KISAH BENJAMAN KYLE, LELAKI TANPA IDENTITI SELAMA 11 TAHUN

Pada pagi 31 Ogos 2004, satu insiden aneh berlaku di belakang sebuah restoran Burger King di Richmond Hill, Georgia, Amerika Syarikat. Seorang lelaki ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri tanpa seurat benang di badan. Kulitnya terbakar akibat terdedah dengan cahaya matahari dan tubuhnya penuh dengan kesan gigitan semut api. Dia tidak membawa sebarang dokumen pengenalan, tidak ada telefon bimbit dan tiada sesiapa yang tahu tentang siapa dirinya. Lelaki itu segera dihantar ke hospital untuk rawatan kecemasan. Namun setelah sedar, mengejutkan lelaki ini langsung tidak tahu siapa dirinya.
Disebabkan tiada sebarang petunjuk tentang identitinya, pihak hospital menamakannya sebagai Burger King Doe atau ringkasnya B.K. Doe sempena lokasi tempat dia ditemui. Selepas beberapa ketika, lelaki itu menyatakan bahawa satu-satunya nama yang melintas dalam fikirannya ialah Benjaman dengan ejaan yang tidak biasa lalu dia memilih Kyle sebagai nama keluargabberdasarkan singkatan B.K. yang terdapat pada tag perubatan hospital. Maka sejak itu, dia dikenali sebagai Benjaman Kyle.

Benjaman disahkan mengalami amnesia retrograd iaitu sejenis gangguan ingatan yang menyebabkan seseorang hilang memori lampaum Gangguan ini selalunya berpunca daripada trauma fizikal atau tekanan emosi yang berat. Dalam kes Benjaman, para doktor dan pakar neurologi tidak dapat memastikan punca sebenar trauma itu sama ada akibat kecederaan kepala, serangan fizikal atau gangguan psikologi mendalam. Walaupun Benjaman dapat bercakap dan berfungsi secara normal, dia langsung tidak dapat mengingati siapa dirinya, dari mana dia datang atau apa yang berlaku sebelum tarikh dia ditemui.
Ketiadaan dokumen rasmi menyebabkan Benjaman tidak boleh bekerja secara rasmi, tidak boleh membuka akaun bank, tidak boleh mendapatkan lesen memandu dan tidak layak menerima sebarang bantuan sosial. Tanpa nombor keselamatan sosial, dia dianggap tidak wujud dalam sistem kerajaan. Demi sesuap nasi, Benjaman terpaksa bekerja keras secara tidak rasmi dalam pelbagai pekerjaan sambilan dan fizikal.

Sepanjang 11 tahun itu, Benjaman pernah bekerja sebagai pencuci pinggan di restoran, pembantu dapur dan juga melakukan kerja-kerja luar seperti memotong rumput, membersih kawasan serta menjaga stor. Kadang kala dia membantu di tempat perlindungan gelandangan dan menerima tempat tinggal sebagai balasan atas kerja yang dilakukan. Cuma semuanya dilakukan secara tidak rasmi di mana Benjama tidak menerima gaji tetap dan hidup dalam keadaan serba kekurangan. Walau bagaimanapun, Benjaman tetap menunjukkan ketabahan luar biasa. Dia tidak pernah mengemis, tidak menyalahkan sesiapa selain bersyukur dengan setiap bantuan kecil yang diterimanya daripada masyarakat sekeliling.
Kes misteri ini ternyata mendapat perhatian ramai pihak. Benjaman pernah muncul dalam rancangan televisyen seperti Dr. Phil, Larry King Live dan dokumentari khas CNN. Ramai pihak tampil untuk membantu seperti sukarelawan, organisasi kebajikan, pakar psikologi sehingga ke pakar penyiasatan. Namun semua usaha konvensional untuk mengenal pasti identitinya seperti pengecaman wajah, cap jari dan rekod perubatan bagaimanapun gagal. Tiada satu pun maklumat sepadan dengannya.

Bb Segalanya berubah pada tahun 2015 apabila seorang pakar genealogis terkenal bernama CeCe Moore bersama penyelidik lain iaitu Colleen Fitzpatrick telah menggunakan pendekatan baharu yakni penyelidikan salasilah melalui DNA (genetic genealogy). Mereka menganalisis DNA Benjaman dan membandingkannya dengan pangkalan data awam untuk mencari padanan genetik. Usaha ini akhirnya membuahkan hasil. Mereka berjaya menjejaki individu yang mempunyai hubungan DNA dengan Benjamanbdan seterusnya mengenal pasti identitinya sebagai William Burgess Powell yang dilahirkan pada 29 Ogos 1948 di Lafayette, Indiana.
Menurut rekod dan maklumat keluarga, William telah meninggalkan keluarganya sekitar tahun 1976 dan tidak pernah dihubungi sejak itu. Keluarganya menyangka dia telah meninggal dunia dan tidak pernah membuat laporan orang hilang. Rentetan daripada perkara itu, apabila usaha pencarian dilakukan selepas dia ditemui, tiada nama William Powell dalam sistem orang hilang sekali gus menjadikan penemuannya semakin sukar.

Selepas identitinya disahkan, William akhirnya dapat memohon semula dokumen penting seperti kad pengenalan, nombor keselamatan sosial dan dokumen rasmi lain. Ini membolehkannya mendapatkan pekerjaan yang sah, akses kepada bantuan sosial dan rawatan kesihatan yang selama ini tidak dapat dinikmati. Dia berpindah ke Jacksonville, Florida untuk memulakan kehidupan baharu dengan sokongan komuniti dan organisasi kebajikan seperti IDignity yang banyak membantunya semasa tempoh tanpa identiti.
Dalam satu kenyataan penuh emosi, William menyatakan, “Sekarang saya ada sejarah. Saya bukan lagi hantu kepada undang-undang.” Dia juga menyatakan penghargaan kepada semua individu dan organisasi yang membantunya melalui tempoh paling gelap dalam hidupnya. Walaupun hubungan dengan keluarganya mengambil masa untuk dipulihkan, penemuan identiti ini memberinya penutupan yang selama ini tidak pernah dia miliki.
Catat Ulasan for "KISAH BENJAMAN KYLE, LELAKI TANPA IDENTITI SELAMA 11 TAHUN "