Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Lelaki yang Jadi Lumpuh Akibat Kecuaian Jurulatih


     Jack Greener merupakan seorang pemuda yang penuh semangat dan bercita-cita tinggi dalam dunia seni mempertahankan diri. Dia menumpukan fokus kepada seni jiu-jitsu Brazil dan menjadi antara pelatih yang menonjol di sebuah kelab seni mempertahankan diri terkenal di San Diego, California iaitu Del Mar Jiu-Jitsu Club. Walau bagaimanapun, satu insiden pada tahun 2018 telah mengubah seluruh hidupnya secara drastik. Semasa dalam satu sesi latihan harian, Greener telah bergandingan dengan seorang jurulatih berpengalaman dan pemegang tali pinggang hitam dua darjah yang bernama Francisco Sinistro Iturralde. 

     Dalam sesi itu, Iturralde dilaporkan telah menjatuhkan keseluruhan berat badannya ke atas leher Greener hingga menyebabkan tulang belakang serviks Greener patah serta mencetuskan kerosakan parah pada saraf tunjangnya. Kesan kecederaan itu sangat serius sehingga menyebabkan Greener mengalami kelumpuhan sepenuhnya (quadriplegia) di mana dia hilang keupayaan menggerakkan keempat-empat anggota badannya. Lebih malang yakni sejurus selepas kejadian itu, Greener mengalami strok dan terpaksa menjalani pelbagai pembedahan serta rawatan intensif di hospital bagi menyelamatkan nyawanya. Impian Greener untuk menjadi atlet profesional jiu-jitsu hancur serta-merta. Hidupnya selepas itu hanya bergantung kepada kerusi roda dan rawatan pemulihan yang berterusan.

     Greener dan keluarganya mengambil langkah undang-undang terhadap Del Mar Jiu-Jitsu Club serta jurulatih Iturralde atas alasan kecuaian dan kegagalan menjaga keselamatan peserta latihan. Pada tahun 2023, perbicaraan di Mahkamah Tinggi San Diego akhirnya membawa keadilan kepada Greener. Juri memutuskan bahawa pihak kelab dan jurulatih telah melanggar piawaian keselamatan yang sepatutnya diamalkan dalam sesi latihan. Tindakan Iturralde dianggap melampaui batasan risiko biasa dalam sukan jiu-jitsu dan sebagai seorang jurulatih profesional, dia sepatutnya mengambil langkah berjaga-jaga yang tinggi semasa melatih pelajar. Hasil perbicaraan itu menyaksikan Greener dianugerahkan pampasan sebanyak USD 46 juta (sekitar RM216 juta) untuk menampung kerugian, penderitaan serta kos perubatan dan pemulihan sepanjang hayat.

     Keputusan bagaimanapun itu tidak berakhir di situ. Pihak defendan mengemukakan rayuan tetapi Mahkamah Agung California menolak rayuan tersebut dan mengekalkan keputusan juri. Mahkamah turut menambah faedah lewat pembayaran sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pampasan mencecah lebih USD 56 juta (sekitar RM263 juta). Peguam Greener, Rahul Ravipudi menyatakan bahawa keputusan mahkamah ini menjadi isyarat penting kepada semua institusi sukan dan pengajar bahawa keselamatan peserta adalah tanggungjawab yang tidak boleh dikompromi. 

     Walaupun mengalami trauma fizikal dan mental yang dahsyat, Jack Greener tidak menyerah kalah kepada nasib. Dia sebaliknya memilih untuk menjadi inspirasi kepada orang lain. Greener kini bergiat aktif sebagai penceramah motivasi dan sering menyampaikan mesej tentang kekuatan mental, daya tahan dan harapan. Salah satu pencapaian luar biasa Greener selepas tragedi itu ialah kejayaannya memanjat Gunung Whitney yang juga merupakan gunung tertinggi di tanah Amerika Syarikat dengan menggunakan bantuan pasukan sokongan dan peralatan khas.

Catat Ulasan for "Kisah Lelaki yang Jadi Lumpuh Akibat Kecuaian Jurulatih"