KISAH AMENEH BAHRAMI : Derita dan Terus Derita


Serangan kejam tersebut berlaku pada bulan Oktober 2004 ketika Ameneh sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja. Majid yang telah mengekori Ameneh bertindak menyimbah asid sulfurik tepat ke arah wajah wanita itu. Kesannya sangat dahsyat di mana kulit wajah Ameneh cair serta-merta dan kedua-dua belah matanya mengalami kerosakan kekal. Meskipun telah menjalani 17 siri pembedahan rekonstruktif di Iran dan Sepanyol, penglihatan Ameneh gagal diselamatkan. Dia bukan sahaja kehilangan kecantikan fizikal malah kehilangan keupayaan untuk melihat dunia buat selama-lamanya.
Keadaan menjadi lebih kompleks apabila kes ini dibawa ke muka pengadilan. Ameneh dengan penuh ketabahan telah menuntut pelaksanaan hukuman Qisas iaitu prinsip keadilan dalam undang-undang Islam yang berteraskan mata dibalas mata. Dia memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman supaya mata Majid dititiskan dengan asid sama seperti penderitaan yang dialaminya. Tuntutan ini mencetuskan kontroversi kerana ada yang menyokongnya sebagai keadilan mutlak bagi mangsa manakala pertubuhan hak asasi manusia pula menganggapnya sebagai tindakan yang tidak berperikemanusiaan.

Namun perjalanan menuntut keadilan tidaklah mudah buat Ameneh. Di bawah tafsiran undang-undang tempatan pada ketika itu, nilai pampasan atau diyat bagi seorang wanita adalah separuh daripada nilai lelaki. Ini bermakna secara teknikalnya, Ameneh hanya berhak membutakan sebelah mata Majid sahaja. Jika Ameneh mahu Majid buta kedua-dua belah mata, dia diminta membayar sejumlah wang (kira-kira 25 000 USD) kepada kerajaan sebagai imbangan nilai. Ameneh enggan mengalah dan terus berjuang melalui saluran media dan undang-undang sehingga akhirnya pada tahun 2009, Mahkamah Agung Iran memihak kepadanya dan membenarkan hukuman buta kedua-dua belah mata dilaksanakan ke atas Majid.
Detik yang paling dinantikan berlaku pada 31 Julai 2011 di sebuah hospital di Tehran. Majid sudah terlentang di katil, bersedia untuk menjalani hukuman tersebut dengan kehadiran doktor dan pegawai kehakiman. Dalam suasana yang penuh ketegangan yakni ketika asid sudah sedia untuk dititiskan, Ameneh melakukan satu tindakan yang mengejutkan dunia. Dia mengumumkan, "Saya memaafkan dia." Ameneh memilih untuk melepaskan haknya untuk membalas dendam pada saat-saat akhir dengan menyatakan bahawa kemaafan adalah lebih mulia daripada pembalasan.

Cuma pengakhiran kisah ini sangat menyedihkan. Meskipun Ameneh telah menunjukkan kemuliaan hati yang luar biasa, pihak pelaku dan keluarganya gagal menepati janji untuk membayar pampasan kewangan bagi kos perubatan Ameneh. Majid dibebaskan dari penjara pada tahun 2014 melalui pengampunan tanpa menunjukkan rasa kesal. Ameneh pula terpaksa mengharungi sisa hidupnya dalam kesempitan wang di Sepanyol selain dlaporkan pernah menjadi gelandangan seketika kerana kehabisan simpanan untuk kos rawatan.
Catat Ulasan for "KISAH AMENEH BAHRAMI : Derita dan Terus Derita"