Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM JONATHAN HOFFMAN : Dibunuh Nenek Sendiri

    Kisah pembunuhan kejam ini berlaku pada tahun 2012 di negara Amerika Syarikat. Tahun tersebut, Jonathan Hoffman adalah seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang menetap di West Bloomfield yang terletak di luar bandar Detroit, Michigan. Tahun itu juga merupakan tahun akhir Jonathan belajar di sekolah menengahnya. Dia digambarkan sebagai seorang yang berperwatakan kelakar dan mempunyai cita-cita untuk melanjutkan pelajarannya ke Universiti Michigan.

    Namun semua tersebut berubah sesudah ibu bapa Jonathan mencapai kata putus untuk bercerai. Paling membuatkan Jonathan berasa tertekan apabila adik perempuannya yang didiagnos mengidap penyakit barah otak telah dibawa pergi sekali oleh ibu bapanya untuk berhijrah ke Arizona. Jonathan sendiri pula dibiarkan untuk tinggal bersama dengan neneknya yang berusia 72 tahun iaitu Sandra Layne. Sandra ternyata mengalami kesukaran untuk mengawal Jonathan selepas cucunya itu mula menjadi seorang penagih dadah. Pernah satu ketika, Jonathan ditahan oleh pihak polis susulan penemuan dadah di dalam keretanya. Dia bagaimanapun dibebaskan semula dengan syarat pengawasan daripada pihak polis untuk tempoh tertentu. Penahanan tersebut ternyata tidak pernah menginsafkan Jonathan kerana kelakukannya semakin menjadi-jadi selepas itu.

    Hinggalah satu hari, Jonathan telah gagal melepasi ujian saringan dadah yang dikenakan terhadapnya. Perkara ini sekaligus membuatkan Sandra bertekad untuk menghukum Jonathan dengan caranya yang tersendiri. Dia tidak menghantar Jonathan ke pusat rehabilitasi sebaliknya ke alam kematian. Maka kisah sebenar bermula pada 18 Mei 2012. Sandra telah bertengkar dengan Jonathan dengan punca pertengkaran adalah berpunca daripada tindakan Sandra menghalang Jonathan keluar dari rumah untuk bertemu dengan rakan-rakannya. Sandra terpaksa berbuat sedemikian berikutan keputusan ujian saringan ke atas Jonathan pada waktu sebelumnya didapati positif. Melihat sikap Jonathan yang semakin agresif, Sandra pun menyuruh suaminya untuk keluar dari rumah dengan membawa sekali anjing peliharaan mereka. Maka Sandra pun pergi mengambil senjata api yang telah dibelinya pada beberapa hari sebelum itu.

    Apa yang berlaku kemudian, Sandra telah melepaskan beberapa das tembakan kepada Jonathan. Selepas tembakan tersebut, Jonathan sempat untuk menghubungi pihak polis (Dengarkan sendiri rakaman berkenaan di sini : https://youtu.be/K8XwfA5NiHo ). Saat Jonathan masih bercakap dengan pihak operator, dia sekali lagi ditembak oleh Sandra. Secara keseluruhannya, Jonathan menerima lima das tembakan dengan tiga das tembakan pada bahagian dada, sedas tembakan pada bahagian perut dan sedas lagi tembakan pada bahagian lengan kiri. Jonathan mati serta-merta di lokasi kejadian. Tidak lama panggilan kecemasan daripada Jonathan, pihak polis pun tiba di lokasi kejadian dengan Sandra sudah bersiap siaga untuk menyerah diri.

    Sanda yakni seorang pesara guru telah menyalahkan ibu bapa Jonathan sepenuhnya atas pembunuhan yang sudah berlaku. Dakwa Sandra lagi, dia tidak pernah mempunyai sebarang keinginan untuk menjaga Jonathan. Situasi menjadi semakin buruk apabila Jonathan mula terbabit dengan penyalahgunaan dadah. Jadi, Sandra terpaksa membunuh cucunya itu untuk mempertahankan diri. Keputusan perbicaraan kes menyaksikan Sandra yang didapati bersalah telah dijatuhkan hukuman penjara maksimum selama 40 tahun.                                     

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM JONATHAN HOFFMAN : Dibunuh Nenek Sendiri"