Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Ibu Ini Potong Kedua Tangan Bayinya Kerana Suara Tuhan : Kisah Dena Schlosser

     Pada pagi 22 November 2004, penduduk Plano, Texas, Amerika Syarikat digemparkan dengan satu kejadian yang amat mengerikan. Seorang ibu iaitu Dena Schlosser telah memanggil talian kecemasan 911 dan dengan tenang memberitahu bahawa dia baru sahaja memotong kedua-dua lengan bayinya yang berusia sebelas bulan. Pihak polis yang tiba di tempat kejadian mendapati Dena sedang duduk di ruang tamu rumahnya dalam keadaan berlumuran darah sambil menyanyi lagu berunsur kerohanian. Bayi perempuan itu yang diberi nama Margaret ditemui dalam keadaan parah dan tidak lama kemudian disahkan meninggal dunia akibat kehilangan darah yang sangat banyak.

     Dena Schlosser bukanlah seorang wanita yang mempunyai sejarah jenayah atau keganasan. Dia merupakan seorang suri rumah yang berpendidikan tinggi dan pernah bekerja sebelum berhenti untuk menjaga tiga anaknya. Namun di sebalik imej luaran yang kelihatan tenang, Dena menghidap masalah kesihatan mental yang serius. Sejak kecil lagi, dia pernah mengalami hydrocephalus yakni sejenis penyakit yang menyebabkan pengumpulan cecair di otak dan telah menjalani beberapa pembedahan. Cuma krisis sebenar dalam hidupnya bermula selepas kelahiran anak bongsunya, Margaret apabila dia mengalami gejala kemurungan postpartum (meroyan) yang teruk dan kemudiannya didiagnosis menghidap gangguan bipolar dengan ciri psikosis postpartum.

     Selepas melahirkan Margaret, Dena melakukan percubaan membunuh diri dan dimasukkan ke hospital psikiatri beberapa kali. Agensi Perlindungan Kanak-Kanak Texas (CPS) turut terlibat dan pernah menegahnya daripada menjaga anak-anaknya secara bersendirian. Setelah beberapa ketika, larangan itu ditarik balik atas alasan pemulihan dan sokongan suaminya, John Schlosser. Walau bagaimanapun, krisis dalaman Dena tidak pernah selesai. Dia mengalami halusinasi agama yang kuat, sering menyatakan bahawa dia mendengar suara Tuhan dan mempercayai bahawa Tuhan mempunyai rancangan untuk anak-anaknya. Beberapa hari sebelum kejadian, Dena memberitahu suaminya bahawa Margaret adalah korban yang perlu dikembalikan kepada Tuhan.

     Apa yang memburukkan keadaan adalah pengaruh keagamaan yang ekstrem dari gereja yang dihadiri pasangan Schlosser. Mereka merupakan pengikut Pastor Doyle Davidson, seorang tokoh gereja fundamentalist yang secara terbuka menolak kewujudan penyakit mental dan menganggapnya sebagai gangguan syaitan. Pastor ini percaya bahawa pengambilan ubat psikiatri bertentangan dengan kehendak Tuhan dan menegaskan bahawa kepercayaan yang kuat sahaja sudah memadai untuk menyembuhkan segala penyakit. Disebabkan doktrin gereja ini, John tidak membeli ubat antipsikotik yang sepatutnya diambil oleh Dena walaupun menyedari isterinya dalam keadaan tidak stabil. Pada masa yang sama, Dena pula makin hanyut dalam kepercayaannya bahawa Margaret harus diserahkan kepada Tuhan.

     Pada hari kejadian, Dena yang dalam keadaan psikosis akut membawa bayinya ke dapur dan menggunakan pisau daging untuk memotong kedua-dua lengan kecil Margaret. Dalam keadaan darah memancut serta bayi itu menangis kesakitan, Dena duduk di situ sambil menyanyi lagu rohani dan bersyukur kepada Tuhan. Apabila suaminya pulang, dia mendapati rumahnya dalam keadaan sunyi dan mengerikan di mana anaknya sudah tidak bernyawa serta isterinya kelihatan seperti dirasuk.

     Pada tahun 2006, mahkamah mendapati bahawa Dena tidak bersalah atas tuduhan pembunuhan kerana dia disahkan mengalami kegilaan ketika kejadian berlaku. Dena dihantar ke Hospital Negeri Texas untuk rawatan mental. Menariknya di hospital itu, Dena menjadi rakan sebilik kepada seorang lagi ibu yang membunuh anak-anaknya dalam keadaan psikosis. Wanita yang dimaksudkan ialah Andrea Yates yang kesnya turut mengejutkan Amerika pada awal 2000-an. (Baca kisah Andrea Yates di sini : https://www.jacklester33.com/2020/08/kisahandreayates.html?m=1

     Dena dibenarkan keluar dari hospital sebagai pesakit luar pada tahun 2008 dengan syarat yang ketat seperti mengambil ubat secara berkala, hadir ke sesi psikiatri dan tidak dibenarkan tinggal bersama atau berinteraksi secara langsung dengan kanak-kanak. Pada tahun 2010, dia dilaporkan mengalami gangguan semula apabila dilihat berjalan sendirian pada waktu malam dalam keadaan mencurigakan. Dena kemudiannya dikembalikan ke hospital. Dua tahun sesudah itu, Dena ditemui bekerja di Walmart di Terrell menggunakan nama asalnya, Dena Leitner.

Catat Ulasan for "Ibu Ini Potong Kedua Tangan Bayinya Kerana Suara Tuhan : Kisah Dena Schlosser"