Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KELLI PETERS : Mangsa fitnah Dahsyat oleh Peguam


     Kelli Peters merupakan seorang ibu tunggal dan sukarelawan tetap di Plaza Vista School iaitu sebuah sekolah awam di bandar Irvine, California. Irvine yang terkenal sebagai sebuah komuniti kelas pertengahan yang selamat, berpendidikan tinggi dan majoriti profesional. Di sekolah, Kelli tidak bergaji tetap tetapi dia membantu setiap hari dengan pengurusan pentadbiran ringan dan penjagaan murid selepas waktu tamat sekolah. Kelli sangat dihargai oleh warga sekolah kerana sikap terbuka, bertanggungjawab dan mesra dengan semua pihak termasuk pelajar serta ibu bapa.

     Hubungan Kelli dengan komuniti sekolah berjalan baik selama bertahun-tahun. Hinggalah pada tahun 2010, berlaku satu kejadian kecil yang melibatkan seorang murid dan ibunya, Jill Easter. Anak lelaki Jill tidak menunggu di tempat yang sepatutnya untuk dijemput selepas tamat waktu persekolahan dan Kelli terpaksa mengambil sedikit masa untuk mencarinya. Jill menganggap ini sebagai kecuaian serius. Walaupun Kelli telah memohon maaf dan menjelaskan keadaan sebenar, Jill tidak berpuas hati dan mula mempersoalkan kecekapan Kelli kepada pihak sekolah. Pihak pentadbiran sekolah bagaimanapun tidak mengambil tindakan lanjut kerana mereka yakin dengan penjelasan Kelli selain menyifatkan isu tersebut tidak besar.

     Jill dan suaminya yang bernama Kent Easter merupakan peguam. Selepas peristiwa itu, mereka mula mengambil langkah-langkah untuk menyusahkan Kelli secara berterusan. Mereka menghantar aduan bertulis kepada sekolah dengan dakwaan Kelli tidak kompeten, tidak selamat untuk murid dan mencadangkannya dibuang. Mereka juga cuba mendapatkan akses kepada rekod latar belakang Peters tetapi tidak menjumpai sebarang rekod buruk. Disebabkan tiada tindakan diambil oleh pihak sekolah, pasangan tersebut mula merancang sesuatu yang lebih agresif.

     Jill dan Kent memutuskan untuk memfitnah Kelli Peters dengan meletakkan dadah dalam keretanya dan membuat laporan polis palsu. Motif mereka bukan hanya untuk memalukan Kelli tetapi dipercayai bertujuan supaya dia ditangkap sekali gus diberhentikan daripada jawatan sukarelawan dan dimalukan secara umum di hadapan komuniti sekolah. 

     Pada 16 Februari 2011, seorang lelaki menelefon talian kecemasan 911 dan melaporkan bahawa seorang wanita bernama Kelli Peters menyimpan dadah dalam keretanya. Panggilan itu dibuat pada awal pagi sebelum sesi persekolahan bermula. Polis yang tiba di tempat kejadian menemui kereta Peters di tempat letak kereta Plaza Vista School dan menjalankan pemeriksaan. Di dalam kenderaannya, mereka menemui sejumlah kecil ganja dan beberapa pil preskripsi termasuk Vicodin serta Percocet yang diletakkan dalam plastik lutsinar tanpa label.

     Kelli ketika itu sedang menjalankan tugasnya di sekolah. Dia terkejut apabila diminta hadir ke luar dan dimaklumkan mengenai penemuan dadah di dalam kenderaannya. Kelli menafikan dengan tegas dan menyatakan bahawa dia tidak pernah menyimpan atau mengambil dadah. Menurut kenyataan pihak polis, Kelli kelihatan benar-benar tidak mengetahui tentang dadah tersebut. Pihak polis juga tidak menemui tanda-tanda tingkah laku mencurigakan atau pengaruh dadah pada dirinya.

