Kisah Mike Mansholt: Kematian Misteri Seorang Remaja Jerman di Malta

Kes Mike Mansholt merupakan salah satu kisah kematian misteri yang hingga kini masih belum terungkai sepenuhnya walaupun telah berlalu hampir satu dekad. Kisah ini melibatkan seorang remaja Jerman berusia 17 tahun iaitu Mike Mansholt yang ditemui mati dalam keadaan mencurigakan di kaki tebing Dingli Cliffs, Malta semasa sedang dalam percutian solo. Kejanggalan demi kejanggalan yang timbul daripada penemuan mayatnya telah menimbulkan pelbagai teori dan spekulasi.
Mike Mansholt tiba di Malta pada pertengahan Julai 2016. Remaja yang berasal dari Bremen itu sangat meminati sukan dan aktiviti lasak. Pada 18 Julai, dia sempat menghantar mesej suara kepada bapanya melalui aplikasi WhatsApp yang menyatakan bahawa dia sedang menikmati aktiviti berbasikal di sekitar pulau itu. Namun keesokan harinya, sesuatu yang ganjil berlaku apabila Mike tidak memulangkan basikal yang disewanya. Pada 22 Julai, pihak keluarga menjadi semakin risau setelah Mike gagal menaiki penerbangan pulang seperti yang dijadualkan. Selepas beberapa hari dalam kebimbangan, pada 26 Julai, jasad Mike akhirnya ditemui di kaki tebing Dingli Cliffs yakni kira-kira sepuluh tingkat di bawah paras jalan raya.

Mayat Mike ditemui bersama basikalnya yang kelihatan tergantung di semak berdekatan. Pada pandangan pertama, ramai menyangka dia mungkin terjatuh dari tebing ketika berbasikal yakni andaian yang kelihatan logik memandangkan lokasi kejadian yang berbahaya. Namun hasil bedah siasat di Malta kemudian menunjukkan bahawa tiada sebarang tulang patah pada tubuh Mike sekaligus menyangkal dakwaan bahawa dia mati akibat jatuh dari ketinggian. Autopsi kedua yang dilakukan sebaik mayatnya tiba di Jerman mendedahkan sesuatu yang lebih mengejutkan di mana hampir kesemua organ dalaman Mike telah hilang. Antara organ yang tidak ditemui termasuk otak, jantung, paru-paru, hati dan perut. Hanya buah pinggang kiri, diafragma, limpa dan usus besar sahaja yang tinggal. Kehilangan organ-organ penting ini tidak pernah dijelaskan secara rasmi oleh pihak berkuasa Malta.
Penjelasan rasmi yang diberikan oleh pihak perubatan Malta menyatakan bahawa organ-organ tersebut telah dimakan oleh tikus atau telah cair secara semula jadi akibat proses pereputan. Pakar forensik di Jerman bagaimanapun tidak menemui sebarang kesan gigitan tikus atau bukti serangan haiwan lain. Ini sekaligus menimbulkan tanda tanya besar tentang apa yang sebenarnya berlaku terhadap tubuh Mike sebelum dan selepas kematiannya. Tambahan pula, barangan peribadi Mike seperti beg galas, telefon bimbit dan kamera GoPro miliknya tidak pernah ditemui. Kehilangan barangan tersebut memberi implikasi bahawa ada pihak yang mungkin terlibat dalam menyembunyikan bukti atau lebih buruk lagi dalam kejadian yang membawa kepada kematiannya.

Bapa Mike yang bernama Bernd Alexander Mansholt menolak sepenuhnya kemungkinan bahawa anaknya mati akibat kecelakaan biasa. Dia sebaliknya percaya bahawa Mike telah dibunuh dan terdapat usaha untuk menutupi kejadian sebenar. Bernd telah beberapa kali berulang-alik ke Malta untuk mencari jawapan dan menuntut siasatan baharu dibuka melalui European Investigation Order (EIO). Malangnya, permintaan tersebut telah ditolak dua kali oleh pihak berkuasa Malta yang enggan membuka semula kes tersebut. Kekecewaan Bernd terhadap ketidakpedulian pihak berkuasa Malta semakin mendalam apabila tiada sebarang penjelasan yang memuaskan diberi mengenai kehilangan organ anaknya mahupun sebab-sebab kematiannya yang sebenar.
Kes Mike Mansholt turut mendapat liputan media antarabangsa termasuk daripada akhbar Jerman Die Welt yang mempersoalkan sikap pasif pihak berkuasa Malta dalam menangani kes tersebut. Malah timbul kritikan terhadap bagaimana negara anggota Kesatuan Eropah seperti Malta boleh mengabaikan penyiasatan yang adil dan telus ke atas kematian seorang remaja asing di negara mereka.

Hingga pada hari ini, kes Mike Mansholt kekal sebagai satu misteri yang penuh dengan persoalan tidak berjawab. Adakah Mike benar-benar mati akibat kemalangan? Mengapa organ pentingnya hilang? Siapa yang mengambil barangan peribadinya? Mengapa tiada sebarang tindakan susulan diambil walaupun terdapat bukti-bukti yang mencurigakan? Semua persoalan ini masih menghantui keluarganya yang berjuang mencari keadilan buat anak mereka.
Catat Ulasan for "Kisah Mike Mansholt: Kematian Misteri Seorang Remaja Jerman di Malta"