LELAKI MAUT DIBAHAM HARIMAU SELEPAS CEROBOH KANDANG

     DONCASTER (UNITED KINGDOM) - Suasana percutian hujung minggu di sebuah taman hidupan liar terkenal bertukar menjadi detik mengerikan apabila seorang lelaki maut akibat diserang seekor harimau selepas dipercayai memanjat dan menceroboh masuk ke dalam kawasan kurungan haiwan pemangsa berkenaan di Yorkshire Wildlife Park pada Sabtu. Kejadian itu berlaku sekitar jam 1.30 petang waktu tempatan di rizab pemeliharaan Harimau Amur (Siberia) yang merupakan sebahagian daripada tarikan utama taman hidupan liar berkenaan.

      Menurut saksi di lokasi kejadian, mangsa iaitu seorang lelaki dewasa secara tiba-tiba bertindak memanjat laluan pejalan kaki berpagar sebelum melompat masuk ke dalam kawasan kawasan rizab harimau tersebut. Saksi yang berada di laluan pejalan kaki terbabit cuba menjerit dan memberi amaran namun tidak sempat menghalang tindakan nekad lelaki berkenaan. Sebaik sahaja mangsa berada di dalam kawasan larangan itu, seekor harimau dengan pantas menerkam dan menyerangnya. Beberapa pengunjung yang berada di tempat kejadian melaporkan mendengar jeritan meminta tolong serta usaha orang ramai yang cuba mengalihkan perhatian haiwan pemangsa itu dengan membuat bising dari luar pagar.


     Pihak pengurusan Yorkshire Wildlife Park terus mengaktifkan protokol kecemasan sejurus menerima maklumat mengenai pencerobohan berkenaan. Pasukan renjer zoo tiba di lokasi bersama kakitangan keselamatan untuk mengawal keadaan. Bagi menjamin keselamatan pengunjung lain, keseluruhan kawasan taman hidupan liar tersebut diarahkan dikosongkan dan ditutup serta-merta. Pasukan Penyelamat dan Polis South Yorkshire yang menerima panggilan kecemasan pada jam 1.35 petang telah mengejarkan beberapa unit perubatan ke tempat kejadian termasuk dua buah ambulans darat, doktor kecemasan serta perkhidmatan Ambulans Udara Yorkshire.

     Menurut maklumat awal saksi, dua das tembakan amaran dilaporkan dilepaskan oleh pihak zoo untuk menakutkan harimau berkenaan dan membolehkannya berundur. Walau bagaimanapun, pegawai perubatan yang berjaya memasuki kurungan mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah. Pihak polis turut mengesahkan bahawa harimau terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan kekal berada di dalam kawasan kurungannya selepas kejadian tersebut.

    Pihak pengurusan Yorkshire Wildlife Park dalam satu kenyataan rasmi menyatakan rasa dukacita atas insiden berkenaan dan mengesahkan bahawa taman hidupan liar itu akan ditutup sepenuhnya sepanjang hari Ahad bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci. Ekoran insiden tersebut, beberapa rakaman video yang diambil oleh saksi kejadian mula tersebar di platform media sosial. Pihak Polis South Yorkshire mengeluarkan peringatan tegas kepada orang ramai agar tidak menyebarkan atau memuat naik sebarang rakaman visual insiden berkenaan demi menghormati sensitiviti keluarga mangsa serta mengelakkan kegusaran kepada awam.

     Berhubung dengan latar belakang dan keadaan kesihatan mangsa, timbul pelbagai dakwaan serta spekulasi di platform media sosial yang mengaitkan tindakan nekad lelaki itu dengan masalah kesihatan mental atau autisme. Walau bagaimanapun, pihak Polis South Yorkshire menegaskan bahawa tiada pengesahan rasmi mengenai keadaan kesihatan mental atau masalah neurodivergen mangsa buat masa ini dan motif sebenar pencerobohan masih dalam siasatan. Identiti penuh mangsa juga belum diumumkan secara rasmi kepada umum namun pihak polis telah mengenal pasti dan menghubungi ahli keluarganya. 


Catat Ulasan for "LELAKI MAUT DIBAHAM HARIMAU SELEPAS CEROBOH KANDANG"