     Berikutan bukti ketika itu tidak kukuh, Kelli tidak ditangkap serta-merta. Pihak polis sebaliknya membuka siasatan lebih lanjut. Mereka menyedari bahawa laporan kelihatan dibuat dengan niat jahat kerana tiada cap jari Peters pada dadah yang ditemui dan bungkusan itu diletakkan dengan cara yang menunjukkan ia mungkin diselitkan secara tergesa-gesa atau sengaja. 

     Pihak polis menjalankan penyiasatan menyeluruh ke atas laporan palsu tersebut. Mereka berjaya menjejak nombor telefon yang digunakan untuk membuat panggilan 911 itu. Ia didaftarkan dengan nama palsu tetapi selepas siasatan lanjut, mereka mendapati nombor itu milik Kent Easter. Analisis data telefon bimbit menunjukkan bahawa Kent berada berhampiran kawasan sekolah pada pagi hari kejadian walaupun dia sebelum itu mendakwa berada jauh dari tempat tersebut.

     Selain itu, semakan terhadap GPS telefon bimbit dan rakaman CCTV sekitar sekolah mengesahkan pergerakan Kent sepadan dengan masa dan lokasi semasa dadah dipercayai ditanam dalam kereta Kelli. Siasatan juga mendedahkan bahawa Kent telah menggunakan loghat palsu semasa membuat panggilan kepada 911 dipercayai sebagai cubaan untuk menyembunyikan identitinya.

     Apabila bukti semakin kukuh, pihak berkuasa menahan Kent dan Jill Easter. Mereka didakwa atas beberapa pertuduhan termasuk membuat laporan polis palsu, penyalahgunaan sistem undang-undang dan konspirasi untuk menyebabkan penahanan seseorang tanpa sebab yang sah. Jill Easter dituduh sebagai dalang utama perancangan manakala Kent menjadi pelaksana tindakan.

     Kes dibawa ke mahkamah dan mendapat liputan media tempatan. Kedua-dua tertuduh mempunyai peguam pembelaan yang cuba menafikan penglibatan secara langsung dalam tindakan tersebut. Namun dengan bukti telefon, rakaman lokasi dan sejarah komunikasi, mahkamah mendapati mereka bersalah. Kent Easter dijatuhi hukuman penjara 180 hari dan lima tahun percubaan (probation) manakala Jill Easter dihukum penjara selama 60 hari. Hukuman ini dianggap ringan oleh sesetengah pihak memandangkan tahap keseriusan tuduhan. Mahkamah mengambil kira bahawa ini adalah kesalahan pertama mereka dan anak-anak mereka masih kecil pada waktu itu.

     Selepas perbicaraan jenayah selesai, Kelli Peters memfailkan saman sivil terhadap Jill dan Kent Easter. Dia menuntut ganti rugi atas tekanan emosi, kerosakan reputasi, gangguan peribadi dan kesan terhadap kehidupannya selama tempoh fitnah itu berlaku. Dalam perbicaraan sivil, mahkamah memihak kepada Kelli dan memerintahkan pasangan tersebut membayar $5.7 juta (sekitar RM26 juta) dalam bentuk pampasan. Wang ini termasuk ganti rugi untuk penderitaan mental serta bayaran untuk peguam dan kos perundangan yang ditanggung.

     Bagi Kelli Peters, insiden ini meninggalkan kesan psikologi yang besar. Meskipun dia akhirnya dibuktikan tidak bersalah serta menerima pampasan, pengalaman dimalukan di tempat kerja, disiasat oleh polis dan berhadapan dengan kecaman sesetengah pihak telah menjejaskan kehidupannya. Kelli kemudian menulis buku memoir bersama seorang wartawan bernama Sam Rule berjudul I’ll Get You! yang menerangkan keseluruhan peristiwa dari sudut peribadi.

Catat Ulasan for "KISAH KELLI PETERS : Mangsa fitnah Dahsyat oleh Peguam"