Demi View & Gift, Lelaki Ini Sanggup Biarkan Teman Wanita Mati

     Pada Disember 2020, satu kejadian ngeri semasa penstriman telah berlaku di Rusia. Kejadian ini melibatkan seorang penstrim siaran langsung (berusia 30 tahun iaitu Stanislav Reshetnikovnyang lebih dikenali dengan nama dalam taliannya, Stas Reeflay serta kekasihnya, Valentina Valya Grigoryeva, berusia 28 tahun. 

    Semasa sesi siaran langsung dijalankan di kediamannya di Ivanovo yakni kira-kira 80 kilometer dari Moscow), Stas Reeflay telah menerima cabaran daripada salah seorang penontonnya. Penonton berkenaan menawarkan bayaran ganjaran sebanyak USD 1000 (sekitar RM4000) jika Stas sanggup mengenakan denda dan penderaan fizikal ke atas Valentina.

    Tanpa memikirkan risiko, Stas bertindak menyembur cecair pemedih mata ke muka Valentina serta memukulnya. Selepas perselisihan berlaku, Stas memaksa Valentina keluar ke balkoni rumah mereka dalam keadaan cuaca musim sejuk melampau yang berada di bawah paras beku. Valentina yang pada ketika itu hanya memakai pakaian dalam dikunci di luar rumah tanpa sebarang sehelai pakaian tebal.

      Selepas membiarkan Valentina terdedah pada suhu sejuk melampau di luar untuk tempoh yang lama, Stas akhirnya membuka pintu balkoni dan menarik tubuh Valentina yang kelihatan kaku masuk ke ruang tamu. Di hadapan ribuan penonton yang menyaksikan siaran secara langsung tersebut, Stas cuba mengejutkan Valentina yang sudah pengsan dan pucat lesu.

     Dalam rakaman yang menyayat hati itu, Stas dilihat meletakkan tubuh Valentina di atas sofa dan cuba megejutkannya sambil berkata, "Valya, bangunlah... saya sayang awak. Bangunlah!" Walau bagaimanapun, tiada sebarang tindak balas daripada Valentina. Walaupun menyedari keadaan kekasihnya sudah tidak lagi bernyawa, Stas tidak mematikan kamera siaran langsung. Dia terus membiarkan kamera beroperasi selama hampir dua jam sambil meminum minuman keras dan meratapi keadaan Valentina hinggalah pihak paramedik dan polis yang dipanggil tiba di lokasi kejadian. Pihak ambulans mengesahkan Valentina telah meninggal dunia di tempat kejadian di hadapan ribuan mata penonton di talian.

     Siasatan forensik dan laporan bedah siat mendapati punca utama kematian Valentina bukan sahaja disebabkan oleh hipotermia tetapi juga berpunca daripada kecederaan traumatik parah di bahagian kepala. Pihak perubatan mengesahkan mangsa mengalami pendarahan dalaman di bahagian otak (akibat pukulan dan penderaan fizikal yang dialami oleh Valentina sebelum dia dipaksa keluar ke balkoni.

     Pada April 2021, mahkamah di Rusia mendapati Stas Reeflay bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah yang membawa kepada kematian tanpa niat. Dia telah dijatuhi hukuman penjara selama 6 tahun di koloni penjara kawalan ketat.

Catat Ulasan for "Demi View & Gift, Lelaki Ini Sanggup Biarkan Teman Wanita Mati"