KISAH KEMATIAN ALEX SPOURDALAKIS YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN

Alex Spourdalakis merupakan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang tinggal di pinggir bandar Chicago, Amerika Syarikat. Sejak kecil, dia telah didiagnosis dengan autisme tahap teruk dan epilepsi hingga menjadikan kehidupannya amat sukar dan memerlukan penjagaan penuh sepanjang masa. Alex tidak mampu bertutur secara jelas, kerap mengalami serangan sawan dan sering menunjukkan tingkah laku agresif.
Ibunya iaitu Dorothy Spourdalakis merupakan satu-satunya penjaga utama dalam hidup Alex. Sebagai seorang ibu tunggal, Dorothy berkorban segala-galanya demi anaknya. Dia tidak bekerja, tiada kehidupan sosial dan hidup sepenuhnya untuk menjaga anak yang sangat memerlukan perhatian. Mereka tinggal bersama Jolanta Agata Skrodzka yakni penjaga bersama Alex yang turut membantu dalam urusan seharian. Hari-hari mereka penuh dengan cabaran dari serangan sawan secara tiba-tiba hingga amukan Alex apabila tidak selesa atau keliru. Apa yang lebih menyeksakan ialah, setiap kali Dorothy cuba mendapatkan bantuan sama ada dari hospital mahupun institusi kebajikan atau pihak kerajaan, tiada satu pun yang benar-benar dapat membantu.

Keadaan memuncak apabila Alex dimasukkan ke hospital kerana serangan sawan yang semakin teruk. Di hospital, keadaannya semakin menyedihkan. Dia diikat pada katil selama beberapa hari untuk mengawalnya tanpa rawatan yang sesuai untuk seorang remaja autistik. Dorothy berkali-kali merayu agar Alex diberi rawatan yang sesuai dengan keperluannya tetapi keluhannya tidak diendahkan. Pihak perubatan tidak menyediakan terapi khasbdan hanya menganggap Alex sebagai pesakit bermasalah yang sukar dikawal. Dorothy yang keletihan secara fizikal dan mental mula menunjukkan tanda-tanda kemurungan. Dia berulang kali mengatakan kepada kenalannya bahawa drinya tidak nampak jalan keluar dan tidak sanggup melihat anaknya menderita sedemikian.
Pada 9 Jun 2013, tekanan emosi dan mental Dorothy akhirnya meletus dalam bentuk tindakan paling kejam yang boleh dilakukan oleh seorang ibu. Dalam keadaan tenang tetapi berbahaya, Dorothy dan Jolanta merancang untuk membunuh Alex dengan niat untuk membebaskannya daripada penderitaan. Alex yang sedang tidur ketika itu ditikam berulang kali di bahagian dada oleh ibunya menggunakan pisau dapur. Selepas itu, dia diberikan dos ubat penenang dalam jumlah besar, seolah-olah bagi memastikan dia mati dalam keadaan tidak sakit. Dorothy dan Jolanta kemudian menelan ubat penenang dalam jumlah besar untuk membunuh diri kerana mereka tidak mahu hidup selepas kematian Alex.

Beberapa hari sebelum kejadian, Dorothy telah menunjukkan tanda-tanda jelas bahawa dia mungkin akan bertindak luar jangka. Seorang rakan keluarga yang menyedari sesuatu yang tidak kena cuba menghubungi mereka tetapi gagal. Bimbang dengan keadaan itu, individu tersebut menghubungi polis untuk membuat pemeriksaan kebajikan (welfare check). Polis yang tiba di rumah mendapati mayat Alex terbujur kaku di atas katil dalam keadaan berdarah. Di sebelahnya, Dorothy dan Jolanta masih hidup tetapi dalam keadaan separuh sedar dipercayai akibat pengambilan ubat secara berlebihan. Mereka dikejarkan ke hospital dan berjaya diselamatkan.
Ramai yang marah dan menyifatkan tindakan Dorothy sebagai kejam serta tidak berperikemanusiaan. Namun terdapat juga pihak yang menunjukkan simpati yang bermaksud bukan membela tindakannya tetapi memahami bahawa sistem yang seharusnya membantu telah gagal secara total. Jelas betapa kurangnya sokongan terhadap penjaga kepada individu kurang upaya teruk seperti Alex.

Dorothy akhirnya didakwa atas tuduhan pembunuhan tahap pertama (first-degree murder) atas kematian Alex. Namun pada Disember 2016, selepas lebih tiga tahun ditahan sementara menunggu perbicaraan, Dorothy dan Jolanta mengaku bersalah atas tuduhan yang diringankan iaitu pembunuhan tidak sengaja (involuntary manslaughter) sebagai sebahagian daripada perjanjian pengakuan bersalah (plea deal). Kedua-duanya dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun tetapi kerana telah ditahan sejak tahun 2013, masa tahanan itu dikira sebagai sebahagian daripada hukuman dan mereka dibebaskan pada bulan Disember 2016 bersamaan beberapa minggu selepas keputusan dibuat.
Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN ALEX SPOURDALAKIS YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN"