Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH LEGENDA URBAN HANTU POCONG SUKOWATI 1975

    Kisah Hantu Pocong Sukowati merupakan satu kisah legenda urban seram yang dikatakan sebagai sebagai kisah benar yang pernah menghantui sebuah kawasan perkampungan dalam daerah Temanggung, Indonesia pada sekitar tahun 1970-an. Hantu pocong Sukowati dikatakan telah muncul di kampung itu untuk mencari keadilan. Tidak pasti samada benar atau sebaliknya, ada pihak yang mendakwa bahawa hantu pocong Sukowati ini masih lagi menampakkan dirinya di kawasan kampung tersebut hingga pada hari ini.

    Kisah legenda urban hantu pocong Sukowati ini bermula pada bulan November tahun 1973. Tahun tersebut, Sukowati adalah seorang wanita cantik berusia 23 yang tinggal bersama dengan neneknya sejak dia dari kecil lagi. Sukowati dijaga oleh neneknya itu selepas ibu bapanya meninggal dunia. Disebabkan kecantikan Sukowati, dia begitu digilai oleh kebanyakan penduduk lelaki di kampung hingga ramai yang melamarnya untuk dijadikan sebagai isteri. Walau bagaimanapun, semua lamaran perkahwinan itu ditolak Sukowati kerana dia telah mempunyai teman lelaki yang dikenali sebagai Bondan. Cumanya hubungan Sukowati dan Bondan tersebut ditentang keluarga masing-masing. Perkara ini adalah berikutan nenek Sukowati dan bapa Bondan pernah menjadi musuh politik dalam merebut jawatan sebagai ketua kampung.

Hinggalah pada penghujung tahun 1974, Sukowati menerima satu tamparan hebat apabila Bondan yang sebelum ini berjanji untuk hidup semati dengannya telah mengahwini wanita lain. Perkara itu ternyata benar-benar mengecewakan Sukowati yang sudah pun mengandung anak kepada Bondan. Sampai satu masa, Sukowati yang berasa tertekan telah membunuh diri dengan cara menggantung leher di dalam bilik tidur rumahnya. Hanya selepas hari tujuh kematiannya, barulah kematian Sukowati disedari oleh neneknya serta penduduk setempat dek kerana bau busuk yang datang dari biliknya. Sesudah Sukowati mati, keperluan seharian neneknya yang sebelum ini digelar sebagai orang dermawan telah diuruskan oleh penduduk kampung.

    Diringkaskan cerita yakni pada satu petang, sekumpulan penduduk kampung yang sedang melepak di depan surau kampung dikejutkan dengan kedatangan nenek Sukowati dalam keadaan nafasnya tercungap-cungap.

    “Ada apa nek?” Tanya salah seorang penduduk kampung.

    “Wati dah pulang! Bawa bayi!” Balas nenek Sukowati.

    “Wati mana nek?” Tanya seorang lagi penduduk kampung yang inginkan kepastian.

    “Sukowati, cucuku!” Jawab nenek Sukowati lagi.

    Mendengar perkara itu, penduduk kampung pun bergegas ke rumah nenek Sukowati. Setibanya di rumah tersebut, mereka semua tidak menemui Sukowati seperti yang dimaksudkan neneknya. Jadi ada antara mereka yang beranggapan bahawa nenek Sukowati itu berkemungkinan besar sekadar berhalusinani kerana terlalu merindui cucunya. Sesetengah mereka juga percaya bahawa Sukowati benar-benar telah kembali untuk menuntut keadilan atas apa yang telah berlaku kepada dirinya sebelum ini.

    Beberapa hari kemudian, ada seorang penduduk kampung bernama Sarjono sedang berbasikal di mana dia sdalam perjalanan pulang ke rumahnya dengan melalui jalan yang sunyi sepi. Sewaktu Sarjono mengayuh basikalnya itu, dia tiba-tiba ternampak ada seorang wanita yang sedang memakai kain batik dengan berselendang sambil menggendong bayi. Saat Sarjono mendekati wanita tersebut, dia terhidu satu bau yang sangat busuk. Pada masa sama, Sarjono mendapati kain batik dan selendang yang dipakai wanita itu penuh dengan lumuran darah. Sebaik saja Sarjono menghentikan kayuhan basikalnya, jelas wanita yang berada di depannya itu tidak lain tidak bukan Sukowati.

    “Masss...!” kata wanita tersebut.                                                                      

    Sarjono apa lagi, terus melarikan diri dengan meninggalkan basikalnya di lokasi itu. Dia telah bersumpah kepada penduduk kampung bahawa wanita yang dia lihat tersebut adalah Sukowati. Jelas Sarjono lagi, pengecaman itu dibuat berdasarkan posisi tahi lalat di bawah mata Sukowati. Sebenarnya bukan Sarjono seorang yang pernah melihat Sukowati. Ada lagi beberapa penduduk kampung lain terserempak dengan Sukowati dalam bentuk pocong. Tentang Bondan, dia menjadi kurang waras setelah pernikahannya berikutan gangguan berterusan daripada Sukowati. 

Catat Ulasan for "KISAH LEGENDA URBAN HANTU POCONG SUKOWATI 1975"