Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KES PEMBUNUHAN KEJAM SANA YOUSAF


     Pada 2 Jun 2025, Pakistan sekali lagi digegarkan dengan satu lagi kes pembunuhan kejam terhadap seorang wanita muda dengan kali ini melibatkan seorang remaja yang cukup dikenali dalam dunia media sosial iaitu Sana Yousaf. Dalam usia yang baru menginjak 17 tahun, Sana telah berjaya menempatkan dirinya sebagai antara personaliti digital paling berpengaruh dalam kalangan remaja Pakistan dengan lebih 1.2 juta pengikut di TikTok dan Instagram. Kandungan videonya sering memaparkan isu pendidikan, hak wanita, budaya tempatan serta mesej positif untuk wanita muda. 

     Di sebalik kemasyhuran dan pengaruh itu, Sana rupa-rupanya menjadi sasaran seorang lelaki yang menyimpan perasaan terhadapnya secara obsesif yakni seorang lelaki yang akhirnya menjadi pembunuhnya sendiri. Pada malam ulang tahun kelahirannya yang ke-17, 2 Jun 2025, Sana berada di rumah keluarganya di kawasan perumahan Sektor G-13/1, Islamabad. Tanpa sebarang amaran, seorang lelaki bernama Umar Hayat yang berusia 22 tahun telah menceroboh masuk ke rumah tersebut selepas dilaporkan berkeliaran di luar rumah selama beberapa jam. Dia menunggu sehingga mendapat peluang untuk masuk lalu melepaskan dua das tembakan ke arah dada Sana pada jarak dekat menggunakan sepucuk pistol.

     Tembakan itu membunuh Sana serta-merta di tempat kejadian. Umar kemudian melarikan diri dari tempat kejadian selain sempat membawa telefon bimbit milik Sana dipercayai bagi menghapuskan bukti komunikasi dan mungkin juga untuk mengelak identiti dirinya dikaitkan terus dengan mangsa. Menurut laporan, Umar merupakan seorang pemuda yang menyimpan perasaan terhadap Sana secara berlebihan dan telah beberapa kali menyatakan hasrat untuk menjalin hubungan cinta dengannya. Walau bagaimanapun, Sana secara konsisten menolak pendekatan Umar baik secara peribadi mahupun melalui mesej dengan alasan ingin fokus pada pelajaran dan kerjayanya. Difahamkan Sana mahu mengembangkan pengaruhnya dalam bidang pendidikan dan kandungan digital terlebih dahulu.

     Penolakan demi penolakan itu dipercayai menjadi pencetus dendam dalam diri Umar yang bersifat tidak stabil secara emosi. Ramai saksi mendakwa Umar sudah mula menunjukkan tingkah laku mencurigakan beberapa minggu sebelum kejadian termasuk mengintai rumah mangsa, menghantar mesej mengugut dan bercakap tentang bunuh diri sekiranya ditolak.

     Selepas kejadian, pihak polis Islamabad segera melancarkan siasatan menyeluruh. Berdasarkan maklumat saksi, rakaman CCTV kawasan kejiranan serta analisis lokasi telefon bimbit, mereka berjaya mengesan keberadaan Umar di bandar Faisalabad yang kira-kira 4 jam perjalanan dari ibu kota. Hasil kerjasama antara pihak polis tempatan dan unit khas, Umar berjaya diberkas dalam masa kurang 24 jam selepas pembunuhan tersebut. Ketika ditangkap, Umar masih berada dalam keadaan tertekan. Pistol yang digunakan dalam pembunuhan, pakaian yang dipakai ketika kejadian serta telefon bimbit milik Sana ditemui bersamanya. Hasil siasatan awal, Umar mengaku melakukan pembunuhan itu kerana kecewa terhadap Sana yang berulang kali menolak cintanya. 

     Pada masa kurang 12 jam selepas berita pembunuhan tersebar, tanda pagar #JusticeForSanaYousaf menjadi sohor kini di media sosial Pakistan. Ribuan pengguna berkongsi klip video terakhir Sana, ucapan simpati s,erta menyeru agar sistem keadilan bertindak pantas dan tegas. Organisasi hak wanita seperti Aurat March turut turun ke jalan raya dengan membawa sepanduk menuntut reformasi terhadap keselamatan wanita, khususnya mereka yang menjadi tumpuan di media sosial. Beberapa selebriti Pakistan turut menyatakan simpati serta kemarahan terhadap insiden ini termasuk pelakon Mahira Khan dan aktivis Malala Yousafzai.

     Sana Yousaf telah dikebumikan pada 3 Jun 2025 di kampung halamannya di Chuinj, Upper Chitral. Ribuan orang hadir memberikan penghormatan terakhir termasuk beberapa pemimpin masyarakat tempatan. Bapanya, Yousaf Hasan yang juga merupakan aktivis sosial menyampaikan ucapan penuh emosi semasa pengebumian, menyatakan:

     “Anak saya hanya mahu bersuara untuk yang tertindas. Dia tidak bersalah, tidak pernah membenci sesiapa. Tapi suaranya dibungkam dengan peluru. Semoga ini menjadi suara yang membangkitkan seluruh negara.”

     Tentang status perbicaraan Umar Hayat, pihak polis telah mengesahkan bahawa lelaki terbabit akan didakwa atas tuduhan pembunuhan kejam (pre-mediated murder) yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup di bawah Kanun Keseksaan Pakistan.

Catat Ulasan for "KES PEMBUNUHAN KEJAM SANA YOUSAF"