KISAH PERKAHWINAN PALING PELIK DI INDIA

Dalam sejarah perkahwinan moden, jarang sekali berlaku peristiwa yang menggabungkan kegembiraan dan kesedihan secara serentak apatah lagi dalam keadaan yang begitu luar biasa seperti kes yang pernah berlaku di daerah Etawah, Uttar Pradesh, India. Sebuah majlis perkahwinan yang sepatutnya menjadi hari bahagia bagi dua buah keluarga bertukar menjadi saat paling memilukan dan aneh yang sukar dipercayai oleh akal waras.
Perkahwinan itu melibatkan pasangan Surabhi dan Manjesh Kumar. Keluarga kedua-dua pihak telah merancang majlis tersebut dengan teliti dan segala persiapan telah dibuat rapi. Tetamu memenuhi ruang dewan, muzik dimainkan dengan meriah dan pengantin perempuan tampil anggun dengan pakaian tradisional berwarna terang. Walau bagaimanapun, tiada siapa menyangka bahawa dalam sekelip mata suasana itu akan bertukar menjadi detik paling tragis dalam sejarah hidup mereka.
Ketika upacara jaimala berlangsung iaitu satu adat penting dalam perkahwinan Hindu di mana pasangan pengantin saling menyarungkan kalungan bunga ke leher masing-masing, Surabhi secara tiba-tiba rebah di atas pelamin. Semua yang hadir tergamam. Pada mulanya, ramai menyangka Surabhi pengsan akibat tekanan emosi atau cuaca yang panas. Namun apabila pasukan perubatan tiba dan melakukan pemeriksaan ringkas, mereka mengesahkan sesuatu yang mengejutkan. Surabhi telah meninggal dunia akibat serangan jantung.

Tangisan dan jeritan mula bergema. Ahli keluarga pengantin perempuan terutamanya ibu bapa Surabhi, dilaporkan rebah dan tidak dapat menahan kesedihan. Malam yang sepatutnya menjadi malam penuh restu bertukar menjadi malam kematian. Dalam kekalutan itu, keluarga kedua-dua pihak duduk berbincang. Tidak lama kemudian, mereka mengambil satu keputusan yang luar biasa dan sukar dipercayai di mana adik kepada Surabhi, iaitu Nisha akan menggantikan tempat kakaknya sebagai pengantin perempuanndan perkahwinan akan diteruskan seperti dirancang yakni pada hari dan dengan pengantin lelaki yang sama. Keputusan ini dibuat bagi menjaga maruah dan kehormatan keluarga serta untuk tidak menghampakan keluarga pengantin lelaki yang sudah hadir dengan segala persediaan.
Sementara mayat Surabhi disimpan di sebuah bilik dalam rumah tersebut, upacara perkahwinan diteruskan di pelamin utama. Nisha yang masih dalam keadaan terkejut dilaporkan menurut sahaja keputusan orang tuanya demi tidak menimbulkan konflik. Dia memakai pakaian pengantin milik kakaknya serta dengan wajah yang menyimpan seribu rasa, dia naik ke pelamin dan meneruskan perkahwinan bersama Manjesh Kumar.
Media tempatan seperti The Times of India dan NDTV melaporkan insiden ini dengan penuh kekeliruan dan keanehan. Wartawan yang menemuramah ahli keluarga diberitahu bahawa keputusan itu dibuat demi mengelakkan aib dan memastikan nama baik keluarga kekal terpelihara. Salah seorang ahli keluarga menyebut, “Kami tidak tahu apa lagi yang boleh kami lakukan. Kami tidak mahu menghantar keluarga lelaki pulang dengan tangan kosong. Jika perkahwinan dibatalkan, kesannya lebih buruk.”
Catat Ulasan for "KISAH PERKAHWINAN PALING PELIK DI INDIA"