Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEMATIAN ANEH GUAVA SHUISHUI

     Guava Shuishui merupakan seorang pempengaruh muda dari Taiwan yang mencipta nama dengan cara cukup luar biasa. Pada usia 24 tahun, dia telah membina satu jenama peribadi yang dikenali di media sosial menerusi kandungan yang tidak konvensional iaitu mencuba produk solekan dan barangan kosmetik dengan cara yang pelik. Dia bukan hanya mengulas atau mencuba di wajah tetapi juga merasai atau meletakkan di lidahnya. Aksi unik inilah yang menarik ribuan pengikut untuk menonton videonya terutama dalam platform seperti Instagram dan TikTok.

     Aksi-aksi Guava yang meletakkan gincu di lidah, mengunyah topeng dan menyentuh bahan kimia kosmetik dengan cara yang tidak konvensional sering mencetuskan reaksi bercampur-baur. Ramai memujinya atas keberanian dan kreativiti manakala sebilangan besar netizen termasuk doktor serta pakar dermatologi mengkritik aksinya sebagai membahayakan kesihatan dan memberi contoh buruk kepada remaja.

     Dalam pelbagai wawancara ringkas, Guava mendakwa bahawa dia tidak pernah menelan bahan tersebut tetapi hanya merasainya secara luaran untuk tujuan hiburan. Guava juga menegaskan bahawa semua video dilakukannya secara sedar dan bukan atas dorongan mana-mana pihak walaupun ada spekulasi bahawa tekanan sosial media mungkin mendorongnya untuk terus mencipta kandungan lebih ekstrem.

     Segalanya berubah pada pertengahan Mei 2025 apabila Guava dilaporkan mengalami gejala misteri dan dimasukkan ke hospital. Menurut laporan media Taiwan dan kenyataan sahabat rapatnya, Guava mengalami sakit kepala teruk, muntah berulang kali serta keletihan luar biasa. Namun rawatan awal di hospital tidak menunjukkan simptom jangkitan atau keracunan yang jelas.

     Hanya seminggu selepas itu yakni pada 24 Mei 2025, Taiwan digemparkan dengan berita pemergian Guava Shuishui. Kematian Guava diumumkan oleh pengurus akaun media sosialnya dengan satu kenyataan pendek, "Guava telah pergi dengan tenang pagi ini. Kami mohon semua hormati privasi keluarganya." Tiada butiran lanjut diberikan.

     Ketiadaan penjelasan perubatan yang lengkap menyebabkan pelbagai teori dan spekulasi liar tersebar. Ada yang percaya kematian berpunca daripada bahan kimia dalam produk kosmetik yang mungkin terserap secara tidak sengaja manakala yang lain mengaitkannya dengan tekanan mental yang tidak kelihatan.

     Beberapa hari selepas pemergiannya, pihak hospital mengesahkan bahawa tiada bukti kukuh menunjukkan bahan kosmetik menjadi punca langsung kematian sekali gus menafikan dakwaan popular di media sosial. Walau bagaimanapun, autopsi penuh belum diumumkan secara rasmi kepada awam dan keluarga Guava memilih untuk tidak mengulas lanjut.

     Di media sosial, peminatnya menghidupkan semula video-videonya menyatakan kekaguman terhadap keberaniannya yang luar biasa dalam menghasilkan kandungan berisiko tingg Pada masa yang sama, suara-suara yang mengkritik budaya kandungan kejutan dan tekanan menjadi viral semakin kuat. Beberapa pakar psikologi media sosial menyatakan bahawa kes Guava Shuishui bukan yang pertama dalam senarai kematian mengejut dalam kalangan pempengaruh. Mereka menegaskan bahawa keperluan mencipta kandungan luar biasa untuk kekal relevan dan mendapat algoritma yang menyebelahi mereka boleh membawa kesan buruk terhadap kesihatan mental dan fizikal. “Ramai pempengaruh muda terlalu fokus mencipta kandungan yang boleh menjadi trending sehingga mengabaikan sempadan keselamatan,” kata seorang pakar dari Universiti Taipei.

Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN ANEH GUAVA SHUISHUI"