerah Xuanwu. Mayat wanita yang ditemui dalam keadaan hampir bogel itu dipenuhi dengan kesan lebam dan luka parah di seluruh badan. Siasatan forensik mendedahkan mangsa telah melalui detik-detik akhir hayat yang amat menyeksakan akibat didera secara fizikal dan seksual sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Mangsa yang tidak bernasib baik itu disahkan sebagai Ding Xiaoyan iaitu seorang suri rumah tangga yang berusia 36 tahun. Sebelum kejadian ngeri itu berlaku, Ding Xiaoyan menjalani kehidupan yang bahagia bersama suami dan anak lelakinya yang berusia 14 tahun di sebuah bilik sewa kecil berhampiran kawasan Liulichang, Beijing. Pada malam 20 Mei 2006, Ding Xiaoyan menyedari suaminya masih belum pulang kerana menghadiri satu majlis makan malam syarikat. Bimbang akan keselamatan suaminya yang mungkin mabuk, wanita yang setia ini mengambil keputusan untuk keluar berjalan kaki bagi menjemput suaminya. Malang tidak berbau, keprihatinan seorang isteri akhirnya bertukar menjadi satu mimpi ngeri yang membawa kepada kematiannya.
Langkah Ding Xiaoyan pada malam itu telah diperhatikan oleh sekumpulan remaja yang hidup bergelandangan tanpa hala tuju. Mereka adalah pasangan kembar berusia 17 tahun iaitu Liu Jie dan Liu Gang bersama pasangan kekasih mereka, Yan Reina (19 tahun) dan Xiao Yun (15 tahun. Keempat-empat remaja ini datang daripada latar belakang keluarga yang pecah, miskin dan ibu bapa yang menganggur hingga menyebabkan mereka tercicir dari sekolah serta meluangkan masa berkeliaran di kafe siber serta jalanan pada waktu malam.

Detik hitam itu bermula apabila Yan Reina dan Xiao Yun sengaja mengejar sesama sendiri lalu merempuh bahu Ding Xiaoyan secara kasar yang sedang berjalan sendirian. Apabila Ding Xiaoyan cuba mempertahankan diri dengan mengatakan dia tidak bersalah, Yan Reina sengaja merebahkan diri ke tanah dan berpura-pura kesakitan. Detik itu digunakan sepenuhnya oleh kembar Liu Jie dan Liu Gang untuk meluru keluar, mencengkam baju mangsa lalu menuduhnya berjalan ikut sesuk hati. Menyedari dirinya dalam bahaya, Ding Xiaoyan tidak melawan dan membiarkan wang sebanyak 112 Yuan serta telefon bimbitnya dirampasbdengan harapan kumpulan samseng jalanan itu akan melepaskannya selepas mendapat wang.
Walau bagaimanapun, jangkaan mangsa meleset sama sekali. Keempat-empat remaja tersebut mengheret Ding Xiaoyan ke dalam sebuah runtuhan bangunan kosong dan mula melakukan penyeksaan kejam yang berlangsung selama lebih satu jam. Mereka menggunakan kayu yang dipenuhi paku untuk memukul mangsa bertubi-tubi. Tidak cukup dengan itu, mereka memaksa wanita tersebut menanggalkan seluruh pakaiannya. Ding Xiaoyan yang dalam keadaan ridak berdaya menangis teresak-esak sambil merayu, "Tolong lepaskan saya... Saya mempunyai anak berusia 14 tahun di rumah, sebaya dengan kamu semua. Sanggupkah kamu lakukan perkara sebegini kepada ibu kandung kamu sendiri?"
Rayuan yang meruntuh jiwa itu langsung tidak mengusik hati kumpulan remaja tersebut. Malah jeritan kesakitan Ding Xiaoyan membuatkan mereka bertambah ghairah dan seronok. Salah seorang daripada kembar tersebut mengeluarkan pemetik api lalu membakar rambut mangsa. Lebih kejam lagi, mereka bertindak membakar bahagian kemaluan mangsa serta melakukan penghinaan seksual yang melampau hingga mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah. Apa yang lebih menyedihkan, siasatan mendapati jeritan suara mangsa didengari oleh ramai penduduk sekitar dan terdapat pemandu kereta yang lalu-lalang melihat kejadian itu. Namun masing-masing memilih untuk memejamkan mata dan tidak menghubungi pihak polis kerana sifat tidak mahu menjaga tepi kain orang.

Pada malam 21 Mei 2006, pihak polis berjaya memberkas keempat-empat pelaku di sebuah kafe siber berhampiran ketika mereka sedang leka bermain permainan video tanpa sekelumit rasa bersalah. Lebih mengejutkan pihak berkuasa yakni sehari sebelum membunuh Ding Xiaoyan, kumpulan remaja ini rupanya telah melakukan jenayah yang sama ke atas seorang wanita tua pemungut sampah di jalan yang sama. Apabila disoal siasat tentang motif mereka melakukan penyeksaan kejam tersebut, jawapan yang keluar daripada mulut mereka, "Kami melakukannya kerana bosan, tidak ada kerja nak buat dan mahu mencari keseronokan. Mendengar suara mereka menjerit kesakitan membuatkan kami rasa sangat tenang dan selesa."
Pada 29 Jun 2007, Mahkamah Perantara Rakyat Pertama Beijing membacakan keputusan perbicaraan. Memandangkan majoriti pesalah masih di bawah umur dan pihak mahkamah berpendapat tindakan mereka tidak mempunyai niat awal untuk membunuh. Jadi kesemua mereka terselamat daripada hukuman mati. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara atas pertuduhan mencederakan dengan sengaja dan merompak. Liu Jie dan Yan Reina dihukum penjara selama 17 tahun, Liu Gang dihukum 14 tahun manakala remaja paling muda, Xiao Yun dijatuhkan hukuman penjara 9 tahun.
Keputusan ini ditentang hebat oleh ahli keluarga mangsa yang menganggap hukuman tersebut terlalu ringan bagi sebuah jenayah yang sangat tidak berperikemanusiaan. Suami mangsa membawa potret besar mendiang isterinya ke mahkamah sambil menangis mengenangkan nasib anak mereka yang telah terjejas emosi dan enggan belajar akibat trauma. Pihak pendakwa raya kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut. Hasil daripada proses rayuan yang panjang, mahkamah akhirnya menukar hukuman terhadap dalang utama kes, Liu Jie daripada penjara 17 tahun kepada hukuman penjara seumur hidup manakala hukuman bagi pelaku yang lain kekal.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Ding Xiaoyan di Beijing "