SANDIWARA SEORANG SUAMI : Bunuh Isteri demi Kahwin Lain

Pada awal bulan Jun 2025, satu kes pembunuhan telah berlaku di Walantaka, Kota Serang, Banten. Kes yang pada awalnya disangka rompakan dan pembunuhan oleh penjenayah luar rupa-rupanya adalah satu konspirasi kejam yang dirancang oleh suami mangsa sendiri. Wadison Pasaribu, seorang lelaki berusia 32 tahun, ditahan pihak berkuasa selepas disyaki membunuh isterinya sendiri, Petry Sihombing, 33 tahun dalam kejadian yang penuh tipu daya dan manipulasi.
Segalanya bermula pada malam 31 Mei 2025. Wadison yang tinggal bersama isterinya dan anak-anak mereka di sebuah rumah sederhana dilaporkan telah mencekik isterinya hingga mati. Lebih menyayat hati, tindakan itu dilakukan dengan menggunakan kelambu sebagai alat untuk mencekik sebelum dia menjerut leher wanita malang itu dengan tali dan menggantungnya pada terali jendela. Walau bagaimanapun, perkara tidak berakhir di situ. Wadison kemudian cuba mencipta satu naratif palsu kononnya rumah mereka telah dirompak.

Dalam usaha untuk mengelakkan dirinya daripada disyaki, Wadison menyusun satu sandiwara licik. Dia mengikat tangan dan kaki mayat isterinya dengan pengikat kabel seolah-olah wanita itu menjadi mangsa pembunuhan dalam satu kejadian rompakan. Dia seterusnya merosakkan pintu belakang rumah mereka bagi menunjukkan tanda-tanda pencerobohan paksa. Tidak cukup dengan itu, Wadison bertindak melukai dirinya sendiri menggunakan ulekan (alat menumbuk bahan makanan) sebelum memasukkan dirinya ke dalam sebuah karung seolah-olah dia juga adalah mangsa yang diikat dan tidak berdaya.
Keesokan harinya, jiran mereka terdengar tangisan anak kecil pasangan tersebut dan terus datang ke rumah untuk memeriksa. Mereka terkejut apabila menemui mayat Petry manakala Wadison pula berada dalam sebuah karung dengan luka di badannya seolah-olah telah menjadi mangsa bersama isterinya. Wadison kemudian berlakon menangisi kematian isterinya dan turut serta dalam urusan pengebumian memberikan gambaran kononnya dia amat sedih atas kehilangan isteri tercinta.

Pihak polis yang menjalankan siasatan bagaimanapun mula berasa sesuatu yang tidak kena. Keterangan yang diberikan oleh Wadison kelihatan tidak konsisten dan terdapat banyak percanggahan fakta. Hasil siasatan forensik dan bukti di lokasi kejadian juga mula mendedahkan kebenaran. Tekanan demi tekanan dikenakan ke atas Wadison dan akhirnya dia tidak mampu lagi berbohong. Dalam satu sesi soal siasat, Wadison akhirnya mengaku bahawa dialah dalang di sebalik kematian tragis isterinya.
Motif di sebalik perbuatan kejam ini lebih mengejutkan orang ramai. Wadison mengaku bahawa dia ingin mengahwini wanita lain yang dikenali sebagai R yang tinggal di Bayah, Lebak. Dalam keterangannya, Wadison menyatakan bahawa dia takut akan kehilangan hak penjagaan anak sekiranya bercerai secara sah dengan Petry. Disebabkan itu, dia merancang pembunuhan ini dapat memiliki anak-anak sepenuhnya serta membuka laluan untuk berkahwin dengan wanita pilihannya yang baru.

Dalam pengakuannya juga, Wadison turut mendedahkan punca pertengkaran kecil yang membawa kepada kejadian pembunuhan itu. Pada malam kejadian, Petry dikatakan marah kerana permintaannya untuk memesan makanan melalui aplikasi ditolak oleh suaminya. Dalam kemarahannya, Petry menghina Wadison dengan memanggilnya mokondo yakni satu istilah yang membawa maksud lelaki yang hidup menumpang harta isteri. Kata-kata itu ternyata mencalar ego Wadison dan menyemarakkan niatnya untuk menghapuskan Petry.
Polis kini menahan Wadison atas tuduhan membunuh dengan niat, iaitu di bawah Pasal 340 Kanun Keseksaan Indonesia berkaitan pembunuhan berencana yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati. Dia juga didakwa di bawah Pasal 338 KUHP kerana melakukan pembunuhan secara sengaja. Pihak pendakwa sedang melengkapkan siasatan dengan mengumpul bukti tambahan termasuk keterangan jiran, keluarga dan laporan forensik.
Catat Ulasan for "SANDIWARA SEORANG SUAMI : Bunuh Isteri demi Kahwin Lain"